Keluarga Asnaf kedua yang mendapat perhatian majalah Mingguan Wanita dan Impiana dalam program CSR Raya adalah keluarga Rosnani binti Aris. Kehidupan wanita berusia 34 tahun ini memang sangat memeritkan setelah Farimzaimi bin Zakaria, suami yang disayangi tidak mampu bergerak sebaik disahkan menghidap penyakit kanser limfoma sejak tiga tahun yang lalu.
Rosnani dan Farimzaimi memiliki dua orang anak. Siti Balkis berusia 11 tahun manakala Mohd Faris berusia 10 tahun. Mereka sekeluarga tinggal menyewa di sebuah rumah kecil di Kg Baru Nelayan, Sungai Besar, Selangor sejak Farimzaimi sakit. Sebelum ini mereka sekeluarga menetap di Alor Setar, Kedah selama lima tahun.
Keputusan berpindah ke Sungai Besar dibuat kerana inilah kampung halaman Rosnani. Di sini juga tempat tinggal ibu bapa dan adik-beradiknya yang lain. Berpindah ke Sungai Besar turut memudahkan dia membawa suaminya berulang-alik ke Hospital Ampang, Selangor bagi mendapatkan rawatan penyakit kanser limfomanya.
“Saya dan suami mengambil keputusan menyewa rumah kerana tidak mahu menyusahkan keluarga saya yang juga bukan orang senang. Emak perlu menjaga ayah yang menghidap penyakit Parkinson. Jadi, kami menyewa rumah yang berhampiran dengan keluarga saya. Mudahlah jika saya mahu meminta sebarang bantuan jika terjadi perkara yang tidak diingini,” ceritanya.
Mengimbas semula kisah penyakit kanser yang dihidapi oleh suaminya, Rosnani menjelaskan segala-galanya berlaku secara tiba-tiba.
“Suatu hari, selepas suami balik dari kerja, dia mengadu sakit belakang. Rasa sakit itu kemudiannya turun ke kakinya. Dia pergi ke klinik tetapi doktor tidak dapat mengesyaki sebarang masalah. Dia hanya diberi vitamin, namun, rasa sakit yang dialami tidak juga berkurangan.
“Apabila ayah saya mendapat tahu suami saya sakit, dia meminta saya membawa suami berubat di kampung (Sungai Besar). Saya ikutkan kata ayah dan bawa suami pulang. Selepas berubat kampung tidak ada sebarang kesan, saya kemudiannya membawa suami ke hospital Selayang.
“Doktor tidak dapat mengesan penyakit suami. Saya kemudiannya bawa suami ke Hospital Sungai Buloh. Di sana doktor telah melakukan pembedahan pada bahagian tulang belakang suami. Barulah doktor dapat mengesan suami menghidap kanser Limfoma,” cerita lebih lanjut tentang kesakitan suaminya.
Demi Suami Dan Anak-anak
Betapa terkejutnya Rosnani apabila doktor mengesahkan suaminya menghidap kanser Limfoma. Berikutan dengan pengesahan doktor itu, suaminya kemudian telah dirujuk ke Hospital Ampang. Selama sebulan dia menemani suami menjalani rawatan rehabilitasi di Hospital Ampang.
Sepanjang dia menjaga suami, anak-anaknya dijaga oleh keluarga di Sungai Besar. Selepas suami dibenarkan keluar dari hospital, Rosnani perlu membawa suami melakukan rawatan susulan di hospital.
“Saya masih ingat lagi betapa susahnya kami berulang-alik ke hospital agar suami dapat menjalani rawatan kemoterapi. Suami buat kemoterapi selama enam kali. Selepas habis kemoterapi, saya telah menghantar suami ke Hospital Kuala Lumpur bagi menjalani rawatan radioterapi selama sebulan.
” Habis radioterapi, doktor membenarkan suami balik ke rumah. Doktor sahkan suami sudah tidak ada apa. Cuma kaki dia tidak boleh berjalan. Dari tulang T7 sampai paras kaki, memang tidak ada rasa. Kalau cucuk atau apa sahaja, suami tidak dapat rasa.
