Tiada apa yang lebih menggembirakan seorang anak apabila dapat membahagiakan hati kedua mak ayah tercinta. Terharu sungguh melihat video yang dikongsikan oleh pelakon Emma Maembong atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Embong, 26, membuat kejutan istimewa buat ayah tersayang, Ismail Embong, 70, dengan menghadiahkan sebuah kereta mewah yang selama ini menjadi idaman ayahnya.
Menurut pelakon Awak Suka Saya Tak ini, kejutan istimewa itu adalah bersempena dengan hari jadi ayahnya baru-baru ini.Emma berkongsi detik istimewa itu di laman Instagram miliknya, serta ada meluahan perasaan bagaimana dia mula bekerja semenjak umur 15 tahun untuk membantu bapanya sebagai seorang pelukis.
“Dari kecik kawan-kawan mesti cerita “ ayah aku CEO”, “ayah aku kerja besar”, “ayah kau Emma cuma pelukis je. Boleh hidup ke? Kau pula tak sekolah macamana mana nak jaga ayah kau.
“Dari umur 15 dah mula berkerja untuk bantu ayoh. Belajar membaca sendiri, belajar erti hidup. Bila kita berjalan banyak benda perlu berlajar sendiri. Banyak cabaran dan dugaan tapi apa-apa pun yang jadi usaha paling penting.
“And This is for you ayoh. Thank you sebab jaga Tima dengan baik. Dari kecil sampai besar. Tima cuma nak ayoh dan mama bangga dengan Tima. Hope you like. Love you so much ayoh,”
Emma Maembong berkata, dia perlu menabung untuk menghadiahkan ayahnya dengan sebuah kereta mewah idamannya. Malah menurut Emma, dia sudah tahu keinginannya ayahnya itu sejak setahun yang lalu.
“Tahun lalu ayah ada naik kereta Mercedes milik kawan saya dan dia sangat suka dengan kereta itu. Tapi memikirkan harga agak mahal, ayah diam sahaja.Sejak itu, saya nekad bekerja keras untuk kumpul duit. Sepatutnya hari lahir ayah bulan April lalu tapi ketika itu wang simpanan saya tak cukup lagi.”
“Alhamdulillah selepas setahun menyimpan, saya dapat hadiahkan kereta itu kepada ayah,” kata pemenang Ratu Telenovela dua tahun berturut-turut ini.”
Mengulas mengenai kemenangannya pada Sabtu lalu di Anugerah Telenovela 2018, Emma, 26, akui dia masih lagi dalam keadaan yang terkejut kerana tidak menyangka takhta Ratu Telenovela sekali lagi menjadi miliknya.
“Saya hadir malam itu hanya untuk memberi sokongan. Tidak menjangka sebarang kemenangan pun.Lagipun saya fikir, tak kanlah juri nak pilih saya lagi tahun ini sebab tahun lalu dah menang. Tambahan pula, ada ramai lagi pelakon-pelakon yang hebat.Apa-apa pun saya nak ucapkan terima kasih kepada semua juri kerana memilih saya,” ujarnya.
Emma sebelum ini memang diketahui begitu rapat dengan ayahnya dan sering berkongsi pelbagai aktiviti yang dilakukan bersama ayahnya di laman Instagram. Tahniah buat Emma Maembong, semoga bertambah dimurahkan rezeki kerana membahagiakan ayah tersayang. Pengorbanan orang tua pastinya takkan dapat terbalas namun kita sebagai anak berusahalah untuk berbakti dan menggembirakan hati mereka dengan dengan apa juga cara selagi mereka masih bernyawa.
Sumber: Instagram Emma_maembongofficial & Sinar Online