‘Set ALARM Setiap 9 Pagi Untuk Telefon Mak ..’ Hubungilah Orang Tua Selagi Ada

Share

Abdul Muiez Ruslee berkongsi kisah. Seorang sahabat yang menetapkan jam locengnya setiap hari pada jam 9 pagi, untuknya menghubungi ibunya.

Rutin itu dilakukan tanpa culas. Biarpun ibu sudah tiada, alarm itu tetap berbunyi. Sebak kisahnya. Apabila terkenangkan kisahnya sendiri, hatinya menjadi sebak.

Pagi terakhir dia dapat bercakap dengan ibunya, sebelum ibu dijemput Ilahi pada malam harinya. Sehingga saat ini, rasa rindu pada yang telah tiada terus menebal di lubuk hati.

Orang Tua Sebolehnya Tak Nak Susahkan Anak-anak

Emak ayah ni, seboleh-bolehnya tak nak menyusahkan anak-anak. Walau pun bagi anak-anak tidak ada istilah menyusahkan. Yang ada, hanya tanggungjawab.

Bukan sekadar tak nak menyusahkan, tapi tak nak juga membuat anak-anak risau.
Tadi ayah tunjuk gambar BP. Memang itu kelaziman ayah. Sehari lima enam kali ayah akan hantar laporan dalam grup wasap. Alhamdulillah okay. 144 / 73. Itu pun lepas makan ubat.

Rupa-rupanya, sebelum itu, 188. Tinggi weh. Tapi, ayah tak nak bagitahu anak-anak, sebab tak nak anak-anaknya risau.

Syukur sebab saya ada adik yang baik. Selalu ambil berat tentang ayah.

Ayah biasa bangun jam 2 pagi. Dah jadi kelaziman dah.

Kadang-kadang, bila adik belum tidur dan tengok lampu bilik ayah belum menyala, dia akan telefon. Risau kalau apa-apa berlaku.

Adik jugalah yang selalu paksa mak ayah makan ubat. Dulu, masa mak ada, mak selalu cakap, “aku tahulah. Aku pun nak hidup, ep.”

Awal tahun dahulu, rajin juga saya telefon ayah dan mak mentua sebelum ke sekolah. Bila PdPR, tak ada telefon dah.

Sekarang, saya rasa kena lazimkan semula menghubungi mereka.

Set Alarm Setiap Jam 9 Pagi, Hubungi Ibu

Saya teringat kepada kawan saya. Dia sampai set alarm. Setiap hari, jam 9 pagi, dia akan hubungi ibunya.

Sampailah ibunya meninggal, alarm masih tetap berbunyi. Tetapi masa itu, orang yang nak dihubungi sudah tiada.

Saya tak nak perkara itu terjadi kepada saya.

Hari terakhir sebelum mak meninggal, saya telefon mak. Saya bagitahu, si Iezat dapat masuk MRSM. Mak menangis. Mak cakap, nanti dia telefon balik.

Sampai petang, mak tak telefon. Saya ingat tu. Cuma bodohnya, saya tak pula telefon mak.

Baca sini : Bertuahnya menantu lelaki tak berkira belikan mak mentua gelang emas

Pagi Terakhir Bercakap Dengan Mak

Rupa-rupanya, pagi itulah kali terakhir saya bercakap dengan mak sebelum mak pergi selepas Isyak. Sampai sekarang mak tak pernah telefon lagi.

Bila dah tak ada, masa itu barulah teringat.

Saya last hubungi emak ayah, minggu lepas.”

Masa itu, menyesal pun dah tak guna.

Kenapa perlu ambil masa yang lama, sedangkan kita boleh hubungi mereka bila-bila masa.

Tak perlu cakap lama. Asalkan kita tahu mereka sihat, itu sudah cukup lega.

Semoga semuanya baik-baik sahaja. InsyaAllah.

Mingguan Wanita : Tak rugi pun jika luangkan sedikit waktu untuk bertanyakan khabar orang tua. Bila dengar je suara anak-anak, rasa bahagia menebal dalam jiwa mereka.

Sumber/Foto : Abdul Muiez Ruslee

Published by
Netty Ah Hiyer