“Sepatutnya Abah Yang Teman Ke Pentas..” Ayah Meninggal 15 Jam Sebelum Keputusan SPM Diumumkan

Share

Tiada yang lebih bermakna bagi anak apabila hasil penat lelah beroleh kejayaan dalam pelajaran diraikan bersama ibu dan ayah tersayang. Namun ajal maut ketentuan tuhan, hasrat seorang pelajar cemerlang SPM 2022 yang mendapat keputusan 8A pagi tadi tidak tertunai apabila ayah yang disayangi telah menemui pencipta hanya kira-kira 15 jam sebelum keputusan SPM diumumkan pada hari ini.

“Sepatutnya abah yang mengiringi dan menemani saya ke pentas mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, hari ini.

“Tetapi abah terlebih dulu menghembuskan nafasnya terakhir kira-kira 15 jam sebelum mengiringi saya mengambil keputusan SPM,” kata Nur Farah Melissa Mohd Shukri, 18, dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Khairah, hari ini.

Pada keputusan SPM hari ini, Nur Farah Melisa yang juga anak sulung daripada empat beradik memperoleh keputusan 1 A+, 6A, 1 A- dan 2C.

Abah Meninggal Komplikasi Buah Pinggang

Bapa Nur Farah Melissa iaitu Mohd Shukri Ismail, 57, yang juga guru di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) yang dimasukkan ke wad sejak Isnin lalu meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), kira-kira jam 7 malam akibat komplikasi buah pinggang.

Pengumuman dan penyampaian keputusan SPM disampaikan Pengetua SMA Khairah, Shamsiah Mohd Radzi dan turut dihadiri Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa (PIBG), Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Hanya Ditemani Adik Ke Pentas

Pada majlis itu, suasana pilu menyelubungi dewan utama SMA Khairah apabila lebih 50 guru dan pelajar memeluk sambil mengesat air mata kesedihan serta mengucapkan takziah kepada Nur Farah Melissa.

Nur Farah Melissa yang terkilan dan masih bersedih hanya ditemani adiknya, Muhammad Asyraf Daniel, 17, naik ke pentas menerima sijil keputusan SPM.

Ibu Nur Farah Melissa, Wan Zubaidah Wan Ahmad, 49, yang juga guru di Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu tidak dapat menemani dan berehat di rumahnya di Kampung Pengadang Baru.

Nur Farah Melissa berkata, kali terakhir menatap wajah bapanya ketika menghantar lampin pakai buang dan makanan di HSNZ, jam 6.45 petang semalam.

“Saya berada di sisi abah dan sempat mengajarnya mengucap ketika doktor cuba memberi bantuan pernafasan (CPR) semalam.

“Pada Selasa lalu, arwah berulang kali berjanji untuk meminta kebenaran doktor keluar daripada hospital bagi menemani saya mengambil keputusan SPM hari ini,” katanya.

Teruskan Hasrat Sambung Belajar Luar Negara

Nur Farah Melissa berkata, arwah bapa sudah lama menunggu peluang dan kerap mengajak ibu untuk turut menemaninya ketika mengambil keputusan SPM.

“Arwah abah kerap beritahu saya akan mendapat keputusan cemerlang berdasarkan kepada keputusan peperiksaan percubaan SPM yang diadakan November lalu,” katanya.

Nur Farah Melissa berkata, dia berhasrat meneruskan impian arwah bapanya untuk menyambung pengajian ke universiti di luar negara dalam jurusan akaun.

“Abah ini adalah hadiah istimewa daripada kakak untuk abah dan ibu, kakak akan berusaha untuk melanjutkan pengajian ke universiti luar negara dalam bidang perakaunan,” katanya.

Mesti Baca:IFA HADIAHKAN Anak BMW “Dia Belum Ada Lesen. Ambil Selepas SPM. Tak Buat SPM Betul-Betul, Siap!”


Baca Lagi Di Sini:Walau Dapat SPM 2G Sebaknya Ayah Faham, Doakan Anak Gadis Jadi Solehah & Hargai Usaha
Artikel Menarik:Berhenti Bandingkan Keputusan. “Masih Ramai Yang Cemerlang SPM, Tapi Akhlaknya Gagal

Mingguan Wanita: Salam takziah di atas kehilangan ayah tersayang, yang hanya 15 jam sebelum keputusan cemerlang SPM diumumkan. Semoga adik ini diberikan kekuatan dan terus cemerlang dalam pelajaran.

Sumber: Hmetro

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Abd Wahab