Ads
“Sedih juga dengan keadaan suami ketika itu. Tetapi rasa sedih itu saya simpan kerana memikirkan tentang dua orang anak kami. Mereka juga perlukan saya dan ayah mereka. Terpaksalah saya mulakan hidup baru.
“Kini hidup saya adalah untuk suami dan anak-anak. Tanggungjawab itu berat kerana perlu membawa suami berulang-alik ke hospital. Pada masa yang sama membawa anak-anak pergi dan balik ke sekolah.
“Saya masih muda dan boleh bekerja tetapi tidak boleh melakukannya kerana jika saya bekerja siapa yang akan membawa dan mengambil anak pergi dan balik sekolah. Siapa pula hendak menjaga suami kerana dia tidak boleh mengawal berak dan kencingnya.
“Dua hari sekali saya akan masuk ubat pada suami agar dia boleh berak. Suami pula akan kencing melalui tiub. Manakala setiap dua minggu sekali jururawat dari Klinik Sungai Besar akan datang ke rumah bagi menukarkan kepada tiub baru,” katanya dengan nada sedih.
Pengorbanan Rosnani yang masih muda menjaga suami berusia 45 tahun ini tidak boleh dipandang remeh. Tidak semua wanita bergelar isteri yang mampu melakukannya. Jelas Rosnani, walaupun suaminya sakit, dia sesekali tidak akan meninggalkan suaminya itu.
“Pernah juga suami meminta supaya saya tinggalkan dia kerana kesakitan yang dia alami. Namun sesekali tidak akan saya tinggalkan dia. Selagi saya mampu, saya boleh jaga suami. Sementara dia masih ada saya akan bela dia. Selagi kudrat saya ada, saya akan jaga dia,” ujar Rosnani dengan penuh bersemangat.
Pesan Rosnani lagi, kepada wanita yang mempunyai suami yang sakit seperti suaminya ini, jagalah suami mereka.
Ads
“Jagalah suami kita kerana itulah syurga kita,” tambahnya.
Tidak Mampu Balas Pengorbanan Isteri
Farimzaimi rasa bersyukur kerana mendapat isteri sebaik Rosnani. Tatkala dirinya berasa sedih, isterinya banyak memberi kata-kata semangat.
“Saya masih ingat lagi, ketika berada di wad, memang saya mudah ‘down’. Ketika emosi saya tidak stabil, pernah juga saya kata kepada isteri agar tinggalkan saya. Tetapi isteri tidak mengendahkan kata-kata saya itu.
“Sebab itu seringkali juga saya ambil masa ketika berseorangan untuk fikirkan kembali apa yang berlaku pada diri saya. Saya juga jadikan pengalaman, ketika tinggal di wad dan bertemu dengan pakar-pakar motivasi telah membuatkan saya mendapat suntikan moral untuk diri kembali bersemangat.
“Saya berterima kasih kepada isteri kerana sanggup tolong saya walau saya dalam keadaan sebegini. Allah Maha Berkuasa dan Maha Pengampun dan Maha Pemurah. Pengorbanan isteri saya itu tidak dapat saya ungkapkan. Demi menjaga saya, isteri terpaksa meninggalkan anak-anak untuk dijaga oleh keluarganya,” katanya dengan suara tersekat-sekat.
Tiga Tahun Tidak Membeli-belah
Rosnani tidak bekerja. Sebab itu dia amat bersyukur kerana mendapat bantuan dari Pusat Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Pusat Zakat memberi bantuan kewangan sebanyak RM400. Manakala JKM memberi bantuan sebanyak RM350. Dengan wang tersebut saya gunakan untuk membeli barang dapur dan menampung perbelanjaan anak-anak ke sekolah.
Ads
“Kadang-kadang saya terpaksa meminjam wang daripada adik-adik saya untuk duit belanja anak-anak di sekolah. Kadang-kadang timbul rasa malu kerana terpakssa pinjam duit daripada adik beradik. Apabila timbul rasa segan itu, anak-anak saya tidak bersekolah,” luah Rosnani, sebagai ibu dia banyak berkorban untuk anak-anak. Dia sanggup tidak makan asalkan anak-anak dapat makan.
