Minatnya dalam bidang hiking bermula ketika melanjutkan pengajian di dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik & Elektronik di Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh, Perak sekitar tahun 2006. Ketika menyertai Kelab Rekreasi dan Kembara PUO (KEREK PUO) cintanya dalam dunia pendakian pun berputik. Selepas berjaya menawan Gunung Chabang, Simpang Pulai, Perak… kecintaan Nadiah dalam bidang ini kekal berterusan sehingga kini.
Di usia 32 tahun, wanita yang juga Pembantu Tadbir di Jabatan Standard Malaysia, Cyberjaya ini lagi tak pernah puas dengan pencapaiannya. Bersama dengan Pertubuhan Nadi Sihat, Nadiah gigih melakar rencana dan target gunung mana lagi yang mahu ditawan.
“Antara halangan yang pernah dilalui semasa hiking adalah rempuhan huan lebat dan sesat bersama kumpulan di dalam hutan. Ia berlaku semasa ekspedisi ke Gunung Suku, Irau dan Brinchang. Kami berkumpulan masuk selepas waktu maghrib dan terpaksa tidur di trek kerana hujan lebat menyukarkan kami mencari laluan trek walaupun kami membawa headlamp.
“Pernah juga hidung ini terbau hamis air kencing Pak Belang semasa di Gunung Bintang, Kedah. Lazimnya apabila kita mendaki, selalunya kami bergerak secara berkumpulan. Lazimnya Pak Belang akan menyerang yang paling belakang ataupun memilih mangsa yang lemah. Tetapi risiko untuk bertemu Pak Belang itu memang ada, maklumlah kita sudah masuk kawasan ‘kediamannya’, cuma dia tak akan agresif dan menyerang manusia melainkan dia rasa terancam.
“Sebagai langkah keselamatan selalunya kami bawa mercun bola bagi menakutkannya bila perlu. Lagi satu saya ada juga mendengar perihal belerang boleh menjauhkan haiwan berbisa. Sebenarnya formula tu tak menjadi pun. Sudah menjadi kebiasaan makanan pastikan disimpan di dalam bekas berpenutup dan diletakkan di dalam khemah. Bila malam sebelum tidur selalunya kami akan nyalakan unggun api. Kadang-kadang kami bergilir-gilir tidur untuk memastikan keselamatan ahli kumpulan terjaga,”kongsinya.
Jaga mulut
Adab di dalam hutan, jangan terlalu yakin, cakap besar dan terlajak gembira. Seperti yang kita sedia maklum hutan itu, selain haiwan dan unggas ia juga didiami oleh mahkluk yang tidak nampak dipandangan mata kasar manusia.
“Sejujurnya sudah menjadi amalan seperti yang dikongsi oleh mereka yang lebih berpengalaman, kalau masuk hutan jaga adab dan tingkah laku. Elakkan bercakap besar atau meninggi diri. Kita datang ke tempat orang, haruslah jaga adab tertib. Saya secara peribadi amalkan membaca ayat Kursi, ayat ke sembilan dari surah yasin, lima ayat pertama surah Al Baqarah dan tiga ayat terakhir surah Al Baqarah.
“Kalau kita dikawasan hutan yang berlandskap cantik dan berpohon unik… jangan cemarkan tempat itu dengan sampah atau pandai-pandai merosakkan tumbuhan di situ. Adalah sebab-sebabnya. Ingat tujuan asal kita ke tempat ini untuk menghargai kekuasaan Allah S.W.T dan menghayati ciptaan Nya,”pesannya.
Tak pernah serik dengan kecederaan
Serik akibat kecederaan itu perkara paling mustahil berlaku ke atas pendaki. Sebaik pulih dari kecederaan selalunya kaki gunung ini akan meneruskan hobi mereka seperti biasa.
“Kecederaan ringan seperti terseliuh kaki misalnya, saya akan berehat selama dua minggu sehingga ia benar-benar sembuh. Tidak serik itu adalah normal bagi seorang pendaki gunung sukan extreme dan ini adalah cabaran biasa buat kami. Jari saya juga pernah juga pernah terluka kerana terpegang duri pada pokok rotan. Bagi menghentikan pendarahan luka itu dibalut sebaiknya bagi mengelakkan darah terus mengalir.
“Ketika saya berusia sembilan tahun, saya pernah mengalami patah bahu.
Ingin menguji kemampuan diri, saya tidak pernah menjadikan kecederaan itu penghalang untuk aktif dalam bidang ini. Saya juga ingin berkongsi pencapaian peribadi yang membanggakan, apabila berjaya mendaki hingga ke Gunung Merbabu iaitu gunung berapi yang tidak aktif dan ketika cuaca sejuk mencengkam pada jam tiga pagi kami mula mendaki hingga ke puncak. Pengalaman ekstrem lain apabila berjaya menawan Gunung Fansipan di Vietnam agak getir kerana perlu bertahan dengan cuaca sejuk ekstrem yang mencapai suhu negatif empat darjah Celsius.
Sasar ‘Seven Summits’
Wanita ini menyasarkan untuk menawan tujuh gunung tertinggi di dunia bagi melengkapkan ekspedisi peribadinya. Selain aktiviti gunung, Nadiah juga aktif menyertai larian marathon dan ultra, berlari hutan denai (trail run), berkayan dan ke gim untuk melakukan rutin senaman High-intensity Interval Training (HIIT) bagi mengekalkan stamina diri.
“Sasaran untuk menawan gunung tujuh gunung tertinggi di dunia (Seven Summits); tujuh puncak tertinggi di dunia itu adalah Puncak Carstenz di Pegunungan Jaya Wijaya Indonesia (4.884 mdpl), Gunung Vinson di Antartika (4.897 mdpl), Gunung Elbrus di Rusia (5.642 mdpl), Gunung Kilimanjaro di Tanzania (5.895 mdpl), Gunung Aconcagua di Argentina (6.962 mdpl), Gunung Denali di Alaska (6.194 mdpl) dan Gunung Everest di perbatasan Nepal dan Tibet (8.848 mdpl).
“Seven Summits mewakili tiap beberapa benua yang ada di dunia ini, Asia, Eropah, Amerika, Afrika, dan Benua Antartika. Asia mewakili dua puncak, iaitu Puncak Carstenz dan Gunung Everest sebagai puncak yang paling tertinggi di dunia. Dalam perancangan saya ingin menjejakkan kaki ke puncak gunung terdekat iaitu Everest Base Camp (EBC) di Nepal. Saya juga dalam proses mengumpul dana untuk mendaki Gunung Alpine (Gunung bersalji) yang terkenal dengan cuaca esktrem sejuk.
“Bagi pendapat saya hiking adalah hobi menyeronokkan dan bukan menyakitkan. Pesanan saya untuk yang suka pada trip compress, cuba ambil masa dengan menghayati alam semulajadi, berkemah dan bermalam dalam sekitar tiga hari disitu bagi menikmati dengan lebih tenang panorama gunung dan hutan. Hal ini untuk trip Konvesionnal terutamanya.
“Nasihat saya, kepada mereka yang baru berjinak-jinak, naik dulu bukit bukau yang rendah ada di Malaysia dan mulakan mendaki ketika waktu siang. Ikut kemampuan diri dan mulakan langkah pertama anda. Saya yakin lama-kelamaan anda akan jatuh cinta dengan aktiviti sihat sebegini,”cerita wanita aktif ini menutup bicara.