Siapa Yang Patut Mengalah, Mentua Atau Menantu?

Share

Mentua, acapkali dikategorikan sebagai orang ketiga dalam perkahwinan. Sebenarnya, sebagai menantu, mempunyai seorang ibu mentua adalah satu kelebihan kerana anda mempunyai dua orang ibu. Persoalannya, bagaimana untuk menjadi sebagai seorang menantu yang disayangi dan ibu mentua yang dibanggakan?

Bagi menjadikan diri sebagai menantu kesayangan dan mentua yang dibanggakan; perlulah ada pengorbanan. Masing-masing perlu bersikap terbuka dan lebih rasional di dalam apa jua keadaan dan situasi.

Seorang menantu perlu lebih bijak memainkan peranan di dalam menambat hati mentua. Ibu mentua anda adalah seperti ibu anda sendiri yang perlu dihormati dan disanjungi.

WAHAI MENANTU…

Walaupun anda bukanlah menantu pilihan, anda perlu lebih mendedahkan diri kepadanya, pikat hatinya, pujuk kasihnya walau segala macam dugaan diterima. Memang mengambil masa dan perlu menjeruk rasa tetapi percayalah, insya-Allah… berkat segala kegigihan dan pengorbanan anda, mentua akan menerima anda dan tidak mustahil di suatu ketika nanti, anda adalah menantu kesayangannya.

WAHAI MENTUA…

Sebagai mentua pula, anda juga perlu lebih bersikap terbuka. Sebagai orang yang lebih tua, jangan terlalu mengikut rasa. Terimalah ketentuan Ilahi bahawa itulah menantu anda walau dia bukan pilihan hati anda. Anda perlu tahu dan ingat, isteri anak anda berperanan membahagiakan kehidupan anak anda. Apabila anda campurtangan dalam urusan yang tidak sepatutnya, tentulah porak peranda hidup anak anda itu. Namun begitu, bukan bererti anda hanya boleh sekadar memerhati. Sekiranya ada kelakuan dan sikap menantu yang tidak kena dengan tatasusila dan kehendak agama, dekati anak anda dan minta anak anda lebih tegas terhadap isterinya demi kerukunan rumah tangga mereka.

Prinsip

Hakikatnya, hubungan seorang menantu dan mentua sepatutnya menjadi seperti hubungan seorang anak dengan kedua ibu bapanya. Apabila seorang lelaki atau wanita menerima kehadiran seseorang sebagai pasangan hidupnya, seharusnya juga dia menerima ahli keluarga pasangannya itu terutamanya kedua ibu bapa pasangannya seperti ibu bapanya sendiri. Samalah juga dengan ibu bapa; mereka seharusnya menerima pasangan hidup anak mereka bagai anak sendiri. Apabila prinsip ini dipegang oleh menantu dan mentua, takkan timbul masalah di dalam hubungan antara menantu dan mentua, tak kiralah tinggal serumah dengan mentua ataupun tidak.

Isu persaingan antara menantu dan mentua tidak akan timbul sekiranya mentua memahami peranan dan tanggungjawabnya sebagai mentua dan ibu; dan menantu pula memahami tugas dan tanggungjawabnya sebagai seorang menantu dan isteri. Sebagai seorang mentua dan seorang ibu, anda mempunyai peranan untuk memastikan menantu anda mampu membahagiakan hidup anak anda.

Anda perlu pastikan segala tugas, peranan dan tanggungjawab sebagai seorang isteri atau suami dilakukan oleh menantu anda sebaiknya agar hak anak anda tidak terabai. Jika menantu anda adalah isteri, jadikanlah menantu anda sebagai isteri yang menyenangkan hati anak anda. Jika terdapat kekurangan pada diri menantu anda, JANGAN DIHINA sebaliknya ASUH DAN DIDIKLAH menantu anda menjadi seorang isteri yang baik dan mampu membahagiakan anak anda.

Soal kasih

Tidak perlu timbul juga soal kasih anak anda beralih arah kerana anak anda akan tetap menjadi anak anda walau apa pun keadaan dan statusnya. Perlu diingat, terdapat perbezaan kasih dan sayang antara seorang ibu dan ayah kepada seorang anak, begitu juga kasih dan sayang antara seorang suami dan isteri. Anak anda mengasihi menantu anda sebagai isterinya atau suaminya, kasih sayang anak anda kepada anda pula adalah kasih sayang seorang anak kepada ibu atau bapanya.

Walau sebaik mana pun anda memainkan peranan anda sebagai seorang ibu atau bapa, anda masih tidak mampu menjalankan peranan yang mampu dimainkan oleh menantu anda iaitu menunaikan kehendak batin anak anda. Lantaran itu, berlapang dada lah menerima kehadiran menantu anda ke dalam hidup anak anda.

Bagi seorang menantu pula, anggaplah segala tunjuk ajar daripada mentua anda sebagai satu pelajaran untuk anda lebih mengenali pasangan hidup anda. Ingatlah, ibu dan bapa pasangan andalah yang memelihara, menjaga dan membesarkan pasangan anda hingga mampu menjadi teman hidup anda. Tidak wajar kehadiran anda membuatkan hubungan yang sedia terjalin menjadi renggang dan tidak mesra.

Satu perkara yang perlu diingat, jika seorang anak mampu menjaga hati dan perasaan ibu dan bapanya dengan sebaik-baiknya maka lelaki atau wanita tersebut berpotensi menjadi pasangan hidup anda yang penyayang, pengasih dan ideal sepanjang hayat, insya-Allah!

 

Published by
Nadia