Rasanya masih ramai yang belum tahu atau kenal bunga Chica. Bukan sahaja tidak kenal, malahan tak menyangka bunga yang seakan bunga sakura ini mampu dibuat lepat.
Bunga bermusim ini akan lebat setiap kali tibanya musim kemarau atau panas, secara tak langsung menjadi punca rezeki kepada penduduk setempat. Lazimnya selain dibuat lepat, bunga Chica juga dibuat kuih Melayu lain antaranya kuih koci, tepung dalam dan banyak lagi.
Paling penting musim bunga Chica dinanti kerana apabila bunga ini dimasukkan dalam bahan masakan, rasanya cukup unik sekali.
Cuaca panas setiap awal tahun memberi rezeki kepada penduduk Kampung Lubuk Tok Wi, Padang Terap, untuk menghasilkan lepat bunga Chica.
Bunga Chica atau nama saintifiknya ‘stereospermum fimbriatum DC’ hanya tumbuh di dalam hutan dan bunganya akan luruh ketika cuaca panas terik.
Penduduk, Che Nen Murad, 64, berkata, bunga Chica hanya akan berbunga antara penghujung Disember hingga Mac setiap tahun ketika kemarau dan bunganya seakan sama seperti bunga sakura di Jepun.
Katanya, setiap kali musim kemarau, dia dan anaknya akan mengutip bunga Chica putih ungu di dalam kawasan hutan kira-kira 200 meter dari rumahnya untuk menghasilkan lepat.
“Ada juga penduduk yang membuat tempahan kenduri atau saya akan buat untuk makan sendiri kerana lepat bunga Chica mengeluarkan warna semulajadi serta bau wangi ketika dikukus.
“Bunga Chica yang siap dikutip akan dicuci sebelum dicampur dengan santan, tepung beras, gula dan garam dan dikisar sehingga halus sebelum dibalut dengan daun pisang hutan,
” katanya ketika ditemui di Padang Terap, hari ini.Katanya, lepat bunga Chica biasanya dijual pada RM1 untuk empat keping lepat bersaiz kecil.
“Selain lepat, bunga Chica ini boleh juga dibuat kuih koci, tepung bungkus, tepung talam dan cucur jawa dan rasanya lain dari yang lain,” katanya.
Sementara itu, penduduk Taman Kemangi, Padang Terap, Norhayati Derani, 45, berkata, setiap kali musim kemarau, dia akan meluangkan masa untuk membuat lepat bunga Chica dan memberi kepada jiran berhampiran.
“Biasanya saya akan mengutip bunga Chica dalam kuantiti yang banyak dan separuh saya buat lepat manakala separuh lagi saya jemur sehingga kering untuk dibuat serbuk.
“Bunga Chica ini mengeluarkan bunga mengikut musim dan saya keringkan untuk dibuat lepat pada bila-bila masa kerana kalau serbuk ia boleh bertahan sehingga setahun, ” katanya.
Norhayati berkata, biasanya satu bakul bunga Chica yang dikutip mampu menghasilkan antara 80 hingga 100 biji lepat dan rasanya lebih enak berbanding lepat lain.
Sumber: Harian Metro
MW: Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat kita semua. Siapa sangka bunga yang gugur di atas jalan apabila dikutip mampu menjadi punca rezeki kepada orang lain. Bunga Chica bukan sahaja cantik dipandang, malah ia juga enak apabila dijadikan bahan utama dalam penyediaan kuih melayu.