Setiap Anak Ada Kelebihan Tersendiri, Yang Penting Mak Ayah Jangan Lupa Puji Anak!

Share

Percayalah semua anak ada kelebihan tersendiri, jadi jangan terlalu risau bila salah seorang anak anda tak begitu cemerlang dalam pelajaran. Cuma anak itu perlukan masa untuk tonjolkan potensi mereka.

Macam mana nak gali kelebihan anak anda dalam kekurangan dirinya, semak perkongsian daripada Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK), Puan Noor Afidah Abu Bakar ini…

Kelebihan Setiap Anak

Sebagai seorang manusia kita mempunyai kecenderungan untuk mencari ruang dan peluang supaya diri kita dihargai.

Ini dikenali sebagai ‘sense of belonging’ atau rasa diterima, bernilai, bertempat dan berakar.

‘Maslow Hierarchy of Needs’, meletakkan ‘Sense of belonging’ sebagai faktor ketiga terpenting untuk melahirkan individu yang positif dan mencapai potensi diri.

Setiap individu dilahirkan dengan sekurang-kurangnya satu anugerah yang menjadikan individu itu istimewa dengan caranya yang tersendiri. Gunanya anugerah itu bukanlah untuk dibangga-banggakan atau merasakan diri itu hebat. Pentingnya anugerah itu adalah supaya individu tersebut menggunakannya untuk menyumbang dalam keluarga dan komuniti.

Howard Gardner mengenalpasti 8 kelebihan yang ada pada manusia melalui Teori ‘Multiple Intelligence’.
Sekurang-kurangnya SATU kelebihan akan ada pada setiap individu iaitu:.

1) Bijak akademik-logik
2) Artistik, pandai melukis, pandai menghias dan menggunakan ruang
3) Mudah berkawan dan bekerjasama dengan orang lain.
4) Pandai menilai dan membentuk alunan muzik dan melodi
5) Cekap menggunakan anggota badan, bersukan
6) Bijak berbahasa dan berkata-kata
7) Mempunyai motivasi diri yang tinggi dan memahami emosi sendiri.
8) Mempunyai jari jemari yang mesra tumbuh-tumbuhan

Ibubapa dan guru perlu mengenalpasti, memupuk, menyediakan peluang dan membimbing setiap kelebihan yang dimiliki oleh anak-anak kita dan bukan hanya menggunakan satu kelebihan sahaja untuk menilai mereka.

Apabila anak-anak digalakkan menggunakan kelebihan yang mereka miliki dalam keluarga, mereka akan merasa ‘sense of belonging’.

Kelebihan yang manakah dimiliki oleh anak anda?

‘SENSE OF BELONGING’ BERMULA DARI RUMAH

Ajak anak membantu dengan kerja rumah.
Anak kecil memang suka sangat jika diberi peluang untuk menolong. Kadang-kadang walau tidak disuruh dia hendak menolong. Ada yang sampai merajuk jika tidak diberi peluang.
Sebab apa? Sebab dia rasa dihargai, dia boleh menyumbang dan dia ada tempat dalam keluarga.
Tambahan lagi jika kita berterima kasih dan kita sebut apa kelebihan yang dimilikinya yang memudahkan dia membantu dalam keluarga.

“Kreatif betul Abang dengan susun atur perabot”.
“Adik cekap menyapu sampah”.
“Kakak kalau tanam apa pun tentu menjadi.”

Dengan ini setiap orang akan nampak kelebihan masing-masing tanpa iri. Anak akan lebih teruja hendak menyumbang dan memperbaiki diri. Jika anak menjadi sombong dan bongkak dengan kelebihan, maknanya kita sebagai ibubapalah yang perlu menilai dan muhasabah kembali cara kita memuji mereka dan cara kita menyebut kelebihan mereka.

Puji dengan lebih spesifik dan diskriptif.
Puji usahanya.
Dengan itu anak akan tahu dia tidaklah sesempurna mana dan dia tahu masing-masing ada kelebihan tersendiri.

Galakkan anak bekerjasama dalam aktiviti keluarga. Rancang aktiviti atau percutian semasa cuti sekolah bersama-sama. Rancang hidangan dan perjalanan rumah terbuka ketika Hari Raya bersama-sama. Rancang aktiviti hujung minggu bersama-sama. Rancang sambutan hari jadi, hari ibu, hari bapa dan segala hari supaya sama-sama dapat menyumbang kepakaran, idea dan tenaga bersama-sama.

