Seronok Cuaca Sejuk, Tapi Ambil Peduli Juga 9 Pesanan Penting Daripada Kementerian Kesihatan Malaysia Ini!

Share

Malaysia dilanda fenomena musim sejuk dengan mencatat suhu mencecah hingga 22 darjah Celsius!. Perkara ini jarang sekali berlaku memandangkan negara ini terletak pada garisan khatulistiwa dan beriklim tropika.Namun demikian, meskipun ramai yang menyukai cuaca ini, tapi perlu ambil peduli juga dengan pesanan penting yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menangani keadaan ini.

NASIHAT KESIHATAN BERKENAAN FENOMENA CUACA SEJUK YANG MELANDA MALAYSIA

Pada masa sekarang ini, beberapa tempat di Malaysia terutamanya di sebelah pantai timur dan utara Semenanjung dilanda cuaca sejuk. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, suhu udara yang sejuk yang melanda disebabkan oleh tiupan angin timur laut yang berpunca dari tanah besar China. Kejadian ini dijangka akan berlarutan sehingga awal minggu hadapan.

Sehubungan itu dengan mengambil kira kemungkinan berlakunya perubahan cuaca yang semakin sejuk, Kementerian Kesihatan Malaysia ingin mencadangkan beberapa langkah yang boleh diambil oleh rakyat Malaysia dalam menghadapi perubahan cuaca sejuk ini:

1.Pakaian Sesuai

Pakai pakaian yang bersesuaian semasa cuaca sejuk. Pakaian yang berlapis amat berguna dalam menghadapi cuaca sejuk kerana ia berfungsi sebagai penebat yang baik dan dapat mengekalkan haba badan. Penggunaan sarung tangan dan kaki juga boleh membantu mengurangkan kesan suhu sejuk kepada kesihatan.

2.Hadkan Aktiviti Luar

Kurangkan aktiviti luar terutama pada waktu malam untuk mengurangkan pendedahan kepada suhu sejuk sekiranya keadaan menjadi semakin teruk dan tidak selesa.

3.Tutup Pintu & Tingkap

Apabila berada di rumah pada waktu senja atau malam, pastikan semua pintu, tingkap dan langsir ditutup bagi mengurangkan suhu sejuk masuk ke dalam rumah.

4. Kerap Lakukan Aktiviti Fizikal

Lakukan aktiviti fizikal lebih kerap semasa berada di rumah untuk mengurangkan kesan cuaca sejuk. Pergerakan anggota badan yang berterusan dapat menghasilkan haba yang dapat memanaskan badan.

5.Makanan & Minuman Panas

Makanan merupakan satu sumber tenaga yang penting dalam membantu memanaskan badan. Pastikan anda mengambil makanan dan minuman panas semasa cuaca sejuk.

6.Pakai Selimut

Penggunaan selimut dan pakaian bersesuaian seperti pakaian berlengan panjang sebelum tidur perlu diambil kira terutamanya melibatkan kanak-kanak dan juga orang tua.

7.Sediakan Stok Ubat

Bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma, alahan kepada cuaca sejuk mereka perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan ubatan sentiasa ada kerana cuaca sejuk dapat mencetuskan serangan asma.

8.Jaga Kesihatan

Orang awam perlu sentiasa menjaga kesihatan diri dan mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran dengan segera sekiranya menghadapi masalah kesihatan.

9.Ikuti Perkembangan Cuaca

Orang awam juga dinasihati agar sentiasa mengikuti perkembangan semasa mengenai fenomena cuaca sejuk menerusi laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (http://www.met.gov.my) dan juga melalui media masa.

Sumber: Info Sihat Kementerian Kesihatan Malaysia
Kredit Foto: Areej Torla

Published by
Suhaidah Abd Wahab