Setelah 22 Tahun, Lelaki Ini Baru Sedar Dirinya Penghidap Asperger’s Disorder

Share

Hari ini, 2 April 2019 adalah Hari Kesedaran Austisme Sedunia. Kerana masih ada di kalangan mak ayah yang keliru dan tidak faham, apa itu autisme. Ciri-cirinya malah tanda-tandanya.

Lelaki ini, Abidi Ismail bakal guru Pendidikan Khas. Dia seorang yang cemerlang dalam pelajaran. Pernah menerima anugerah kecemerlangan, namun perjalanan hidupnya penuh liku dan buli.

Dia tidak pernah tahu dirinya penghidap Asperger’s Disorder. Sehinggalah usianya, 22 tahun dan dia alami depresi. Ketika membuat rujukan rawatan pakar itulah segalanya terbongkar.

 

Ini Kisah Lelaki Yang Disahkan Asperger’s Disorder

Hari ini kali pertama aku menyambut Hari Autisme. Selepas baru saja tahu aku didiagnosis lewat oleh doktor sebagai penghidap Asperger’s Disorder.

Walaupun digelar kategori autisme ringan. Yang jenis ‘High Functioning’, aku memang pernah mempunyai masalah sosial dan komunikasi sejak kecil.

Bermula aku masih di TADIKA aku dibuli. Ada masalah untuk rapat dengan budak Lelaki. Apabila diputuskan untuk masuk acara bola sepak, aku hanya merenung rakan pasukan bermain dalam padang.

Kerana aku tidak pandai menyepak bola (kalau sepak pun nampak pelik seperti budak perempuan tendang bola).

Masuk darjah satu, aku seorang yang pendiam. Apabila diadakan kem perkhemahan perdana aku tidak selesa. Kerana akan melibatkan ramai pelajar dan sukar untuk bergaul dengan mereka.

Helah sakit dan berpura-pura menelan ubat demam itulah helah aku guna. Dengan cara ini, aku dapat pulang ke rumah dengan lebih awal.

Dipanggil Lembab, Lembut Dan Lembik.. Kerana Tak Faham Arahan

Semua orang memanggil aku lembab, lembut, dan lembik. Apabila diberi arahan aku akan bertanya semula. Misalnya guru menyuruh aku mengambil fail di bilik guru aku terpingga-pingga mencari ciri-ciri meja yang diberitahu guru. Aku juga ada masalah malu untuk bertanya pada orang.

Masuk sekolah masih lagi dibuli oleh lelaki. Cuma kali ini, seorang murid perempuan tomboy yang juga anak cikgu sekolah rendah. Dia membuli aku dengan mencakar muka, mencubit, menampar dan selalu menarik rambut ku. Agak berbulan-bulan aku membiarkan diri dibuli.

Sehingga aku mula mengamuk dan menikam dia dengan pensil. Mata pensil itu tercucuk pada tangannya. Selepas kejadian itu kami tidak pernah berjumpa.

Dalam persahabatan pula, asyik berakhir dengan pergaduhan kerana perselisihan faham. Arwah Ayah aku sering berkata padaku, “Bagai katak di bawah tempurung”. Ini kerana aku tidak mahu keluar dari bilik, bermain seperti kanak-kanak yang lain.

Aku mempunyai obsesi terhadap barangan antik seperti setem lama dengan syiling dari luar negara. Sehingga aku berjaya simpan sampai sekarang. Aku jugak tidak boleh bau kereta dan boleh buat aku muntah dalam kereta. Jadi pening, sewaktu aku kecil dan aku tidak suka berjalan-jalan.

Aku ada masalah mempunyai suara yang kecil seperti budak perempuan bila bercakap dengan orang lain. Oleh itu, aku sering takut jika guru menyuruh aku membaca teks petikan dari buku.

Masuk sekolah menengah aku cuba untuk bergaul dengan lelaki. Tetapi sindrom tu masih melekat utuh kerana aku tidak berminat dengan aktiviti beruniform.

 

Tanda-tanda Pelik Dialami Sejak Sekolah

Aku mempunyai tabiat pelik apabila obses untuk dirotan oleh guru disiplin. Oleh itu aku suka ponteng kelas, lompat pagar, dan tak pergi perjumpaan uniform.

Sampai aku macam tak boleh nak tegur sangat rakan lelaki dalam kelas aku. Mesti mereka ingat aku ni macam sombong tetapi ianya sindrom yang saya sendiri tidak tahu ketika itu.

Aku mula berminat pada baju ketika itu, pelbagai baju mula aku beli dan aku suka pakai baju yang berbeza-beza setiap kali pergi tuisyen kat sekolah.

Aku tidak suka meminta-minta makanan dari kawan-kawan yang lain. Tetapi aku suka offer makanan sendiri. Jangan suruh pergi kenduri, aku tidak suka. Apatah lagi ke rumah adik beradik kerana sukar untuk berbual dengan orang lain.

