Setahun sekali jumpa tetapi ditembak soalan pelik-pelik pada musim perayaan, apa salahnya. Bukan niat orang lama nak membanding atau menyibuk tetapi itulah salah satu tanda sayang.
Mungkin ada yang tak senang dan rimas dengan soalan yang sama setiap kali pergi beraya jumpa sanak saudara, namun andai berlapang dada dan berfikir yang baik-baik seperti pandangan saudara seorang lelaki berstatus anak tiga, Syah Rizal ini, situasinya pasti akan jadi lebih membahagiakan hati.
Beberapa hari ni, banyak tajuk tentang bapa saudara dan mak saudara sebab depa suka bandingkan anak-anak mereka dengan kita. Suka tanya soalan bila nak kahwin, bila nak dapat anak dan macam-macam soalan lagi.
Ada yang dah buat keputusan tahun ini tak nak ziarah mereka sebab tak suka dengan soalan-soalan yang bakal ditanya.
Arwah ayah saya dulu pun sama. Kalau berbual dengan saudara mara asyik bagitau anak dia 10 orang dan 9 orang masuk universiti. Dari 9 orang tu 3 orang belajar universiti luar negara. Kadang-kadang naik malu juga sebab semua orang yang dia jumpa, kisah yang sama diulang-ulang. Tapi itulah ayah… Dia bangga dengan pencapaian anak-anak dia dan dia teringin nak kongsi dengan orang lain.
Orang tua ni jarang jumpa kita dan dia tak ada FB untuk tahu perkembangan kita jadi bila mereka bertanya tu jawablah baik-baik. Setahun sekali berjumpa, abaikan jika ada soalan yang menyakitkan hati. Kita datang dengan niat untuk menyambung silaturrahim dan mengeratkan ukhuwwah dengan saudara mara. Esok bila mereka dah tak ada, timbul pula rindu nak dengar suara mereka.
Orang muda kena belajar mendidik hati supaya bersangka baik dengan bapa saudara dan mak saudara. Ada dikalangan mereka yang dah lupa-lupa dan suka cakap benda yang sama berulang-ulang. Depa tak ingat dah soalan-soalan yang ditanya pada tahun lepas.
Suatu hari nanti kita pun akan jadi seperti mereka. Seronok anak-anak saudara datang ziarah dan nak tahu perkembangan mereka dan kadang-kadang keluar soalan sensitif pada kita tapi biasa bagi mereka.
Jom bersangka baik Syawal nanti.