
Allah sebaik-baik perancang. Biar pun sedari awal, Hazama hanya menginginkan majlis perkahwinannya diadakan secara kecil-kecilan dan diraikan bersama keluarga terdekat.
Namun atas kehendakNya, segala yang dirancang beralih kepada sebuah perkahwinan yang grand. Paling penting majlis perkahwinan Hazama Ahmad Azmi, 33 tahun, dan Gernervie Kam, 37 tahun merupakan hadiah terbesar buat ibunya yang selama ini menanti Hazama menamatkan zaman bujang.
Uniknya, persiapan majlis perkahwinan Hazama dan pemuzik Genervie hanya mengambil masa seminggu. Oleh kerana keputusan yang diambil hanyalah di saat-saat akhir, jadi Hazama hanya beranggapan majlis ala kadar sahaja mampu dilaksanakan untuk meraikan pernikahan mereka berdua. Tarikh tersebut merupakan tarikh terbaik buat mereka berdua kerana selepas ini masing-masing sibuk dengan aktiviti seni masing-masing.
Berperwatakan matang, peramah dam mudah mesra merupakan tiga karektor Genervie yang mencairkan hati Hazama untuk melamarnya sebagai suri hati. Berkenalan dan bercinta selama tiga tahun bermula penghujung tahun 2012 membuatkan anak seni ini benar-benar mengenali hati budi Gernervie.
“Sebenarnya saya memilih Gernervie bukan kerana siapa dia, sebaliknya bagaimana dia menerima keluarga saya. Saya tidak kisah siapa dia dengan saya, sebaliknya jika dia pandai mengambil hati keluarga saya terutama ibu, bermakna dialah wanita yang saya cari selama ini.
‘Sepanjang ibu saya sakit tahun lalu, dialah yang datang menghulurkan bantuan dan memberi semangat pada saya. Menjaga ibu di hospital, kebaikan dirinya bukan sahaja menarik minat saya, malah seluruh ahli keluarga saya.
“Keluarga saya memang menyokong saya untuk menyunting Genervie sebagai isteri. Dia yang dicari selama ini telah muncul di depan mata,” jelas Hazama panjang lebar.

SOAL NAK ANAK – HAZAMA
Sebagai lelaki, pastinya menjadi idaman buatnya untuk mendapatkan cahaya mata dalam masa terdekat. Tetapi siapa dirinya untuk mengatur segalanya mengikut kehendak dan percaturan diri sendiri. Bagi Hazama dan pasangan, mereka serahkan soal anak kepada Allah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tak Sanggup Lagi Berjauhan, Selepas Bergelar Isteri Shila Ke London Mengikut Suami

Isi Kandungan
ToggleShila Amzah dan suami Haris Idraki Elias terpilih menjadi penghias cover Mingguan Wanita Isu Mei, Volume 2 yang kini telah berada dipasaran. Banyak cerita-cerita menarik yang dikongsikan seperti keunikan pada majlis perkahwinan penyanyi berbakat besar ini serta perasaan dan perancangan selepas bergelar isteri. Berikut antara temubual eksklusif bersama wartawan Shahrina Azlin Abdullah.
Lima bulan mengikat tali pertunangan akhirnya pada tanggal 19 April 2018 menyaksikan penyatuan dua hati, antara pelantun lagu Patah Seribu, Nur Shahila Amir Amzah, 28, atau lebih dikenali dengan nama Shila Amzah dengan jejaka pilihan hati Haris Idraki Elias, 28.
Dengan sekali lafaz, Shila selamat diijabkabulkan oleh ayahnya ND Lala dan disaksikan oleh Ustaz Helmi Saadon dari Jabatan Agama Islam Selangor. Shila menerima mas kahwin berjumlah RM888 daripada pihak lelaki dengan jumlah hantaran yang dipersetujui keluarga tidak didedahkan. Pasangan ini telah disatukan dalam satu majlis pernikahan serba ringkas yang diadakan di kediaman Shila Amzah itu dihadiri oleh keluarga terdekat dan sahabat handai.
