Sepuluh Saat Je Masanya Sebelum Terhempas, Mansur Trauma Naik Lif

Share

10 saat. Itulah tempoh masa lif yang dinaiki Mansur Hussin terhempas. Dia masih trauma untuk menaiki lif.

Mansur, 64, adalah salah seorang mangsa yang terlibat  dalam kejadian lif terhempas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

“ Mahunya saya tak trauma, lepas kejadian, saya takut naik lif seorang diri. Pagi tadi, saya berani turun untuk beli sarapan pun sebab ada orang dalam lif itu.

” Setelah siap beli sarapan, saya mahu naik ke rumah tapi tak berani. Saya tunggu orang naik lif sebab saya hendak naik bersama mereka.

“ Beberapa kali pintu lif buka dan tutup, tetapi saya tidak berani nak masuk.

” Akhirnya saya kata,  Ya Allah, bukan kerana lif ini saya akan pergi. Saya tawakal dan terus masuk sahaja ke dalam lif itu.”

Mangsa diselamatkan oleh pasukan penyelamat dan penduduk setempat

Lapan individu cedera dalam kejadian pada 2 Ogos 2019 lalu. Lebih 10 tahun dia menetap di Blok C PPR Kerinchi, dan ini pengalaman kali kedua Mansur menjadi mangsa lif rosak dan terhempas secara tiba-tiba.

Kaki Lebam

Semasa ditemu ramah, kelihatannya dia masih trauma dengan apa yang berlaku. Walaupun dia hanya lebam pada kakinya, namun tragedi  itu masih tidak dapat dilupakan.

“ Kejadian kali pertama, lif yang saya naik itu hendak menuju ke tingkat 3. Manakala kali kedua ini, lif yang saya naik itu mahu menuju ke tingkat 5.

” Pada saya, kejadian kali kedua inilah paling teruk saya rasakan sebab lif jatuh dari tingkat yang lebih tinggi. Rasa gayat itu lebih,” akuinya.

Pada hari kejadian, menurut Mansur dan mangsa-mangsa lelaki lain baru sahaja balik dari masjid selesai menunaikan solat Jumaat.

“ Sebelum pintu ditutup, naik seorang budak bujang (lelaki). Dia masuk dan naik tingkat 5. Sebaik sahaja dia keluar dari lif dan tidak sempat lagi pintu itu ditutup, lif itu terus terjatuh.”

Hanya Mampu Lihat

Nasib baik budak lelaki itu sempat keluar lif. Sebaik dia menoleh ke belakang, lif itu terus jatuh. Terus dia lari turun dan nak tengok apa yang terjadi.

“ Saya nampak kejadian itu kerana saya berdiri di bucu belakang lif. Masa itu saya nampak pintu tidak ditutup rapat. Lif terus jatuh. Saya hanya mampu tengok sahaja apabila lif itu turun ke bawah.

” Pada mulanya saya hairan kenapa lif itu tidak naik ke atas? Lif itu turun dengan laju. Rasa sayup (dalam hati) itu memang lain macam ketika itu.

“ Masa itu memang tidak ada bunyi apa-apa pun di dalam lif. Saya tidak tahu hendak buat apa. Nak beritahu mereka (mangsa-mangsa lain) tidak sempat, saya hanya tawakal sahaja, standby (bersedia) untuk benda (lif) itu akan sampai (ke bawah).”

Sempat Membongkok

“ Sebelum sampai (jatuh) ke bawah, dalam lif memang senyap. Semua tergamam dan terkedu. Hanya satu dua penumpang di dalam itu mungkin perasan benda (lif)  itu jatuh. Saya nampak keadaan seperti tidak boleh buat apa-apa.

” Jadi saya membongkok sedikit sebagai persediaan sebelum lif pun sampai bawah (jatuh). Meletup (bunyinya) lif itu bila jatuh  ke bawah,” imbaunya lagi.

Kata Mansur lagi, ketika lif itu hendak terhempas,  tidak sampai 10 saat sahaja masanya. Dia nampak tingkat demi tingkat di hadapan lif ketika lif itu hendak terhempas.

Sewaktu hendak terhempas juga, suasana gelap di dalam lif kerana tidak ada elektrik. Butang lif tidak menyala. Hanya lampu kecemasan sahaja yang menyala.

“ Masa lif jatuh, tidak lama kemudian saya dengan bunyi orang mengerang kesakitan. Ada yang terlentang dan terduduk ketika lif terhempas.

” Saya tidak terduduk seperti mereka kerana sempat membongkok. Tetapi saya tidak boleh bergerak sebab ada orang jatuh atas kaki saya. Kaki sakit akibat ditimpa orang.”

Reda Dengan Kejadian Berlaku

Selama setengah jam Mansur dan mangsa-mangsa lain terperangkap di dalam lif sebelum diselamatkan oleh pihak Bomba.

“ Ramai orang di bawah cuba menolong untuk mengeluarkan kami. Tetapi mereka tidak boleh buka pintu yang tersekat. Bomba yang membuka pintu untuk mengeluarkan kami.

“ Semasa kami terperangkap itu saya lihat ada yang mengerang kesakitan. Saya kasihan pada budak lelaki berumur 10 tahun itu. Apabila ayah dia usik kakinya, dia menjerit kesakitan. Saya hanya mampu cakap pada budak itu agar bersabar,” tambah Mansur lagi.

Walaupun dua kali menjadi mangsa, Mansur reda dengan kejadian yang berlaku.

” Saya harap benda ini (lif) kalau boleh tukarlah. Kadang-kadang lif itu tidak berjalan (berfungsi). Maintenance datang usik itu usik ini hanya untuk bagi lif itu bergerak. Tetapi selamatkah lif itu untuk penumpang?” Akhirinya dengan pertanyaan.

 

Published by
Julie Roshana