Kemelut rumah tangga pasangan selebriti Fazura dan Fattah Amin mengundang simpati para peminat.Pelbagai rasa diluahkan oleh para peminat pasangan ini yang sedikit sebanyak menjadi rencah dalam perjalanan kisah pasangan ini.
Pengurusnya, Iman Tang dalam satu temu bual baru-baru ini mendedahkan keadaan Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin, 40 yang disifatkan sangat terkesan dengan situasi melanda keluarga kecil itu.
Biarpun tampak tenang dan kuat, dedah Iman, artis yang diuruskannya itu ternyata bersedih atas keputusan nekad yang dibuat.
“Setiap malam beliau sedih. Saya dapat tahu sebab pada malam, 1 atau 2 pagi menerusi perbualan beliau (Fazura) akan menangis.
“Saya rasa, terutamanya wanita yang mengimpikan perkahwinan (bahagia) sama sekali tidak mahu situasi seumpama ini berlaku,” ujar Iman.
Dalam pada itu, Iman atau nama penuhnya Nur Iman Tang mengakui Fazura seorang yang kuat.
“Dia strong. Saya tahu beliau kuat tetapi akhirnya apabila kami bercakap melalui telefon, sampai tidak boleh tidur. Saya beritahu Fazura menangislah sepuas-puasnya.
“Tutup pintu bilik dan menangislah kerana ia boleh melegakan, jangan stres dan simpan perasaan itu dalam diri kerana kita manusia, menangis itu OK.
“Manusia pasti menangis walaupun hati sudah kering. Selepas itu akan rasa lega. Sedih sudah pasti kerana tiada siapa yang inginkan perkara seperti ini (perpisahan),” ujarnya.
Iman turut mengulas berkaitan prosiding mahkamah baru-baru ini dan mendedahkan perceraian bukanlah yang dimahukan aktres itu.
“Fazura tenang. Keputusan semalam (sebutan kes penceraian) bukan yang dia harapkan. Tiada siapa yang harapkan perkara itu (perpisahan) terjadi.
“Cuma ada beberapa perkara di antara peguam yang harus dibincangkan dan belum dimuktamadkan.
“Maka semalam (25 September) jawapannya ia (sebutan permohonan perceraian) ditangguhkan kepada satu tarikh. Media dan kawan-kawan jangan describe perkara itu.
“Tunggu prosiding seterusnya tak silap saya 7 oktober, kita tunggu whats next,” ujar Iman kepada rakan media.
https://www.mingguanwanita.my/7-tahun-kahwin-fazura-fail-perceraian-terhadap-fattah/
Beliau juga turut bersimpati dengan apa yang terjadi dan tidak menjangka rumah tangga bahagia pasangan yang amat dikenalinya itu diuji.
“Saya pun kenal Fattah, beberapa bulan mereka berlakon dalam sesi penggambaran dan saya ada di situ.
“Saya sendiripun tak gembira atau bersorak atas apa yang berlaku. Sebagai seorang Muslim tidak mahu masjid (perkahwian ) saudara Islam kita runtuh,” katanya.
Pada masa yang sama, Iman turut menyelar tindakan individu yang bergembira di atas ujian yang menimpa rumah tangga pasangan yang popular dengan jolokan Fattzura itu.
“Ada sahaja yang mungkin bertepuk tangan atas apa yang berlaku tetapi kena ingat kerana nanti hari kita juga akan sampai walaupun tidak tahu bila. Jika kita perkatakan perkara yang buruk, ia akan berbalik kepada kita.
“Dalam apa agama sekalipun, jangan kita bersorak ketika orang ditimpa masalah. Hidup ini ibarat roda yang berputar, kadangkala kita di atas dan di bawah.
“Apabila kita di atas jangan lupa orang yang di bawah. Apabila kita melihat turun naik kehidupan, siapa sangka ia akan berlaku.
“Fazura, Fattah Fatima perfect family come to the end. Tiada siapa yang mahu ia berlaku.
Iman secara peribadinya beliau juga sedih dengan apa yang berlaku namun apa juga keputusan dilakukan Fazura, hanya aktres itu sahaja yang mengetahui dan melaluinya.
“Mungkin dalam 35 juta rakyat Malaysia ada yang gembira dengan keadaan ini tetapi saya tidak begitu. Bagi peribadi dia (Fazura), hanya dia yang melalui perasaan itu.
“Ia (keputusan berpisah) adalah keputusannya. Kalau saya tanya, dia share Alhamdulillah. Namun jika tidak saya tidak boleh membantah,” katanya lagi.
Pada 13 September lalu, Fazura memohon untuk bercerai mengikut Seksyen mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menerusi peguamnya.
Peguam syarie mewakili Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan memaklumkan pihaknya akan meneliti cadangan yang diterima daripada pihak Fattah dan butiran cadangan tersebut tidak boleh didedahkan secara terperinci dan kes berkenaan akan ditangguhkan pada 7 Oktober 2024.
Untuk rekod, pasangan popular dengan singkatan Fattzura itu sudah tujuh tahun berumahtangga dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.