Persiapan Hanya Dua Bulan
Bercerita tentang persiapan perkahwinan mereka berdua, menurut Shila, segala perancangan dibuat dalam masa dua bulan kerana jadual kerjanya yang padat. Namun Shila beruntung kerana mempunyai keluarga yang sangat memahami selain pembantu peribadi yang banyak menyumbangkan tenaga dalam menjayakan majlis pernikahan dia dan Haris.
“Jadual kerja saya memang padat, jadi perancangan untuk majlis-majlis kami berdua di buat dalam masa dua bulan. Dari awal memang saya dah impikan bagaimana majlis perkahwinan saya nanti dan dibantu sepenuhnya oleh kawan baik merangkap pembantu peribadi saya, Aini. Untuk melancarkan majlis ini saya telah melantik perancang majlis iaitu ANH Events. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar walaupun sejujurnya tidak seperti yang saya harapkan sepenuhnya, tapi secara keseluruhan saya gembira kerana ia berjalan dengan lancar. Bagi saya itu semua dugaan biasa nak mendirikan rumah tangga itu pasti ada,” ulas Shila lagi.
Lima Majlis Raikan Cinta Shila dan Haris
Dalam lima majlis yang berlangsung, Shila telah menggunakan perkhidmatan Azura Couture untuk majlis Khatam Al-Quran, Majlis bertandang, Majlis berinai dan juga Majlis resepsi, manakala untuk Majlis pernikahannya pula, rekaan Nurita Harith menjadi pilihan raja sehari ini. Shila turut menggayakan rekaan Melinda Looi untuk persalinan selepas upacara pernikahan pada 19 April yang lalu.
“Bermula dengan majlis khatam Al-Quran, Azura sendiri yang pilih warna merah jambu lembut tapi dalam masa yang sama saya ada juga bagi idea untuk persalinan majlis saya itu. Alhamdulillah saya sangat berpuas hati dengan baju-baju yang telah direka untuk saya oleh Azura Couture,” tambah Shila puas hati.
“Saya memang inginkan persalinan nikah rekaan Nurita Harith kerana saya rasa sentuhannya dapat menepati cita rasa saya. Lebih moden dan anggun. Syukur apa yang saya inginkan direalisasikan oleh Nurita Harith. Saya suka dan selesa dengan persalinan pernikahan saya itu.
“Saya memang suka berfesyen jadi saya mahu majlis perkahwinan saya direalisasikan dengan busana-busana idea saya dan juga pereka itu sendiri. kebanyakan rekaan baju saya pada kesemua majlis adalah hasil idea saya sendiri tapi dibantu dan diolah oleh pereka, begitu juga untuk dekorasi.”
Memilih Warna Hitam Di Majlis Resepsi
Menjawab persoalan kenapa memilih warna hitam sebagai busana untuk majlis resepsi yang diadakan di Marriot, Putrajaya, jelas Shila
“Saya rasa warna hitam sangat ‘rare’ dan unik. Saya telah pun memakai pakaian berwarna putih sewaktu majlis akad nikah. Sebab saya memilih untuk memakai baju sanding berwarna hitam ialah kerana saya mahu kelihatan elegan dan saya seorang yang suka lari daripada kebiasaan. Kalau nak diikutkan mak saya pun tak suka dengan warna busana yang saya pilih untuk resepsi tersebut, lagi pula saya bukanlah penggemar warna-warna pastel, saya pun dah pakai 3 warna pastel dalam majlis sebelum ini, jadi untuk majlis resepsi yang terakhir saya pilih untuk memenuhi impian saya untuk memakai warna hitam. Saya nak nampak anggun, misteri, dan different untuk majlis saya itu,” terang Shila.
Kejutan Di Majlis Perkahwinan
Shila menerima kejutan istimewa pada malam tersebut apabila kumpulan Ruffedge membuat kemunculan istimewa menyanyikan lagu Bila Rindu. Wajah Shila jelas kelihatan terkejut dan terharu melihat persembahan daripada Ruffedge yang didendangkan khas untuk majlisnya.Lebih istimewa lagi pada malam itu Shila Amzah turut menghadiahkan sebuah lagu baru dalam bahasa Mandarin yang dicipta khas untuk suaminya.