“Saya tidak kisah keperluan saya sendiri. Apa yang penting suami sihat. Walaupun kakinya tidak dapat berjalan, yang penting tangannya masih sihat. Anak-anak juga perlukan saya. Saya pernah rasa terbeban dengan tanggungjawab ini tetapi setelah saya fikir sedalam-dalamnya, saya terima takdir Allah ini. Anak-anak penguat semangat saya. Kegembiraan mereka buat saya hati saya gembira,” luahnya lagi.
Seharian Bersama Rosnani dan anak-anaknya, penulis dapat melihat sedikit perubahan pada wajah mereka apabila dibawa membeli-belah di Econsave sementara menunggu rumah mereka menjalani proses make over oleh majalah Impiana.
Dalam program CSR Raya Mingguan Wanita, Rosnani telah diberi baucar bernilai RM1300 tajaan Econsave Cash and Carry Sdn Bhd. Baucar ini ibarat rezeki terpijak buat keluarga ini. Akui Rosnani, sudah tiga tahun dia tidak mampu menjejakkan kaki ke pasar raya untuk membeli-belah dengan jumlah yang agak besar.
Terima kasih Area Manager Econsave Cash and Carry Sdn Bhd Miss Lim Yoke Foong dan Branch Manager Econcave Alam Jaya Ahmad Subti bin Haji Ashari atas sumbangan baucar bernilai RM1300 yang diberikan kepada asnaf terpilih ini.
“Sejak suami sakit, kami tidak pernah berbelanja sebanyak ini. Syukur sangat dengan rezeki yang diberikan oleh Allah ini. Anak-anak pun seronok kerana mereka tidak perlu melihat tanda harga apabila membeli barang-barang yang mereka berkenan pada hari ini,” katanya dengan gembira dan penuh kesyukuran.
Video membeli-belah di Econsave Bersama Mingguan Wanita dan make over rumah oleh Impiana ini pula boleh ditonton di saluran You Tube, laman web, Facebook dan Instagram Mingguan Wanita dan Impiana pada hari raya Aidilfitri ini.
Hulurkan Sumbangan
Jika ada yang mahu menghulurkan sumbangan bolehlah berkunjung ke alamat no 3, Lorong 1, Kg Baru Nelayan, Sg Besar, 43500, Selangor atau menghubungi nombor telefon 0172803572 atau masukkan sumbangan ke nombor akaun BSN 10123-29-00018893-8 Rosnani Binti Aris.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebelum ini, ayah selalu pesan pada anak sulungnya untuk jaga adik baik-baik.” Dek kerana Covid-19, enam beradik jadi yatim sekelip mata.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah gambaran kehidupan yang dilalui enam beradik yatim piatu selepas bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19 pada bulan lalu.
Kerana Covid-19
Bapa mereka, Zulkepeli Ramli, 61, yang mempunyai beberapa masalah kesihatan disahkan meninggal dunia di rumahnya di Kampung Durian Burung pada 27 September lalu manakala ibu mereka, Tuan Norziana Tuan Sagar telah kembali ke rahmatullah empat tahun lalu kerana kanser hati.
Pada usia yang masih muda, anak sulung pasangan itu, Cempaka Imam, 20, kini memikul tanggungjawab menjaga lima adiknya iaitu Kasih Nurani, 17, Sayang Murni, 15, Suci Sufiah, 13, Wali Al-Hadad, 10 dan Waiz Al-Syahid, 8.
Walaupun berdepan kesukaran khususnya dari segi kewangan, menurut Cempaka Imam, dirinya bersama suami, Muhammad Khairul Syafiq Anwar, 26, akan berusaha memastikan kebajikan dan pendidikan adik-adiknya terbela dan tidak terabai.
Ayah Pesan Jaga Adik Baik-Baik
“Sebelum ini, ayah selalu pesan supaya jaga adik-adik dengan baik tapi tidak sangka ayah pergi dengan cepat. Jadi, saya akan pegang pesanan ayah dengan menjaga dan tidak sesekali pisahkan adik-adik, biar mereka membesar depan mata saya.
