Benar, sebagai mak ayah bukan mudah mahu menghalang kemasukan fitnah akhir zaman ke dalam rumah sendiri. Kadangkala tanpa sedar pun, mak ayah terleka dengan smartphone di tangan. Itulah antara tanda-tandanya. Bentengi hati daripada fitnah akhir zaman dengan surah Al Kahfi.
Perkongsian daripada Ainizal Abdul Latif yang menunjukkan panduan bagaimana mahu mengawal hati anak-anak daripada tergelincir dengan kehadiran fitnah akhir zaman.
“Sedang menguji susunan dan ayat hafalan Rizqy anak Autisme saya, pada 10 ayat surah Al Kahfi” Tulisnya ketika menerangkan video ujian hafalan anaknya.
Perjalanan homeschooling pada setiap hari jumaat di mulakan dengan ulangan bacaan, kefahaman melalui terjemahan, dan tadabbur surah Al Kahfi.
Mereka perlu difahamkan tentang akan hadirnya fitnah akhir zaman dan dajjal. Merekalah anak-anak kita yang jika di izin Allah adalah generasi yang akan melalui zaman tersebut dengan dasyat.
Kita tidak mampu menghalang keluarnya fitnah akhir zaman, namun kita sudah di peringatkan berkali-kali oleh baginda rasulullah melalui hadith sahih tentang bagaimana mahu menghalang fitnah tersebut daripada masuk ke dalam rumah.
Sungguh, jika ditadabbur barulah kita akan tahu dan faham apa kaitan surah Al Kahfi ini dengan fitnah akhir zaman dan kehadiran dajjal. Bagaimana pemuda-pemuda gua itu Allah selamatkan daripada kekufuran, begitulah kita mohon di selamatkan Allah dari fitnah ini kepada keluarga kita.
Saya pernah mendengar satu ceramah (maaf lupa siapa penyampai), yang memberitahu, jika kita perhatikan, strategi fitnah akhir zaman sebenarnya telah di rancangkan melalui perangkap 5S iaitu:
1) Smoke : Rokok dan ketagihan.
2) Sport : Sukan-sukan yang banyak dipertandingkan.
3) Screen : Game, video dan filem yang tidak ditapis.
4) Song : Lagu dan hiburan yang melalaikan.
5) Sex : Eksploitasi aurat wanita dan filem porno.
Hari ini, tanpa kita sedar, semua itu sudah berjaya masuk ke dalam rumah-rumah kita, tanpa kita dan anak-anak keluar rumah mencarinya. Mereka boleh dapat semua maklumat berkaitannya di hujung jari iaitu hanya melalui gadget.
Saya sendiri mengakui tidak mampu untuk menghalang 100% perangkap ini masuk ke dalam rumah. Allahuakbar, satu dua terlepas juga di sebabkan gadget sudah menjadi keperluan untuk melakukan kerja dan komunikasi pada hari ini.
Dalam keadaan kita tidak mampu menghalang ia masuk ke dalam rumah, siapalah yang mampu untuk menjaga kita dan mereka kalau bukan Allah, melalui amalan yang ditunjuk ajar oleh nabi.
Moga kita dan keluarga sentiasa mendapat bantuan, hidayah dan ihsan daripada Allah dalam menjaga dan memperbaiki iman supaya terselamat dari seburuk-buruk fitnah, iaitu fitnah akhir zaman.
Sumber/Foto : Ainizal Abdul Latif