Belum Rancang Berbulan Madu
Saat diajukan perancangan berbulan madu kedua pasangan ini, menurut Shila dan Haris kedua mereka masih belum mempunyai perancangan kerana kekangan waktu dan masing-masing sibuk dengan urusan kerja.
“ Sebenarnya saya dan Haris masih belum berbincang tentang bulan madu kerana kedua kami masing-masing sibuk. Tapi Insya-Allah selepas kami selesai pindah rumah perkara itu akan difikirkan bersama ke mana destinasi bulan madu kami,” ujarnya.
Tambah Shila lagi, selepas selesai semua urusan di Malaysia, dia akan mengikut Haris pulang dan tinggal bersama di London.
“Kami berdua tak mahu tinggal berjauhan lagi, sejak bertunang memang kami jarang sangat jumpa. Jadi saya ambil keputusan untuk tinggal bersama suami di London. Memang tak dinafikan kerjaya Shila memerlukan Shila sering berulang ke China, tapi Alhamdulillah suami Shila sangat menyokong. Dia tak kisah jika Shila perlu ke tempat lain untuk bekerja asalkan Shila kembali ke pangkuannya selepas selesai tugas Shila,” tambahnya tersenyum manis.
Ingin Habiskan Masa Berdua Dahulu
Tiada yang lebih menggembirakan hati seorang gadis, bila mana sudah bergelar seorang isteri kepada jejaka yang berjaya mencuri hati. Begitu juga dengan Shila Amzah, dirinya kini terasa sudah sempurna dengan kehadiran suami di sisi.

“Saya rasa sangat happy dan bahagia. Saya rasa hidup saya dah sempurna. Pencarian saya sudah tamat dalam mencari cinta sejati yang akhirnya saya bertemu. Tak ada perkataan yang boleh saya gambarkan cuma apa yang boleh saya katakan saya bahagia dengan kehidupan baru saya ini,” ulas Shila.
Sebelum mengakhiri perbualan, Shila sempat memberi komen tentang perancangan keluarga atau lebih tepat lagi kesediaannya untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat,
“Sejujurnya saya dan suami tak pernah bincang secara mendalam sangat, tapi saya dan Haris bersetuju untuk rileks dahulu dan menjalani kehidupan suami isteri terlebih dahulu. we just want to spend a lil bit more time antara satu lain terlebih dahulu. Dengan perjalanan karier masing-masing yang sibuk tapi kalau ada rezeki kami mahu sepasang anak,” akhiri Shila.
Tahniah diucapkan buat Shila dan Haris, semoga ikatan perkahwinan yang terbina kekal hingga hujung nyawa.Selamat menjalani kehidupan baru. Jadi jangan lupa dapatkan majalah ini dipasaran. Banyak lagi cerita-cerita menarik lain yang dikongsikan.
Penulis: Shahrina Azin Abdullah
Foto: Nana Azman & Instagram Shahila Amzah
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Heliza & Irma Ada Cara Tersendiri Bantu Ummah

Isi Kandungan
ToggleKedua-dua figura ini cukup aktif dengan misi-misi kemanusiaan di dalam dan juga luar negara. Meskipun perlu bertarung nyawa memasuki kawasan bergolak seperti di Syria, Palestin dan juga kawasan tinggalan perang di Marawi, Filipina. Itu semua sedikit pun tidak menggentarkan hati dan jiwa Kedua-dua wanita kental ini. Niat mereka cuma satu, ingin menghulurkan bantuan dan menyelami sendiri keadaan sebenar di Kawasan yang terjejas.
Walaupun padat dengan jadual aktiviti untuk misi kemanusiaan, mahupun aktiviti sosial dan juga peribadi, Irma Hasmie dan Heliza Helmi, dua nama yang tak perlu diperkenalkan lagi, tidak menghampakan MW untuk menggandingkan mereka berdua bagi menghiasi muka depan majalah untuk isu Ramadan yang mulia. Keduanya mempunyai cerita tersendiri setiap kali mengikuti misi kemanusiaan ke luar negara.