“Harapan saya satu, supaya adik-adik berjaya kerana itu juga impian arwah ayah dan mak. Cuma saya kasihan dengan dua adik yang masih kecil, mereka masih perlukan kasih sayang ayah dan ibu.
Walaupun saya jaga, kasih sayang saya dan suami tidak sama,” katanya lagi.
Enam Beradik Jadi Yatim
Selepas kehilangan ketua keluarga, enam beradik itu dengan empat daripada mereka masih bersekolah kini bergantung sepenuhnya kepada Muhammad Khairul Syafiq yang bekerja sebagai penghantar minyak masak dengan bayaran upah sebanyak RM30 sehari.
Sayang Murni dan Suci Sufiah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad manakala Wali Al-Hadad dan Waiz Al-Syahid belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Burung.
“Pendapatan suami memang tidak seberapa tapi saya bersyukur kerana saudara-mara, jiran-jiran, orang ramai dan ketua kampung di sini prihatin dengan keadaan kami dan bantu memberi sumbangan wang serta makanan seperti beras serta bahan kering lain,” katanya.
Meninggal Dunia Di Rumah
Mengimbas detik kematian Zulkepeli, cerita Cempaka Iman, dia dimaklumkan oleh adiknya bahawa ayah meninggal dunia di rumah pada jam 2 petang selepas beberapa hari tidak sihat dan ujian saringan mengesahkan arwah positif Covid-19.
Dia yang ketika itu sedang menjalani kuarantin di rumah mertua di Marang berkata, lebih menyedihkan adalah semua adik-beradiknya tidak dapat menguruskan jenazah Zulkepeli kerana perlu kuarantin diri.
“Selepas kematian ayah, yang paling terkesan adalah Wali kerana dia paling rapat dengan arwah ayah. Bila rindu dia akan peluk baju ayah dan cakap Wali rindu ayah, ayah baliklah Wali rindu ayah,” katanya sebak.
Salur Bantuan Sewajarnya
Sementara itu, pembantu khas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Azmi Ali berkata, pihaknya akan memantau enam beradik berkenaan dan menyalurkan bantuan sewajarnya khususnya dari aspek pendidikan bagi memastikan kebajikan mereka tidak terabai.
“Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Taman Setia, Abd Khalid Othman telah mengambil tindakan dengan memohon bantuan daripada agensi berkenaan. Kita juga akan menilai sumbangan lain termasuk bantuan modal memulakan perniagaan dan peluang kerja bersesuaian,” katanya.
Mingguan Wanita : Semoga anak sulung keluarga ini yang kini memikul tanggungjawab untuk menjaga lima adik-beradik terus kuat berdepan dengan ujian berat ini.
Wartawan Mingguan Wanita pernah menemuramah ibu yang diuji dengan kanser tulang pada tahun 2007. Akbat implan yang dipasang di kakinya mengalami masalah, kaki sebelah kirinya terpaksa dipotong sehingga ke paras paha.
Rupanya di sebalik ujian kanser tulang, ibu muda ini, Noor Zeeda Abd Aziz (Zeeda Aziz) membesarkan seorang anak sulung yang disahkan alami autisme, Danish 13 tahun.
Boleh bayangkan tak mak ayah bagaimana kepayahan yang terpaksa ibu ini tanggung? Tapi, hebatnya wanita ini dia tidak mengalah dengan ujian hidupnya.
Anak autistiknya itu tidak dibiarkan. Dia mungkin tidak punya waktu untuk membawa anaknya berjumpa pakar kanak-kanak, tapi ibu ini sentiasa ada waktu untuk mendapat, memberi kasih sayang pada anak sulungnya itu.
Dan di bawah abang sulung ini, ada lagi dua orang anak lain yang perlu diberi perhatian iaitu Deana, 11 dan Dafique, 9 tahun
“Sejak kecil, anak saya menunjukkan ciri-ciri autistic child tapi saya tak pernah bawa dia untuk mendapatkan diagnosis yang tepat.
Bukannya tak nak bawa jumpa child psychologist, tapi kebanyakan masa saya dihabiskan di hospital untuk rawatan kanser tulang.
