Muhammad Jefri bin Abdullah, 43, seorang yang sempurna sifatnya. Dia boleh memilih sesiapa sahaja menjadi suri hidupnya. Namun sebaik bertemu dengan Roszanika binti Abdul Karim, jiwanya terusik. Tiga bulan selepas itu dia mengambil keputusan untuk meminang gadis itu.
Roszanika, 39, cacat tidak seperti suaminya yang normal. Namun kecacatan yang dimiliki Roszanika tidak pernah menghalang Muhammad Jefri untuk mengahwininya. Kini perkahwinan mereka telah berusia 10 tahun.
Masuk Meminang Selepas Kenal Tiga Bulan
Roszanika tidak pernah menyangka ada lelaki yang terpikat sekali gus sudi mengahwininya dalam keadaan dirinya yang serba kekurangan itu. Betullah orang kata, jodoh itu Allah yang aturkan. Mengimbas semula pertemuan dia dan suaminya, segala-galanya berlaku tanpa dirancang.
“ Saya ikut kawan pergi berjalan ke Kuala Lumpur. Masa itu saya berumur 25 tahun. Saya kenal dengan suami yang merupakan kawan kepada kawan saya. Selepas saya balik semula ke kampung, dia datang ke rumah saya. Dia kata dia suka pada saya dan mahu berkahwin dengan saya. Kami hanya berkenalan selama tiga bulan sahaja sebelum dia ambil keputusan datang meminang.
“ Saya terkejut dengan pengakuannya itu. Saya tanya dia, betulkah dia mahu berkahwin dengan orang cacat seperti saya. Dia kata, buat apa nak pandang cacat. Yang penting hati. Alhamdulillah, sekarang ini sudah 10 tahun kami berkahwin,” ujar Roszanika.
Muhammad Jefri yang juga seorang mualaf mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Roszanika kerana kasihan dengan wanita tersebut.
“ Dia pernah beritahu saya bahawa adik-beradiknya tidak mahu menjaganya jika ibu bapa mereka meninggal dunia. Sebab itu saya kasihan padanya,” akui lelaki yang telah memeluk Islam sebelum mendirikan rumah tangga dengan wanita yang berasal dari Pahang dan dibesarkan di Negeri Sembilan ini. Malah, perkahwinan ini juga telah menyelamatkan Roszanika daripada dihantar oleh adik-beradiknya ke rumah kebajikan.
Kata-kata Muhammad Jefri ini diakui oleh Roszanika. Kelihatan air mata mula menitik apabila bercerita mengenai keluarganya itu.
“ Saya anak sulung daripada lima orang adik-beradik. Mereka beritahu mereka tidak mahu menjaga saya jika emak dan ayah telah tiada. Sedih saya dengan pengakuan mereka itu. Oleh itu apabila ada lelaki yang mengajak saya berkahwin, saya bersyukur dengan ketentuan Allah itu,” tambah Roszanika.
Sh: Suami Bersihkan Lampin Pakai Buang
Ketika ditemui, pasangan ini menyewa di sebuah bilik sempit yang terletak di tingkat dua rumah kedai di Pandan Indah, Kuala Lumpur. Hanya Muhammad Jefri sahaja yang bekerja di sebuah kedai menjual barangan serba guna dan perkakasan rumah. Gaji yang diterima tidak seberapa.
Dengan gaji tersebut Muhammad Jefri perlu membayar sewa bilik. Habis separuh gaji bulanan lelaki itu bagi membayar sewa bilik. Selebihnya duit gaji itu digunakan untuk membeli lampin pakai buang Roszanika, makanan, ubat dan sebagainya untuk menampung kehidupan mereka berdua.
“ Kalau saya tinggal seorang diri di bilik susah saya hendak bergerak. Sebab itu suami belikan lampin pakai buang agar saya mudah untuk buang air besar atau air kecil. Apabila dia balik daripada bekerja, dia akan bersihkan saya. Begitu juga ketika saya uzur, dia yang bersihkan darah saya. Sedih saya memikirkannya tetapi saya tidak boleh buat sendiri sebab itu saya mengharapkan bantuannya,” tambah Roszanika lagi.
Daripada cerita Roszanika lagi, keadaan dirinya tidak sama seperti ketika dilahirkan.
“ Saya dilahirkan normal dan cukup sifat. Namun begitu perkembangan saya tidak seperti bayi lain. Saya tidak mampu merangkak. Puas emak mengajar saya merangkak tetapi saya tak boleh. Saya juga tidak mampu bangun dan berdiri. Apabila saya semakin membesar, tangan saya semakin membengkok. Akhirnya tulang belakang saya pun semakin senget.
“ Saya hairan juga kenapa jadi begini. Saya tanya pada emak. Dia kata mungkin saya ini terkenan sesuatu. Sebabnya semasa emak mengandungkan saya, ada sekali itu ayah saya hendak baling ibu anjing tetapi terkena anak anjing. Mungkin saya terkenan binatang itu,” ujarnya.
Kehidupannya semasa kecil juga agak mencabar. Semasa kecil sehinggalah dewasa, emak dan ayah banyak membantunya.
“ Saya hanya mampu mengengsot untuk bergerak. Emak dan ayah yang mengangkat saya jika saya mahu pergi ke mana-mana. Hendak mandi pun mereka yang tolong angkatkan. Disebabkan kecacatan saya ini jugalah saya tidak pernah bersekolah. Saya boleh membaca dan menulis ini pun sebab saya belajar sendiri.”
Kini, setelah berkahwin Roszanika banyak bergantung pada suaminya. Tugas mengangkat dan menguruskan Roszanika kini atas bahu suaminya. Nasib baik ada kerusi roda. Bolehlah Muhammad Jefri menolak kerusi roda itu setiap kali mereka keluar dari rumah.
Sh: Bantulah mereka
Jika ada yang hendak memberi bantuan bolehlah menyalurkannya ke dalam akaun CIMB 7624689924 Roszanika binti Abdul Karim. Atau anda boleh menghantar sumbangan ke alamat No 47B, Tingkat 2, Jalan Indah 1/23, Pandan Indah, 55100 Kuala Lumpur.