Penghidap Sindrom Asperger’s sama seperti orang normal yang lain. Apabila aku berjaya mendapat anugerah cemerlang dalam empat subjek.

Aku lebih suka belajar sendirian berbanding study group. Anggapanku orang lain sering berbuat bising. Akan tetapi suatu masalah buat aku apabila naik ke atas pentas untuk menerima anugerah di hadapan ratusan pelajar yang lain.. agak kekok dan mungkin sikap ku nampak kurang ajar.

 

Cuma 11 Hari Bertahan Dalam Diploma

Setelah SPM, aku melanjutkan pelajaran ke tahap diploma, aku menghadapi masalah untuk bergaul dengan housemate sebanyak 8 orang.

Tiada topik yang mampu aku ulas kecuali kalau aku minat topik tu. Akhirnya aku berhenti diploma setelah 11 hari aku bertahan kerana aku rasa kesunyian sangat.

Setelah itu, aku mula mengalami kemurungan sehingga aku menolak lembut ibuku sendiri. Ibuku tidak dapat memahami perasaan aku.

Satu ucapan yang sering aku ucap berulang-ulang pada ibuku, “Mak Die mintak maaf tau.”

Hampir setiap waktu aku berkata itu pada ibuku.
Sampai ibuku hairan kenapa anak dia begini.

Setelah itu aku masuk form 6, first day di situ aku tidak mengenali sesiapapun. Lagipun aku lebih tua setahun dari mereka. Aku hanya masuk kelas dan tidur untuk mengelak dengan bersembang dengan mereka.

Keesokkan harinya aku mula bosan dan membuat keputusan untuk berhenti form 6 tetapi dihalang adikku sendiri. Dia tukar kelas masuk kelas aku. Dia duduk di sebelah aku. So aku ubah fikiran tak jadi nak berhenti.

Tamat STPM aku masuk kelas intensif English, aku hadapi masalah tidak rapat dengan classmate lelaki. Hanya seorang lelaki yang rapat dengan aku kerana perwatakan dia yang selalu memulakan perbualan. Senang aku berbual dengannya.

Aku mula menghadapi episod kemurungan kali kedua kerana banyak berfikir dan sering ada aktiviti pada waktu malam padahal aku dari kecik tidak suka keluar malam-malam. Aku kalau tak puas hati dengan orang, aku tak cakap depan-depan tetapi belakang-belakang. Last-last aku sendiri sedih sebab kemurungan.

 

Kehidupan Universiti Yang Semakin Menekan

Semester satu aku ok, tetapi aku seperti dibuli kerana aku terpaksa buat kerja berkumpulan sendirian. Ahli group sering mengeluh bahagian masing-masing susah tanpa pengetahuan mereka.

Apabila semester 2 aku diberi tujuh jawatan dalam majlis tertinggi. Aku mula pening dan konfius macam mana hendak tolak tawaran itu tetapi setelah 3 jam aku membalas untuk terima jawatan itu.

Akan tetapi orang lain tidak faham. Aku sering rasa akan tanggungjawab dan aku lurus bendul. Aku setelkan tugas AJK yang ada mempunyai masalah dalam apa-apa urusan . Akhirnya aku sendiri mengalami ‘Major Dispresive Disorder’ (MDD) iaitu kemurungan tahap teruk sehingga sampai terfikir untuk bunuh diri.

Aku masuk kelas dengan tiada perasaan. hubungan persahabatan mula terjejas kerana aku lebih suka bersendirian di bilik. Selera makan pun terjejas. Minat akan sesuatu sudah tidak ada lagi.

Akhirnya aku berjumpa pakar dan dia cuba diagnosis penyakit sebenar aku. Dan aku diberi ubat penenang. Keesokkan harinya aku berjumpa kaunselor.. yang peliknya aku tak suka kaunselor tu sebab dia kata aku sihat. Tapi sebab aku stress saja aku jadi macam itu.

Beliau hanya menggunakan kaedah ‘Penyelesaian masalah’ dengan menyuruh aku melepaskan semua jawatan yang dipegang. Aku berehat di kampung selama lebih seminggu. . untuk follow up doc aku disuruh membawa ibu untuk bertanya sejarah semasa dari dalam kandungan lagi. Doktor akhirnya menemui jawapan untuk penyakit ini; Asperger’s Disorder.

Dan aku research balik ..and yup 100% simptom menjurus kepada Sindrom Asperger’s berdasarkan pengalaman dari Tadika lagi.

Sekiranya mak ayah mendapati anak anda lain dari kanak-kanak yang lain silalah bawa jumpa pakar psikologi untuk diberi intervensi awal lagi supaya bentuk pengajaran khusus boleh diberi kepada mereka

Sekian dari seorang Autistik yang bakal guru Pendidikan Khas.

MW : Asperger’s Sindrom (Sindrom Asperger atau Masalah Asperger) merupakan kecacatan spektrum autisme yang mengganggu kemahiran sosial penghidapnya.

Sumber/Foto : Abidi Ismail

Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.

Published by
Netty Ah Hiyer