Ketika sebahagian besar daripada kita bergembira menyambut Aidilfitri bersama insan tersayang, lain pula nasib seorang ibu tunggal bersama empat orang anak. Kehilangan suami tercinta memberi impak yang sangat besar buat Siti Rafizah Mohd Razali, 39. Malah susana suram menyelubungi Siti Rafizah dan empat orang anak-anak terutamanya ketika meraikan lebaran.
Selepas pemergian suami tercinta dek kerana demam Chikungunya pada tahun 2020, Siti Rafizah terpaksa meneruskan kehidupan sebagai tonggak keluarga. Wanita tabah itu meneruskan perniagaan suaminya yang menjual air balang di beberapa pasar malam sekitar Pulau Pinang.
Namun pada bulan Ramadan pula dirinya mencari nafkah di pasar Ramadan kawasan flat kediamannya yang terletak di Flat Kg Melayu, Gelugor. Walau pendapatan tidak seberapa, namun Siti Rafizah tetap meneruskan perniagaannya tanpa mengeluh. Semuanya demi mencari sesuap nasi buat anak-anak kesayangannya.
“Sejak ketiadaan suami saya terpaksa membanting tulang mencari rezeki. Anak-anak keutamaan dan saya akan pastikan mereka dahulukan pelajaran walaupun kehidupan kami sangat susah. Saya turut bersyukur kerana mendapat bantuan dari zakat untuk membantu membayar rumah sewa kami,” luah Siti Rafizah membuka bicara.
Bebanan yang ditanggung bertambah berat apabila anak ketiganya mengalami masalah berkaitan jantung.
“Pada awalnya saya agak terkejut dengan penyakit berkaitan jantung yang dialami anak ketiga, Namun pasrah dengan ujian dari Allah. Saya percaya Allah tak akan uji hambanya melebihi kemampuan kita sendiri. Sebagai ibu saya perlu kuat dan terus berusaha gigih mencari nafkah demi anak-anak tercinta,” tambah anak jati Pulau Pinang ini.
Sejak ketiadaan suami, Siti Rafizah hanya memikirkan masa depan anak-anak. Tak kenal erti lelah, wanita ini sentiasa mahu memastikan anak-anak menimba pelajaran.
“Saya sentiasa pastikan anak-anak ke sekolah dan keperluan pembelajaran mereka lengkap. Walau hidup susah namun anak-anak wajib ke sekolah menimba ilmu demi masa depan mereka.
“Ada kalanya semasa berbual dengan anak-anak saya pernah berjanji dengan mereka kalau mak ada duit satu hari nanti mak nak bawa kamu pergi hotel.
“Tak sangka pula selepas mendapat panggilan dari pihak Mingguan Wanita dan melihat jadual program PTPTN Sempurnakan Raya yang mereka berikan, saya berasa sangat bersyukur hajat untuk menginap di hotel dengan anak-anak termakbul. Apatah lagi pihak PTPTN juga sudi mengajak kami berbuka puasa di hotel,” ungkap Siti Rafizah sambil mengesat air mata kerana tidak menahan sebak.
Rezeki yang hadir tidak diduga, Siti Rafizah juga berasa gembira apabila keluarganya terpilih untuk program Sempurnakan Raya PTPTN X Mingguan Wanita. Ibu tunggal dan empat orang anaknya itu bukan sahaja berpeluang membeli belah pakaian raya malah menikmati jamuan berbuka puasa di hotel, hamper raya dan menerima duit raya dalam bentuk pembukaan akaun Simpan SSPN Prime.
Paling Istimewa untuk musim keempat, PTPTN menyempurnakan lagi kemeriahan sambutan Aildilfitri mereka dengan merias indah dekorasi kediaman keluarga asnaf serta pemberian kotak makanan.
Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berharap sumbangan dari PTPTN dapat memeriahkan sambutan Aidilfitri Puan Siti Rafizah tahun ini.
“Alhamdulillah, saya mewakili PTPTN berharap sedikit sumbangan dari kami untuk Puan Siti dan anak-anak dapat menyambut Aidilfri dengan meriah. Saya juga doakan supaya anak-anak dapat belajar dengan cemerlang dan dapat mengubah masa depan Puan Siti sekeluarga.
“Kita beri sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime kepada kesemua anak Puan Siti sebanyak RM200 seorang. Saya faham kehidupan agak sukar, kalau boleh simpanlah sikit-sikit dan tambahlah simpanan setiap bulan.
“Raya ini pasti ramai yang memberi sumbangan, jadi ketepikan sedikit ke akaun simpanan anak-anak. Supaya apabila sampai masa mereka melanjutkan pengajian ketika usia 18 tahun nanti, wang simpanan sudah cukup dan tak payah ambil pinjaman atau bantuan sebab sudah ada simpan dari awal. Paling penting sambung belajar,” ujar Datuk Norliza.
Menurut Datuk Norliza lagi PTPTN juga ada menyediakan Geran Sepadan untuk golongan B40.
“Memandangkan Puan Siti ada anak tingkatan lima, jika dapat melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi tak payah nak risau cari duit. PTPTN ada menyediakan Geran Sepadan untuk golongan B40 sehingga RM10,000, jika ada akaun Simpan SSPN Prime.
Simpan SSPN juga menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan dijamin Kerajaan
“Selain itu, Puan Siti mungkin perlu menyediakan kelengkapan awal ketika mendaftar anak ke IPT, PTPTN ada menyediakan wang pendahuluan pinjaman sebanyak RM,1500 yang boleh dipohon. Paling penting belajar dan pastikan anak sulung mendapat keputusan yang terbaik.
“Harapan PTPTN agar anak sulung Puan Siti dapat melanjutkan pelajaran dan dapat kerja yang baik serta menaikkan taraf kehidupan Puan Siti kelak,” kongsi Datuk Norliza.
Selebriti terkenal Faezah Elai juga turut sama dijemput untuk memeriahkan program Sempurnakan Raya PTPTN X Mingguan Wanita kali ini. Faezah akui begitu terharu melihat kekuatan Puan Siti dalam membesarkan empat orang anak. Walau Nampak ceria namun sayu melihat kehidupan keluarga asnaf itu.
“Secara jujurnya ini pertama kali saya sertai aktiviti golongan asnaf. Saya rasa sangat sedih bila melihat dengan mata sendiri kepayahan yang dialami Puan Siti. Sebenarnya di Malaysia ini masih ramai keluarga yang perlu dibantu terutama ibu tunggal.
“Ada dikalangan keluarga asnaf disebabkan kengkangan dari segi kewangan, anak-anak terpaksa melupakan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran. Kita kena tengok benda ni dan pastikan anak-anak Puan Siti teruskan pelajaran masa depan. Saya sangat berharap dengan pertolongan dari PTPTN, anak-anak Puan Siti akan berusaha dan faham pengorbanan maknya. Puan Siti sudah sehabis cuba untuk besarkan anak-anak. Ibu tunggal ini sentiasa tersenyum hadapai ujian Allah SWT. Kuat sungguh Puan Siti walau susah namun tetap kuat. Saya berharap anak-anak dapat mengubah kehiduapan Puan Siti kelak,” ungkap Faezah Elai.