Siapa Sebenarnya Perampas? Boleh Didakwa Di Mahkamah!

Share

Siapa yang digelar perampas? Apakah pihak ketiga yang menganggu rumah tangga seseorang? Sebenarnya ia bukan sekadar itu.

Kes 1:

Seorang wanita berstatus isteri kedua setelah mengahwini seorang lelaki berstatus suami kepada seorang wanita dan empat orang cahaya mata di negeri jiran Thailand, mengadu dia tidak menikmati haknya sebagai isteri selepas perkahwinan mereka yang berusia tiga bulan diketahui oleh isteri pertama.

Sejak rahsia perkahwinan dimaklumi, isteri pertama mendesak agar suami tidak melaksanakan tanggungjawabnya mengambil kira pengorbanan isteri yang sanggup menerima kehadiran madunya.

Akur kepada kehendak isteri yang banyak membantunya sebelum itu, suami tidak melaksanakan giliran, berjumpa hanya sesekali dalam sebulan itu pun secara sembunyi dan tidak memberikan sebarang perbelanjaan. Kejadian berlangsung hampir dua tahun sehingga kes diadukan kepada saya.

Kes 2:

Seorang wanita mengahwini lelaki berstatus suami orang. Sejak sembilan bulan perkahwinan, isteri kedua tersebut melarang suaminya daripada balik ke rumah isteri sedia ada malah suami tidak ambil peduli mengenai tujuh anak yang ada.

Kes 3:

Seorang ibu yang baru kematian suami meminta anak lelaki tunggalnya agar balik menetap di kampung bersamanya. Akur kepada kehendak ibu, si anak yang juga suami kepada seorang wanita dan lapan cahaya mata bertindak berhenti kerja dan balik ke kampung tanpa mengambil peduli lagi mengenai isteri atau anak-anak.

Isteri yang tidak bekerja merayu agar turut dibawa balik ke kampung tetapi ibu mentua enggan terima. Bila menantu mengingatkan ibu mentua mengenai tanggungjawab anaknya yang telah bersuami, menantu diherdik dan dicaci maki kerana lupa, darjatnya sebagai ibu berikannya hak yang lebih berbanding isteri.

Kes Yang Benar Berlaku

Kes-kes dikongsikan di atas adalah tiga kes yang benar-benar berlaku dan sampai ke pengaduan saya. Berdasarkan kes, siapakah yang anda fahami sebagai perampas? Perampas biasanya dilabelkan kepada mana-mana gadis atau wanita yang bercinta atau mengahwini lelaki yang telah pun beristeri. Realitinya, bukan semua gadis atau wanita yang mengahwini suami seorang wanita yang lain adalah perampas.

Sukar dipercayai? Analogi mudah, apakah yang dimaksudkan dengan perampas dalam kejadian melibatkan kapal terbang? Pastinya perampas kapal terbang ialah individu yang berjaya mengambil alih matlamat atau tujuan perjalanan kapal terbang daripada juru terbang walau kapal terbang tersebut masih dikendalikan oleh juru terbang yang sama. Ambil alih yang menjadi sebab individu tersebut menjadi perampas.

Siapa Yang Menafikan Hak Orang Lain

Sama dengan isu yang bakal dibincangkan kali ini. Perampas yang sebenarnya menurut kefahaman syariat Islam dan Undang-undang Keluarga Islam yang diamalkan di seluruh Malaysia ialah mereka yang dengan sengaja menghalang seseorang yang lain daripada menikmati hak yang disediakan oleh syarak dan undang-undang.

Perampas tak semestinya isteri kedua atau isteri ketiga atau isteri keempat malah perampas boleh juga adalah isteri pertama. Bukan saja isteri malah perampas juga boleh berupa ibu mentua malah sesiapa sahaja yang menjadi dalang dalam menafikan hak seseorang yang lain.

Isteri Pertama Dan Mentua

Merujuk kes dikongsi, dalam kes pertama, isteri pertama adalah perampas. Dalam kes kedua, isteri kedua adalah perampas dan dalam kes ketiga, ibu mentua adalah perampas. Kenapa? Isteri pertama dalam kes yang pertama bertindak menafikan hak isteri kedua.

Walaupun isteri pertama telah berkorban segalanya bukan bermaksud isteri pertama tadi boleh menyekat suaminya memberikan hak yang ditetapkan oleh syariat dan undang-undang kepada madunya. Isteri kedua dalam kes kedua pula adalah perampas kerana menafikan hak isteri pertama dan anak-anak suaminya. Baru atau lebih muda bukan alasan untuk isteri kedua memonopoli si suami.

Dalam kes ketiga pula, ibu mentua adalah perampas kerana menafikan hak menantu. Bagi seorang lelaki, jika telah berkahwin, kewajipan sebagai suami tetap perlu dilaksanakan dan sebagai ibu, anda wajib menyuruh anak lelaki anda melaksanakan tanggungjawabnya, bukan hanya mementingkan kepentingan diri semata.

Bergurau Dengan Isteri Berpada-pada, Jangan Sampai Dia Terasa Hati

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Siapa Perampas Boleh Didakwa

Jika belum berkahwin dan si gadis atau wanita bercinta dengan suami orang, apakah mereka ini juga perampas? Bagi golongan ini, mereka hanya menjadi perampas jika hubungan yang wujud antara mereka bersama suami orang tadi menyebabkan suami orang tersebut lalai dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami malah sebagai bapa jika telah mempunyai anak.

Lalai bukan hanya bermaksud tidak memberi nafkah atau perbelanjaan bagi keperluan tetapi juga tidak memberi perhatian, layanan dan kasih sayang yang sewajarnya. Jika hanya berhubungan tanpa mengabaikan semua tanggungjawab yang perlu maka mereka bukan perampas.

Jika berdepan dengan perampas, apa yang perlu dilakukan? Perampas boleh didakwa di Mahkamah Syariah mengikut Enakmen Jenayah Syariah malah menurut peruntukan penalti dalam Undang-undang Keluarga Islam.

Artikel: Suzana Ghazali, Perunding Kaunseling Keluarga Dan Guaman Syariah

Published by
Nurul Azwa