Seorang anak yang baik, dia akan terus berbakti kepada kedua orang tuanya. Pemuda ini, rajin kerja, dengan melakukan beberapa pekerjaan walaupun di hujung minggu.
Perkongsian kisah anak sulung ini oleh Pe Chey menjentik hati ramai orang. Dari kecil sudah terbiasa hidup berdikari. Merantau jauh ke negeri orang mencari rezeki yang halal.
Malah, separuh dari pendapatannya diberikan kepada ibu dan adik-adik di kampung yang menumpang tinggal dengan atuknya. Kegigihan pemuda ini boleh menjadi contoh untuk diteladani.
Tadi aku pergi isi minyak kereta. Elok keluar lepas ambik baki duit ( aku tak pandai guna kaedah Settle ), ternampak adik ni tengah kumpul sampah.
Aku perati muka dia, budak kita. Aku tegur.
” Sampah dari tong mana ni dik?”
” Sampah dari tong barisan ni bang.”
” Banyak jugak ya.”
” Aah bang.”
Bila dia berabang, terasa aku muda kembali. Perasan.
Teruslah aku tanya dia macam macam.
” Kau duduk mana ni dik?”
“ Seksyen 2* bang.”
” Duduk dengan family?’
” Bukan bang. Duduk menyewa dengan kawan kawan.”
Wah, macam ada benda lagi nak ditanya ni.
” Kampung mana dik?”
” Selatan Semenanjung bang.”
Jauh dalam hati, kenapa jauh sangat datang sini kerja sini ni. Start tulah terungkai kisah adik ni.
Dia 4 beradik. Dia anak sulung. Ayah dah tak ada. Meninggal. Mak kerja kilang.
Dia ada kerja tetap tapi Ahad, dia kerja partime kat stesyen minyak ni. 8 pagi sampai 8 malam. Dapatlah tambah tambah dia kata.
Dia jenis dari kecik dah biasa carik duit sendiri. Dari darjah 6 dah pandai amik upah kerja kampung. Masa sekolah menengah, dapat beli motor 2nd hand pakai duit yang dia simpan.
Motor tulah dia pakai sampai sekarang.
Ayah meninggal sebab sakit jadi dialah harapan. Duit gaji, lepas bayar apa patut, separuh dia hantar kampung. Allahhuakbar. Payah dah jumpa budak gini sekarang. Rajin kerja, ingat keluarga.
Dia sempat sambung belajar. Habis. Masa belajar dulu pun dia dah kerja sini. Bayangkan, habis kelas, dia datang kerja. Hari hari kerja. MasyaAllah.
Masa praktikal, PKP. Azab duduk jauh. Pandai pandailah nak hidup katanya tadi.
” Masa kau datang sini nak belajar dulu, kau datang sorangkan? Ayah tak hantarkan?”
” Ya bang. Saya datang sorang. Pandai pandai nak hidup. Tak tau saya tanya. Jenuh jugaklah dulu. Macam jakun pun ada.”
Allahhuakbar. Budak macam ni aku suka. Suka sebab dia ada jati diri. Kuat jati diri dia. Tak suka nyusahkan mak ayah. Rajin kerja, pandai cari duit, tak lupa pada mak dan adik kat kampung.
Ada satu part buat aku terkedu tadi bila dengar.
” Saya jarang balik kampung bang. Setahun sekali. Saya kumpul cuti tahunan, baru saya balik. Dapatlah seminggu kat kampung.”
Baca : Orang Lelaki Pun Rajin Buat Kerja Rumah, Syaratnya Jangan Mengarah
Dia bukan tak nak balik. Dia cari duit. Dia gigih kerja. Ada duit dia simpan. Dia takde masa nak lepak huha huha. Dia takde awek. Awek mana nak budak gini. Tapi budak ginilah bagus buat laki.
” Baliklah sesekali kalau boleh. Jangan tinggalkan mak tu lama sangat. Kesian mak dengan adik adik. Buat apa pun, kau kena ingat. Dulukan mak. Jangan lupakan mak dengan adik adik tu. Kau takde siapa kecuali diaorang sekarang.”
Rupanya mak dan adiknya duduk menumpang rumah atuk. Aku makin terdiam. Budak ni memang kuat. Kuat segalanya. Aku tabik dalam hati.
Sebelum aku gerak balik, aku hulur sikit duit minyak motor dengan duit makan. Dia menolak. Tak payah katanya.
Aku kata,
” Abang bagi bukan sebab kesian. Abang bagi sebab abang kagum kau rajin. Susah dah nak jumpa budak macam kau dik. Kerja elelok. Kau pandai dah buat keputusan. Tak payah abang nasihat banyak sebab abang tau kau pandai bawa diri.”
” Terima kasih banyak bang. Terkejut saya jumpa orang macam abang hari ni. Jarang jumpa boleh sembang lama, lepas tu hulur gini.”
” Abang pun dulu baya kau susah dik.
Dia angguk. Dia senyum. Senyum terima kasih.
Sebelum balik, aku minta izin dia nak amik gambar. Aku minta izin juga nak tuliskan kisah dia. Aku doakan dia berjaya satu hati nanti.
Dia izinkan. Dia sengih sebab aku kata aku nak tuliskan pasal dia. Dia tak kenal aku siapa. Aku tak bagitahu dia aku kerja apa, apa aku buat selalu.
Kalau viral kisah ni, jangan dikecam adik ni. Doakan dia. Kalau nak hulurkan sesuatu ( bayarkan sewa rumah ke atau berikan duit pada maknya ), tu bagus. Jangan je kita nak bantai, kutuk,kecam, persoal orang lain.
Mentang mentang duduk rumah teres, ada kereta Honda hutang 9 tahun, kita dah mula belagak.
Lain kasut, lain tapaknya. Aku balun je ni. Betul ke tak perumpamaan ni entah.
#NfI
Sumber/Foto : Pe Chey