Cerita mereka cukup meruntun jiwa apatah lagi melibatkan kanak-kanak dan mangsa-mangsa perang akibat kerakusan manusia yang inginkan kuasa. Sungguh mulia hidup mereka, mendedikasikan diri ke jalan Allah hanya untuk memberi manfaat dan juga memudahkan urusan orang lain di dunia. Semoga setiap urusan dan misi mereka mendapat sokongan dan bantuan ramai agar lebih banyak lagi misi dapat dilaksanakan.
Semangat Heliza Tak Pernah Pudar Untuk Bantu Ummah
Heliza merupakan salah seorang penggiat seni yang kuat memperjuangkan isu ummah. Semangatnya untuk memperjuangkan isu ummah semakin kuat setelah dirinya berpeluang melihat sendiri keadaan di Gaza, Palestin pada tahun 2012. Walaupun pada mulanya keluarganya tidak membenarkan dia pergi atas faktor keselamatan namun akhirnya dengan izin Allah SWT, dia dapat pergi dengan keizinan keluarga dan dapat berkongsi isu ini dengan masyarakat. Lirik lagu “La Tahzan” di inspirasikan hasil daripada pengalaman Heliza menjejakkan kaki di sana pada pertama kalinya.
Penyanyi cantik ini merupakan duta Aman Palestin dan juga aktif mengikuti NGO yang lain seperti Muslim Care, MAPIM dan banyak lagi. Selain isu Gaza, Heliza juga sedang giat memperjuangkan isu Syria. Ketika ditemu bual, Nur Heliza Helmi, 33, atau lebih dikenali sebagai Heliza Helmi dan adiknya Hazwani baru sahaja pulang dari Syria untuk misi mereka ke sana ketika Januari yang lalu.
“Alhamdulillah, saya dan adik saya Hazwani, baru sahaja pulang dari Misi Syria. Apa yang boleh saya katakan keadaan dekat sana memang sangat memerlukan bantuan. Ketika kami sampai di sana, musim sejuk, keadaannya memang cukup menginsafkan di kem pelarian yang menempatkan orang Syria yang serba kekurangan. Mereka tidur dalam kesejukan, memang sangat menyedihkan melihat keadaan mereka di sana. Justeru itu sumbangan daripada semua sangat dialu-alukan untuk mendapatkan dana bagi membantu mereka. Kalau ada yang tengok Instagram saya yang ada kontena itu, Alhamdulillah semua itu amanah rakyat Malaysia untuk kami sampaikan di sana. Kami beri makanan, selimut dan keperluan lain untuk mereka gunakan. Misi Syria yang kami jalankan ini juga mempunyai perancangan untuk membina penempatan rumah tetap di sana dan juga bina masjid serta sekolah. Ini semua memerlukan dana yang berterusan daripada kita semua bagi merealisasikan semua ini sekali gus dapat membantu rakyat Syria yang terkesan dengan peperangan yang berlaku,” ujar Heliza memulakan bicara.
Tanggungjawab Sebagai Hamba Allah
Saat diajukan soalan tentang menjadi ikon Muslimah yang tulus dalam menjalankan kerja dakwah serta misi kemanusiaan, menurut Heliza, apa yang dilakukan bukan untuk mendapat pengiktirafan mahupun penghargaan, itu semua dibuat atas dasar tanggungjawab yang perlu digalas sebagai seorang hamba Allah.
“ Dalam melakukan misi kemanusiaan dan juga kerja dakwah ini, sebenarnya semua orang ada tanggungjawabnya. Barang siapa yang mengucapkan Kalimah Lailahailallah, kita semua merupakan milik Allah. Jadi yang paling penting fokus kita adalah kita buat apa yang Nabi suruh seperti dalam hadisnya, “Sampaikanlah dariku walau hanya sepotong ayat”.