Danish menunjukkan sensory problem sejak dari dalam kandungan. Bunyi telefon berdering, dia menendang. Bunyi blender, vacuum cleaner, hair dryer pun boleh buat bergoncang perut saya.
Selepas lahir, dia tak boleh ditinggalkan seorang diri walaupun seminit. Babycot tu beli saja, guna tak pernah. Kalau dia tidur, satu rumah kena tip toe bila berjalan. Terhentak sikit je tapak kaki, bangun lah dia.
Dia bayi yang baik diam kalau saya kepit je dia. Tapi dia boleh menangis (melalak) non stop for hours kalau saya letak dalam car seat.
Ini Yang Danish Tak Pernah Buat
Sepatutnya bila masuk usia 6-7 bulan, bayi sudah mula belajar memasukkan tangan atau mengutip apa saja untuk masuk ke mulut. Yang ini Danish tak pernah buat. Hatta biji Tic Tac warna warni pun tak dipedulinya.
Dia juga skipped merangkak. Terus duduk, berdiri, berjalan. Umur 8 bulan melangkah, 10 bulan dah berlari. Progress paling cepat berbanding anak-anak saya yang lain.
Pertuturan dia juga lebih cepat dan sangat pandai menyusun perkataan. Kalau dia salah atur ayat, dia sendiri betulkan.
Bila Danish dah boleh berjalan, tangannya tak pernah letak di tepi paha. Mesti nak pegang semua benda yang ada di laluannya. Mendepang tangan usik railing, usik orang, usik apa boleh.
Selain itu dia ada separation anxiety. Tak boleh jauh dari saya. Dia akan shutdown. Zero communication.
Walaupun dah besar (tahun ni form 1), dia masih ada meltdown. Ikut suka dia je nak nangis kat mana pun. Hat ni la saya kena banyak-banyak sabar. Especially bila outing di luar, tak boleh ada orang lain duduk sebelah saya melainkan dia. Abahnya nak duduk pun tak kasi.
Danish Obses Dengan Pertukangan Dan Blok
Ciri-ciri fizikal masih nyata. Selipar yang dipakainya tak disarung sempurna. Senget macam mana ntah. Tumitnya juga tak jejak tanah kalau berjalan.
Danish obses dengan kerja yang melibatkan pertukangan dan blok. Cita-cita dia, nak jadi tukang kayu.
Sekarang ni saya risaukan masalah linguistik dia. Result terakhir sebelum tamat sekolah, cuma 10%. Yang lain bagus. Jenuh ajar dia untuk buang ketakutan/malu/anxiety tapi macam tu juga. Emas dalam mulut, cikgunya kata.
Masuk Sekolah Berasrama Penuh, Kami Semua Risau..
Selepas sebulan berkongsi catatan hati dengan grup Autisme Malaysia, ibu ini diberikan kejutan indah dari anaknya Danish.
Alhamdulillah Danish lulus ujian psikometrik UKSBP dan diterima masuk ke Sekolah Menengah Sains berasrama penuh di Kangar.
Tahu sahaja Danish terima tawaran SBP, cikgu sekolah rendah dia risau, makcik, opah, dan sesiapa yang kenal dia semua jadi tak tentu arah. Boleh ke Danish survive di asrama? Pandai ke dia urus diri. Gosok gigi, syampu dan sabun ketika mandi pun perlu diingatkan setiap kali. Tak suruh tak buat le.
Macam mana dia nak guna public phone, reti ke dia. Makan ke tidak si Danish ni kalau lauk tak kena selera.
Di rumah, bangun tidur setiap hari mommy kena kejutkan. Kalau tak buat begitu, tidurlah sampai ke tengahari. Abis, di asrama nanti sapa yang nak bangunkan dia?
Ini Kejutan Danish Selepas 3 Hari Di Asrama
Selepas 3 hari di asrama…, Danish berjaya mengejutkan kami semua.
Elok pula rambutnya bersyampu, gigi bersih digosok. Pandai pula dia makan lauk bergulai yang tentu-tentu ada bawang (dia muntah kalau ada bawang).