Galakkan anak membantu sesama sendiri ketika musim peperiksaan, galakkan anak menjaga adik yang kurang sihat.

Galakkan anak menggunakan kelebihan yang ada untuk membantu keluarga.

Banyak perkara kecil tetapi penting yang boleh digalakkan dalam keluarga untuk mewujudkan ‘sense of belonging’ ini.

Remaja yang tidak rasa sense of belonging dalam keluarga akan lebih suka berpeleseran.

‘SENSE OF BELONGING’ DI SEKOLAH

Di sekolah juga begitu.
Dari peringkat pra sekolah lagi kelebihan anak perlu dikenalpasti tanpa menggunakan hanya satu kayu ukur. Pupuk kelebihan-kelebihan yang ada supaya mereka rasa bernilai dan mempunyai tempat di sekolah.

Takkanlah tidak ada langsung kelebihan yang ada pada pelajar yang kita rasa tidak ada harapan dalam akademik .
Takkanlah pelajar yang nakal itu tidak ada kelebihan yang boleh dimanfaatkan.

Penglibatan pelajar dalam aktiviti ko-korikulum adalah untuk mewujudkan ‘sense of belonging’ inilah. Galakkan murid untuk berada dalam kumpulan mengikut kelebihan mereka contohnya pasukan bola sepak, aktiviti drama, debat, lukisan, IT dan sebagainya . Klasifikasi mengikut kelebihan ini membantu semua pelajar membentuk percaya diri supaya mereka menyumbang kepada sekolah dan masyarakat mengikut kelebihan yang ada. Tidak ada seorang pun yang patut dikecualikan.
Dengan ini semua akan merasa ‘sense of belonging’ di sekolah dan dalam komuniti.

Jangan hanya pelajar pandai akademik sahaja yang mendapat semua peluang. Agihkan peluang.
Begitu juga di rumah, jangan hanya anak yang menjadi ‘favourite’ sahaja yang diberi pujian, diluangkan masa, diberikan hadiah dan pujian,

Saya berada di daerah Banting beberapa hari lalu dan terlihat sekumpulan anak remaja menunggang basikal yang telah diubahsuai. Hebat mereka. Tentu mereka cekap dengan jari jemari untuk berinovasi.

Teringat saya insiden sekumpulan remaja berbasikal yang dilanggar di lebuh raya negeri Johor beberapa bulan yang lalu ketika menaiki basikal mereka yang diubahsuai. Mereka ini remaja hebat sebenarnya. Mereka mempunyai kecekapan untuk melakukan inovasi. Apabila mereka tiada ruang yang betul mereka mencari ruang yang salah dan memudaratkan.

Anak-anak ini bukannya malas, bukannya jahat, anak-anak ini bosan dan kecewa.

Apabila anak mempunyai pengalaman positif dalam keluarga, di sekolah dan dalam komuniti, dia juga belajar untuk menghargai orang lain dalam keluarga, sekolah dan komuniti.
Anak akan melayan orang lain sebagaimana dia dilayan kerana itu saja cara yang dia tahu.
Children See Children Do

Bila anak tidak rasa ‘sense of belonging’ di rumah, ibubapa asyik cari kekurangan, tidak gunakan kelebihan, tidak beri tanggungjawab, di sekolah pula berada di kelas hujung kerana tidak pandai akademik, kelebihan yang ada tidak dipandang, maka kesudahannya anak akan meletakkan nilai diri mereka sendiri sebagai 0 (zero).
Bermula di sinilah masalah akan timbul.

Waktu itu kita hendak marah? Marahlah kata anak, saya sudah sememangnya tidak ada nilai.
Waktu itu kita hendak pukul? Pukullah kata anak, kalau saya lakukan walau satu kebaikan sekalipun tidak ada yang nampak.

Tidak semua manusia akan rosak kerana dibuai dengan kelebihan yang dianugerahkan Allah SWT.
Ramai yang ‘broken’ kerana kelebihan yang ada tidak dipandang.

 

 

Published by
Nadia