“Jadi kita nak sampaikan apa yang Rasulullah suruh dan mudah-mudahan itu semua boleh jadi asbab untuk kita dekat dengannya dan menjadi sebab untuk ramai orang sama-sama buat kerja kemanusiaan dan dakwah. Kami memang sangat memerlukan doa semua orang kerana saya juga tahu saya sendiri banyak kelemahan, banyak kekurangan terutamanya bila berada dalam kerja-kerja lapangan seperti ini. Orang ramai mungkin nampak kami hebat buat semua misi kemanusiaan sebegini, tapi hakikatnya kami juga seperti manusia lain yang memerlukan doa dari kalian semua.
“Syukur Alhamdulillah kami memang mendapat sokongan, doa dan kata-kata semangat dari ramai orang atas misi yang dijalankan. Bukan sahaja daripada kalangan muslim malah orang bukan Islam juga turut menyatakan sokongan mereka. Bila ada sokongan dan perhatian yang sebegitu sedikit sebanyak kami dapat inspirasi dan semangat untuk meneruskan misi kemanusiaan sebegini. Ia bukan hanya tentang kami tapi ia juga tentang orang lain yang memberi inspirasi dan terus beri semangat untuk kami terus lakukan kerja-kerja kemanusiaan. Layak tak layak sebenarnya hanya gelaran, yang paling penting kerja ini perlu kita galas, wallahualam,” tambahnya.
Menyertai misi ke tempat yang penuh dengan risiko pastinya bukan mudah. Faktor keselamatan diri perlu diambil kira, namun bagi Heliza ini semua perjuangannya untuk ummah yang memerlukan bantuan.
“Ia adalah perjuangan isu peduli ummah, ia adalah untuk ummah, seperti sabda Nabi s.a.w yang menyatakan “Barang siapa yang memudahkan urusan orang lain, Allah akan memudahkan urusan kita dunia dan akhirat.” Bila kita dapat lihat senyuman, kebahagiaan daripada orang-orang yang kita tolong, walau mereka bukan siapa-siapa dengan kita, menjadi tugas kita untuk bantu mereka semua kerana mereka adalah saudara kita. Dengan beri bantuan kepada mereka secara tak langsung kita juga bantu diri kita sendiri. Apa yang dapat saya lihat, walaupun memerlukan bantuan dan berada di kawasan yang bergolak, mereka semua sangat sabar dan reda apabila mendapat satu-satu ujian. Itu semua sedikit sebanyak memberikan rasa keinsafan dan rasa bersyukur berada di bumi Malaysia yang mana kita mendapat pelbagai jenis nikmat. Semua ini membuatkan kita sedar apa yang disebut dalam al-Quran, apabila kita bersyukur, Allah akan tambah lagi nikmat. Jadi mudah-mudahan kita semua menjadi insan yang lebih bersyukur dan lebih dekat dengan Allah, Insya-Allah,” tambahnya.
“Bila berada dalam perjuangan kemanusiaan, perasaan dan semangat cinta tentang misi seperti ini tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Perasaan dan pengalaman ini tak dapat dibeli dengan wang ringgit. Kita di sini tak dapat makan sehari malah sekejap pun dah rasa tak tentu arah, lapar dan sebagainya. Apatah lagi mereka yang tak dapat makan berhari-hari. Mereka terpaksa makan kotak, rumput, daun dan sebagainya. Bayangkan kita kena jadi pelarian dalam rumah sendiri. Di Malaysia kita boleh tidur dengan aman dan selesa, tapi tidak untuk mereka. Bom sana sini, mati dalam kebuluran, ketakutan, kesejukan. Jadi saya ingin perjuangan dapat saya teruskan sehingga hujung nyawa saya, insya-Allah,” ujarnya penuh semangat.
Ternyata bantuan dan sokongan daripada orang ramai memang sentiasa diperlukan. Justeru Heliza amat berbesar hati jika ada tangan-tangan yang sudi membantu. Bagi yang ingin menyumbang bolehlah menyalurkan bantuan ke Maybank Islamic Syria Emergency Appeal (Dana MAPIM) di akaun nombor: 5628 3463 6987
Misi Kemanusiaan Buat Irma Lebih Bersyukur
Irma Hasmie, 37, seorang lagi selebriti yang cukup sinonim dengan misi kemanusiaan. Merupakan salah seorang Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IRM) di samping rakan selebriti yang lain seperti Diana Amir, Ashraf Muslim, kumpulan Saujana dan ElFaezah UlHaq.