Yang paling best, dah pandai outing dengan kawan² dorm, makan KFC di bandar. Selama ni, nak suruh order burger di stall tepi jalan pun, keras macam patung H&M.
“Lega mommy ni. Anak yang tak tahu potensinya di mana, kini dah berada bersama kelompok pelajar cemerlang dari serata Malaysia.”
Semoga Danish mampu mencipta sejarah yang hebat, mungkin setanding dengan Prof. Temple Grandin. Ameen..
Zaman penuh mencabar ini, kebanyakkan suami isteri harus bekerja untuk menampung kehidupan.Namun tanpa disedari, cara perhubungan di tempat kerja yang dianggap ‘biasa’ dan ‘tiada apa-apa’ selama ini, sebenarnya mampu menjadi punca kepada berlakunya keretakkan didalam rumahtangga.
Jika dibiarkan berterusan ia boleh menjadi ‘barah’ yang menyebabkan berlakunya penceraian.
Salah satu perkongsian menarik oleh confessor yang menggunakan gelaran ‘The Man With The Golden Gun’ di laman IIUM Confessions ini, wajar dijadikan pengajaran buat suami dan isteri agar membuka mata dan lebih berhati-hati dalam menjaga batas pergaulan ditempat kerja.
Berikut antara perkongsian tersebut;
Sudah hampir 6 tahun aku berkerja dalam industri. Saja aku tidak nyatakan dalam industri mana, tapi aku akan bagi contoh berdasarkan pemerhatian aku terhadap diri sendiri dan kawan-kawan aku dalam bidang kerjaya.
Mulanya nak guna perkataan “ikhtilat” tapi tak semua akan faham kecuali budak-budak usrah dan mungkin budak-budak UIA. Bergurau, jangan marah. Pergaulan bebas lagi senang orang ramai faham apa maksudnya dan tahu juga macam mana sifatnya.
Sering kita baca berita atau artikel mengenai “Pergaulan bebas di kalangan remaja” atau “budak sekolah” atau “pelajar IPT”. Tapi rasanya jarang kita dengar tentang teguran pergaulan bebas di tempat kerja yang melibatkan suami-suami dan isteri-isteri orang. Baik yang muda 20-an hinggalah yang nak pencen 50-an.
Aku akan ceritakan apa yang aku alami dan nampak selama aku berkerja.
BERGURAU KETERLALUAN ANTARA LELAKI & PEREMPUAN
Benda ni sangat biasa. Bergurau, gelak-gelak dan yang paling aku tak berkenan tepuk tampar sentuh-sentuh. Sebelum tu aku nak bagitau yang aku ni seorang lelaki dan aku normal, haha. Maksudnya aku juga ada nafsu dan bila bergurau memang akan rasa seronok. Tapi nafsu itu kalau dirai dan dan dilayan, memang akan merosakkan.
Aku dah pun berkahwin dan aku tak suka bila ada lelaki yang cuba-cuba bergurau dengan isteri aku. Kalau korang kata aku kolot, jumud atau tak open-minded, aku rasa korang yang ada masalah sebenarnya. Sebagai seorang suami, kau takkan rasa senang bila isteri sendiri dikacau oleh kawan-kawan lelaki apatah lagi orang luar.
Mungkin yang senior-senior ada cara guraunya sendiri. Bertanya tentang anak sihat ke tidak, perihal keluarga masing-masing dan macam-macam semata-mata nak tau dan ambil berat. “Eh, anak puan dah sihat ke? Anak saya yang first pun lebih kurang sama je macam tu… haha (gelak sengih2)”. Yang ni mungkin tak keterlaluan.
Keterlaluan yang aku maksudkan ialah apabila gurauan itu dah melebihi ‘redline’, contohnya bergurau tentang hal-hal dalam bilik dan hal-hal dalam kain. Bergurau tentang malam jumaat antara lelaki dan perempuan. Masing-masing dah jadi suami dan isteri orang. Pandai-pandailah jaga maruah pasangan.
