Tanggal 10 Julai 2016, bayi yang cukup dinantikan ibu bernama Siti Aishah Muhamad Razli, 28 disambut penuh kesyukuran. Bayi yang dipanggil Ayish ini dilahirkan cukup sempurna sifat dan kesihatannya.
Setelah berbincang, ibu bapanya sepakat menamakan permata hati mereka, Nor Muhammad Qalish Nor Hadi Qusyairi. Anak ini telah menginjak usia 1 tahun empat bulan.
Sesungguhnya panas yang diharap ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Dalam kenikmatan mengulit bayi yang baru berusia 30 hari, Aishah mula resah. Nor Muhammad Qalish mula menunjukkan kelainan yang ketara.
Tanpa membuang masa, ibu membawa anaknya ke hospital. Dan disahkan terkena jangkitan kuman RSV Virus. Membuatkan bayi itu diintubate selama tujuh hari dan selebihnya exrubate serta menggunakan oksigen biasa.
Tak lama anaknya beransur pulih. Hatinya lega dan berbunga riang apabila dapat pulang ke rumah. Selepas sembilan hari menerima rawatan di Hospital Pediatrik Sultanah Bahiyah, Alor Star (PICU), Nor Muhammad Qalish atau panggilan manjanya Ayish dibenarkan pulang.
Dengan pesanan doktor, “Seandainya Ayish sesak nafas lagi, dia perlu dibawa ke hospital dengan segera.”
Sekitar Disember, Ayish diserang demam panas. Biar pun telah mendapat rawatan di klinik dan mengambil neubelizer, demam Ayish tetap tidak surut malah dia mengalami sesak nafas.
Tiba-tiba Aishah teringat pesan doktor. Segera dia bawa Ayish ke Hospital Sultanah Bahiyah ke bahagian kecemasan pada 6 Disember 2016.
Alhamdulillah dengan rawatan neubelizer, pernafasan anaknya kembali normal tetapi perlu dengan bantuan oksigen.
Ayish perlu dimasukkan ke wad dan sekali lagi pada malamnya Ayish demam panas, malah dia juga didapati kekurangan oksigen. Keadaan itu memaksa Ayish ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Ayish perlu intubate dan diberi morphen untuk tenangkan dirinya.
“Sampel darah Ayish diambil untuk pemeriksaan lanjut. Keputusan doktor mengatakan anak saya kena jangkitan kuman yang amat kuat iaitu Adenovirus. Virus ini menyerang organ dalaman. Badan anak saya membengkak.
“Keadaan anak saya ketika itu kritikal dan tenat. Masa itu saya mengaku saya lemah dan pengsan selepas tahu keadaan anak saya.
“Selama tiga bulan Ayish intubate dan pernah diberi bantuan iaitu dengan mesin gegar untuk bukakan paru-paru dia.
“Kemudian, dalam masa dua minggu dia kembali dengan mesin bantuan ventilator tapi dengan kadar setting yang tinggi bagi pernafasan dia.
“Pernah juga doktor tukarkan ke bantuan oksigen biasa tetapi dia mampu bertahan untuk empat hari sahaja. Jadi doktor minta Ayish menjalani tracheostomi.
“Jika dia terus intubate akan mengakibatkan masalah pada saluran pernafasannya dan risiko tinggi. Kami keliru untuk pilih yang mana yang terbaik buat Ayish.”
Setelah berbincang dengan suami, akhirnya kami mengambil keputusan untuk menurut kata-kata doktor kerana itu yang terbaik buat anaknya.
Memikir kata-kata orang sekeliling menambah lagi tekanan. Hinggakan Aishah disahkan tekanan darah tinggi dengan bacaan 189.
Setelah berdoa dan memohon petunjuk, akhirnya Allah permudahkan urusan Ayish menjalani pembedahan untuk menebuk lehernya dan diberi bantuan pernafasan melalui lehernya.
Anaknya menunjukkan perkembangan yang positif apabila tracheostomi tiada pendarahan. Lukanya pun beransur sembuh tetapi keadaan paru-paru Ayish tetap tidak berubah.
Hati Aishah bertambah duka, bila doktor memaklumkan yang Ayish berisiko lumpuh kerana mengalami tekanan darah tinggi mencecah 159.
Pelbagai jenis ubat diberikan pada Ayish. Hari demi hari berlalu, setelah beberapa bulan di ICU , keadaan Ayish makin stabil.