Meskipun sudah jarang dilihat Irma mengikuti misi-misi kemanusiaan di luar negara, hakikatnya wanita ini masih lagi aktif dalam menyumbangkan tenaga dan bantuan untuk misi kemanusiaan tempatan memandangkan statusnya sebagai seorang isteri dan juga ibu kepada dua cahaya mata.
Sempat berkongsi perkembangan terkini, isteri kepada Redza Syah Azmeer ini masih lagi aktif mengacarakan program berbentuk bual bicara di salah sebuah stesen televisyen tempatan. Selain itu Irma juga masih lagi aktif dengan perniagaan tudung berjenama Hasmie yang turut berkolaborasi Bersama beberapa jenama lain di musim perayaan yang bakal tiba nanti.
“Alhamdulillah saya masih lagi aktif mengacara dan kalau diberi peluang saya mahu meneroka lebih lagi dalam bidang pengacaraan ini. Selain daripada itu, perniagaan saya dengan jenama Hasmie masih lagi aktif. Saya turut berkolaborasi Dengan beberapa jenama lain untuk koleksi Raya. Malah produk daripada jenama Hasmie turut dijual menerusi e-dagang seperti Shopee dan juga Lakumall.com.
“Alhamdulillah rezeki sentiasa ada, baru-baru ini juga saya dilantik sebagai duta untuk jenama Haqqi Bersama-sama beberapa ikon selebriti yang lain untuk koleksi pakaian mereka,” ceritanya tentang perkembangan terkini dirinya.
Masih Aktif Dengan Misi Kemanusian
Masih lagi aktif dalam menjalankan misi kemanusiaan Bersama IRM, menurut ibu kepada Redza Syah Irfhan dan Irma Nur Naylie, kerja-kerja amal sebegitu membuatkan dirinya lebih bersyukur dan menghargai apa yang ada.
“Kita manusia ni kadang mudah lupa, tapi bila melibatkan diri dengan kerja-kerja amal sebegini membuatkan saya berada di landasan yang benar dan sentiasa bersyukur dengan apa yang saya miliki. Bagi saya perkara sebegini dapat menjaga diri saya untuk terus melakukan kebaikan. Walaupun kita tak mewah, tak kaya tapi rezeki yang ada tu berkat. Kalau tak dapat berkongsi wang ringgit, sumbangkan tenaga dan bantuan setakat yang mampu. Apa yang kita kongsikan kita akan rasa tenang dan bahagia. Kita tahu orang yang menerima tu bahagia tapi sebenarnya orang yang memberi itu lebih bahagia daripada orang yang menerima.
“Saya masih lagi konsisten dengan IRM cuma saya jarang update aktiviti saya. Bila dah masuk ke tempat-tempat misi, sebelum turun misi adalah saya update kempen-kempen dan misi yang bakal saya ikuti. Tapi bila dah masuk ke tempat-tempat itu ada antaranya yang terletak di pedalaman dan tiada coverage dan sebagainya ditambah pula memang tak sempat nak bergambar di samping prosedur yang telah ditetapkan oleh IRM sendiri. Bagi saya bila kita menyantuni orang yang memerlukan ini, kami perlu fokus dan beri perhatian kepada mereka untuk menunjukkan rasa hormat kepada mereka.

“Tahun lalu saya sempat ke Marawi, Filipina. Saya dapat peluang pergi ke Kawasan yang dipanggil Ground Zero di sana. Memang semuanya hancur, ia bagaikan Gaza dan Syria. Tahap kehancuran akibat perang adalah sama seperti di kedua-dua tempat tersebut.