JAMUAN MAKAN, POTLUCK & PICNIC
Antara sebab aku kurang berkenan dengan majlis keramaian (selalu dinner), sebab pergaulan ini lah. Masa inilah ada peluang untuk bergelak ketawa dan bergurau sehabis-habisnya sebab majlis-majlis ini memang dikhaskan untuk bersosial.
Aku bukannya menentang atau ‘anti’ dengan majlis sebegini. Tak jadi masalah pun, malah memang ada tuntutan untuk rapatkan hubungan dan bonding lebih rapat, ataupun ice-breaking supaya tak kekok buat kerja. Yang jadi masalahnya, macam aku cakap tadi la. Tiba-tiba ada yang jadi miang. Baik lelaki mahupun perempuan. Waktu ni kan masing-masing pakai baju cantik-cantik. Jangan nak tipu la kalau mata tak melilau tengok sana sini.
WHATSAPP GROUP
Ha! Benda yang paling biasa di abad ini. Syarikat ada whatsapp group sendiri. Department ada group sendiri. Dalam department, ada whatsapp group untuk team pulak. Kemudian ada group untuk projek-projek yang kita terlibat pulak. Yang belum kerja, nanti korang kerja tau la. 5-6 group itu benda biasa. Malah mungkin lebih dari tu.
Ok itu pasal kerja. Ni aku nak cerita pasal ‘bergurau’ dalam whatsapp group. Tak habis di tempat kerja, dalam whatsapp pun nak bergurau. Share gambar itu, share gambar ini. Share gambar selfie lelaki dan perempuan. Aku punya style, bila dapat gambar yang aku rasa tak patut ada, aku terus delete je. Bayangkan, tak pasal-pasal dalam phone korang ada gambar perempuan (sorang-sorang) tengah selfie buat mulut muncung.
Nampak tak, pergaulan ni tanpa batas melainkan diri sendiri yang mengawalnya. Ada beberapa kawan (perempuan) yang aku kenal, malam-malam dia tak layan whatsapp sebab dia pernah kata yang suaminya tak bagi. Itu satu langkah yang sangat wajar. Layan suami jauh lagi baik dari whatsapp kemudian senyum sorang-sorang.
MATA SEORANG LELAKI
Pernah dengan lagu Jinbara, Patri : “Andai diri ini insani, pasti ada kemahuannya…”
Kepada para wanita sana, jagalah penampilan dan pergaulan. Lelaki pun! Lelaki ni ada segelintir yang memang suka tengok “barang” perempuan. Yang ini mungkin ada lucah, tapi aku bagitau terus terang. Ada yang tengok buah dada, punggung, badan chubby dan sebagainya. Baik perempuan itu bujang, atau pun isteri orang. Ini berlaku ya, bukan buat-buat cerita. Perempuan patut ada rasa untuk lebih secure, dan lelaki kena jaga pandang dan jangan layan nafsu sangat.
Nafsu ni memang takkan puas. Walaupun orang tu dah kahwin beranak-pinak sekali pun. Sama-sama lah jinakkan hawa nafsu yang sentiasa memberontak ni. Ada ganjaran untuk setiap itu.
ISLAM ADA GARIS PANDUAN YANG TEGAS TENTANG PERGAULAN
Benda ni tak semua orang akan senang. Lagi-lagi yang acah-acah berfikiran maju, open-minded. Aku nak highlightkan istilah ‘tegas’ kat sini. Memang islam ada peraturan tentang pergaulan yang sangat tegas. Ini semua bersumber dari Quran dan hadis nabi SAW. Sebagai muslim, kita kena lah berserah bulat-bulat dengan apa yang dah ditetapkan. Sama-samalah kita belajar dan amalkan.
KESIMPULAN
Jagalah maruah anda sebagai suami dan isteri jika sudah berkahwin. Yang belum berkahwin, apatah lagi. Yang dah kahwin ni, balik boleh bersama dengan pasangan. Yang belum, cuba usaha dan jangan putus harapan dengan rahmat Allah.
Ingat ya, banyak juga kes-kes curang di tempat kerja malah ada juga yang sampai berzina. Moga kita sentiasa dalam peliharaan Allah.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.