“Tetapi kegembiraan kami tidak lama apabila pada bulan Jun tahun lalu, Ayish diserang virus C.R.E. dan dikuarantinkan selama dua minggu dan diberi ubat antibiotik
.”Walaupun Ayish telah bebas daripada kuman tetapi unit kawalan penyakit meminta anaknya dikuarantin selama setahun bermula hari pertama Ayish terkena jangkitan.
“Bayangkan selama setahun kami perlu tinggal di hospital. Biar pun penat, saya dan suami tidak pernah mengeluh. Kami redha dengan ujian ini.
“Setelah sekian lama, akhirnya pada 1 Disember 2017, anak saya dipindahkan ke Pedeatrik High Dependency Ward (PHDW). Tetapi anak saya masih on tracy iaitu masih diberi bantuan pernafasan melalui leher tapi dengan menggunakan mesin bypap.
“Sejak awal, doktor maklumkan anak yang on tracy memerlukan penjagaan rapi. Hingga saat ini, Ayish masih berada di hospital dan hampir setahun sebulan kami menginap di sini.
“Kami hanya mampu melihat Ayish riang dalam masa tiga bulan sahaja, selebihnya kami melihat badannya yang terbujur kaku.”
Setiap hari melihat keadaan Ayish yang terbaring di atas katil dan dari ekor matanya, jelas dia sedar kehadiran mak ayahnya.
Tiada panggilan ibu atau ayah. Momen syahdu ini hanya sekadar pandangan mata dan belaian lembut kami untuknya. Tiada suara tetapi cukup menghibakan hati.
Sudah tentu, Aishah 100% berubah sejak anaknya sakit. Dirinya yang sebelum ini periang, terus jadi murung, pendiam dan kerap menangis.
Dia juga tidak berselera untuk makan, hanya air kosong sepanjang menjadi santapan Aishah. Malam-malamnya juga tidak mampu untuk melelapkan mata apabila Ayish mengalami saat-saat kritikal.
Sejak Ayish menjadi penghuni tetap di hospital, perhatian Aishah memang lebih banyak terarah kepada anak kecilnya berbanding dua lagi anaknya. Mujurlah dia tidak bekerja.
Suami pula yang bekerja di Selangor terpaksa berhenti kerja sejak Ayish sakit. Sekarang Aishah dan suami bergilir-gilir dalam wad menjaga Ayish.
“Saya juga mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan sebelum ini dan masing-masing telah bersekolah. Mereka juga telah kehilangan bapa kandung dalam kemalangan awal Januari 2016.
“Selang beberapa bulan, bapa saya sendiri meninggal akibat tekanan darah tinggi. Jadi 2016, merupakan tahun yang amat sukar apabila Ayish juga dihinggapi penyakit ini pada tahun yang sama
.“Setiap kali lihat anak menangis, meronta kesakitan itu perit sekali rasanya. Air mata saya tertumpah setiap kali melihat Ayish menangis. Dan automatik akan senyum sekiranya Ayish senyum.
“Senyuman Ayish adalah pengubat kesedihan saya. Tetapi tiap kali air mata dia keluar, berjuraian jugalah air mata saya.
“Saya berharap Allah akan bagi keajaiban untuk Ayish supaya off tracy. Ayish akan cepat sihat dan sembuh macam anak-anak orang lain dan dapat menjalani kehidupan dia yang normal.”.
Buat masa sekarang, Aishah dan suaminya hanya bergantung kepada pendapatan jualan yang mereka jalankan secara kecil-kecilan. Aishah menerima tempahan gubahan coklat bagi meneruskan kehidupan keluarga kecil ini.
Mungkin kala ini bebanan tidak begitu ketara kerana pihak hospital masih bekalkan keperluan Ayish.
Tetapi Aishah telah dimaklumkan, sekiranya Ayish dibenarkan pulang ke rumah, kos rawatannya memang tinggi kerana anak yang menjalani tracheostomi memerlukan banyak perkara antaranya steril untuk sedutan, tiub ryles tiub untuk penyusuan, set bagging dan susu Ayish sekarang adalah susu Pediasure yang agak mahal harganya.
Simpati dengan ujian buat keluarga kecil ini. Anda yang mahu menghulurkan bantuan dan meringankan beban mereka, bolehlah berbuat demikian menerusi akaun Bank Rakyat, 22-384-103292-1 atas nama Siti Aishah Muhamad Razli.