Pengalaman yang cukup berharga apabila dapat merasai menjejakkan kaki ke situ. Seribu satu kisah yang menyayat hati dan sukar untuk digambarkan dengan perkataan. Sempat kami melawat Kawasan tersebut menaiki jeep. Kami memang perlu berhati-hati semasa di sana kerana masih ada sisa periuk api yang aktif.
“Kami juga berpeluang masuk ke kem-kem. Melihat sendiri pelarian yang tinggal dalam khemah plastik. Tak cukup bekalan air dengan keadaan begitu panas terik sehingga menyebabkan kulit anak kecil dan bayi melepuh, tumbuh ruam, melecet, dan bila malam pula terpaksa menahan kesejukan embun malam berada dalam khemah. Penuh kedaifan dan cukup menginsafkan kami yang pergi ke sana.
“Selebihnya saya banyak aktif dengan kempen dan projek amal tempatan. Saya masuk ke perkampungan orang asli, ke rumah orang tua. IRM tak fokus menghulurkan bantuan kepada muslim sahaja, tapi untuk semua tak mengira warna kulit dan agama. Saya pernah pergi ke rumah orang tua yang diuruskan oleh sebuah gereja dan rumah OKU serta banyak lagi aktiviti amal lain. Bukan itu sahaja, melalui IRM in juga saya turut terlibat dengan kempen-kempen di hospital seperti kempen kesedaran barah payudara dan banyak lagi,” kongsi Irma.
Sempat berkongsi pengalaman ketika menjalankan misi di salah sebuah tempat di Malaysia ketika berpuasa. Menurut Irma melihat mereka bergotong royong menyediakan juadah berbuka dan seterusnya menjalankan aktiviti ibadah Bersama cukup mengujakan dirinya. Meskipun berada dalam serba kekurangan, itu semua tidak menghalang mereka untuk terus melakukan ibadat dalam bulan Ramadan yang mulia.
“Pernah saya ikuti misi dan ketika itu bulan puasa. Saya dapat lihat keadaan mereka bergotong-royong sama-sama untuk menyediakan juadah. Seronoknya dapat lihat kemeriahan mereka menyediakan makanan untuk berbuka. Mereka berbuka dengan makan kurma dan terus solat Maghrib berjemaah sebelum makan makanan berat. Isyak dan tarawih Bersama-sama kemudian berehat sekejap untuk sambung semula ibadat seperti qiam dan tahajud. Itu antara pengalaman saya menjalankan misi dalam bulan Ramadan.
“Memang banyak misi dan kerja amal yang ada di bawah IRM, bagi yang ingin menghulurkan bantuan atau ingin mengetahui tentang misi-misi yang akan dijalankan bolehlah melayari www.islamic-relief.org.my,” sambung Irma lagi.
********
Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh Heliza dan Irma ini. Baca sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita edisi Mei, Volume 2 dan jangan lupa dapatkan majalah kesayangan ramai ini yang kini telah berada di pasaran!
Penyelaras: Shahrina Azlin Abdullah
Konsep: Musnida
Foto: Nana Azman
Solekan: Kelrina & Atie Harun
Pakaian: Minimalace & Rina Salleh Clothing
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Detik Terindah Siti Saleha Kahwin, Ada 5 Sebab Utama Kenapa Ahmad Lutfi Azhar Jadi Pilihan Hatinya

Isi Kandungan
ToggleCukup bahagia dan anggun melihat pelakon Siti Saleha kahwin dengan jejaka pilihan hati Ahmad Lutfi Azhar, 31 selepas lapan purnama mengikat tali pertunangan pada 28 Julai 2017. Majlis pernikahan itu yang diadakan di TPC Bukit Kiara dihadiri oleh keluarga dan sahabat handai terdekat serta rakan media jemputan.
Detik Terindah
Seakan tidak percaya dirinya kini sudah bergelar seorang isteri, Saleha, 27 berkata itu adalah detik terindah buat dirinya. Perasaan gembira, terharu dan pelbagai lagi rasa yang dirasai saat diri sah bergelar suri hati Ahmad Lutfi. Detik itu lebih dirasai apabila adinda dan kekandanya yang berada di sampingnya di atas pelaminan saat dinikahkan turut mengalirkan air mata tanda kegembiraan buat Saleha yang kini sudah mempunyai pasangan sejiwa.
“Alhamdulillahlah majlis saya berjalan dengan lancar. Kini saya isteri kepada Lutfi yang sah. Perasaan memang tak dapat saya gambarkan, semuanya ada, gembira, terharu dan sebagainya sebab kini saya adalah seorang isteri. Lebih-lebih lagi apabila melihat adik dan kakak saya menangis tadi. Cuma saya tak nak turut menangis kerana tak mahu spoil mood,” akuinya yang turut gembira selepas segalanya selesai dan hanya mahu memberi tumpuan kepada majlis resepsi sahaja.
Bagi Lutfi pula dia amat teruja dengan majlis pernikahan ini. Walaupun terpaksa ke pejabat pada pagi hari pernikahannya, perasaan gembira dan gementar tetap bersarang di hatinya.
“Saya memang teruja dengan majlis pernikahan saya ini. Walaupun bekerja pada pagi tadi, dan bergegas balik untuk majlis ini, saya terus praktis lafaz nikah dan Alhamdulillah dengan sekali lafaz sahaja, Saleha kini sah menjadi milik saya. Tanggungjawab saya sekarang lebih besar, untuk saya dan isteri dan juga keluarga baru saya.”
Bulan Madu Di Mauritius
Seperti pasangan lain, Saleha dan Lutfi juga merancang untuk berbulan madu ke destinasi idaman mereka, namun mempelai ini masing-masing mempunyai rutin karier yang sibuk. Mauritius menjadi pilihan untuk mereka menghabiskan masa bersama saat berbulan madu kelak. Walaupun begitu, tarikh berbulan madu masih belum ditentukan lagi memandangkan kedua-duanya sibuk dengan kerjaya masing-masing.
“Kami berdua merancang untuk berbulan madu ke Pulau Mauritius, tapi bukan selepas majlis resepsi kerana jadual kerja kami padat. Saya dan Lutfi sudah bincang awal tentang perkara ini dan Insya-Allah jika tiada apa-apa kami akan ke sana hujung tahun nanti,” ujar Saleha
Saat disoal kepada Lutfi adakah dia kini sudah bersedia untuk berkongsi Saleha bersama peminatnya di luar sana selain terkena tempias isterinya dalam dunia glamor. Menurut Lutfi sejak mereka berdua berkenalan dan keluar bersama perkara itu sudah sedia maklum. Itulah kehidupan yang dirinya perlu hadapi bersama isteri tercinta Saleha yang mempunyai ramai peminat di luar sana.
“Peminat nak ambil gambar dan sebagainya itu sudah saya lalui sejak mula kami berkenalan dan keluar bersama. Memang pada mulanya saya rasa perkara itu agak menjengkelkan dan saya tak berapa suka tapi lama-kelamaan selepas sudah biasa dengan keadaan tersebut saya ok dan kalau nak tahu sekarang saya pula yang jadi jurugambar Saleha dan peminat-peminatnya,” seloroh Lutfi.

KELEBIHAN SUAMINYA
Berkongsi mengenai keistimewaan Lutfi di mata Saleha, menurut aktres ini, suaminya itu seorang yang suka berjenaka, berdedikasi, seorang yang bekerja keras, penyayang dan mencintai dirinya setulus hati.
“Suami saya ini suka buat kelakar, Dia juga seorang yang caring dan paling penting saya dapat merasakan cintanya kepada saya betul-betul ikhlas,” jelasnya sambil memandang ke arah suami tercinta.
Namun apa yang membuatkan Saleha lebih terpikat dengan Lutfi kerana lelaki ini seorang yang penyayang. Berkongsi dengan rakan media, Saleha turut menceritakan saat dia melakukan pementasan teater Zombi La La La, Lutfi hadir walaupun sibuk dengan urusan kerja. Bukan sekali malah tiga kali cinta hatinya itu hadir memberikan sokongan kepada Saleha.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI