
Setiap pasangan mengharapkan perkahwinan yang dibina dapat memberi kebahagiaan dan memperoleh keberkatan daripadaNya. Namun asam garam dalam rumahtangga pasti ada ketika datang badai melanda. Apa yang penting setiap kali ujian menimpa, suami isteri haruslah kembali kepada Allah dan tidak terburu-buru mengikut perasaan dalam membuat keputusan.
Berikut antara bait-bait pesanan yang dikongsikan oleh pendakwah Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa sebagai panduan buat kita.
“Dalam rumahtangga, soal bahagia dan barakah sangat subjektif. Tak dapat diukur dengan banyaknya harta, cantiknya rupa, ramainya anak, tingginya pangkat atau apa saja yang zahir semata-mata….tetapi bahagia dan barakah ada pada kebaikan, ketulusan, ketaqwaan, ketenangan, keimanan, qanaah, tanggungjawab, ihsan dan segala sifat yang Allah redho.”
“Langkah dalam rumahtangga adalah langkah kembali kepada Allah. Semakin dekat dengan Allah. Ada masalah atau ujian rumahtangga, baik suami atau pun isteri harus jujur untuk kembali pada Allah.”
“Sebab itu Rasulullah SAW anjurkan berwuduk dan solatlah dua rakaat…angkat segala hajat dan permasalahan kepada Allah. Jangan nafsu jadi konsultan..apatah lagi iblis yang suka menjauhkan manusia dari nilai SYUKUR dan menyesatkan.”
“Seorang suami yang berusaha menyenangkan hati isterinya, percayalah itu adalah ibadah. Seperti itu juga untuk seorang isteri. Ustazah percaya Allah beri bahagia pada sikap kita yang suka membahagiakan.Dan pasangan kita yang bersama kita susah dan senang adalah insan yang paling berhak untuk kita bahagiakan mereka dengan izin Allah.”
“Apapun keputusan dalam hidup berumahtangga ingatlah ” Terburu-buru itu dari Syaitan, tenang itu dari Allah”. Elakkan gelojoh dalam membuat keputusan. Kerana yang datang dari syaitan selalu berakhir dengan penyesalan.”
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi panduan buat kita dalam melayari rumahtangga yang banyak cabarannya.Semoga keluarga yang dibina mendapat sakinah, mawaddah dan rahmah daripadaNya.

Baca Disini:
Bab Jodoh: Ini Pegangan Datuk Ustazah Norhafizah Musa & Mengapa Suaminya Dikatakan Pilihan Istimewa Dari Allah
6 Amalan Pemakanan Ustazah Norhafizah Musa, Rahsia Kekal Cergas, Sihat & Cantik Berseri!
Sumber:Ustazah Norhafizah Musa
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Hati isteri Mana Yang Tak Sayu Bila Suami Disayangi Tiba-Tiba Ditimpa Musibah. Kepalanya Tinggal Kulit Dengan Otak.” Wanie Hanya Sempat Bergelar Isteri 10 Bulan

Isi Kandungan
Toggle“Ya Allah rindunya pada dia, tiada kata yang mampu aku luahkan, rindu yang aku pendam, rindu nak kucup tangan itu, rindu nak berbantalkan lenganmu wahai suami. Ya Allah, kau terus berikan aku kekuatan untuk aku lalui liku-liku kehidupan ini. Tenanglah di sana wahai suamiku. Doa isterimu sentiasa mengiringmu tiap masa. Terima kasih Ya Allah kerana telah memberi peluang kepada aku untuk merasai nikmat kebahagiaan sebagai isteri bersama dia walaupun hanya sementara,” itulah antara doa yang sentiasa dititip oleh Nurzawani Mohd Ismawi, 25 (Wanie) terhadap arwah suaminya, Mohamad Arsyad Azhar, 24 yang telah kembali ke ramahtullah pada 26 September 2017 akibat kemalangan jalan raya.
Melepaskan suami kesayangan bukanlah satu perkara mudah apatah lagi baru 10 bulan menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri. Namun aturan Allah tiada siapa yang dapat sangkalkan.
“Tarikh 26 September akan menjadi tarikh yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. 26 November 2016 kami dinikahkan dan 26 September 2017 selepas 10 bulan pernikahan kami, Arsyad kembali kepada penciptaNya. Segala aturan Allah itu ada hikmahnya, saya ada terbaca mesej arwah kepada rakan-rakannya iaitu nak bercinta selepas kahwin. Padanlah baru saja kenal arwah terus ajak kahwin. Walaupun kami tak sempat bercinta sekejap saja selepas berkahwin namun saya reda dan akan sambung bercinta sampai ke jannah. Saya reda atas semua ini,” luah Wanie ketika penulis bertemu dengannya di kediaman wanita ini yang terletak di Klang.
Bagaikan tidak sampai hati untuk menemubual wanita bertubuh kecil ini untuk mengimbau kembali nahas yang menimpa arwah suaminya. Namun dek kerana tugas penulis terpaksa lontarkan persoalan kepada dirinya. Wanie yang kelihatan tabah, menceritakan segalanya termasuklah menjaga Arsyad dalam keadaan koma selama tiga bulan.

Arsyad Tak Banyak Cakap
Menurut Wanie nahas berlaku pada 13 Jun 2017 hampir dua minggu umat Islam mengerjakan ibadah puasa. Tiada kelainan yang berlaku malah Arsyad juga sewaktu keluar dari rumah melangkah ke pejabatnya seperti kebiasaan dengan menunggang motosikal miliknya.
“Beberapa hari sebelum kejadian dia tak banyak bercakap, bila ajak berbual-bual dia lari-lari. Sebenarnya kami baru saja tinggal bersama, selepas bernikah kami tinggal berasingan Arsyad tinggal di Seremban dan saya di Klang. Sebabnya dia bekerja dengan bapanya, saya pula bekerja di Selangor dan hujung minggu saya perlu hadiri kelas (menyambung pengajian separuh masa) di UiTM Shah Alam. Dia kemudiannya bertukar kerja di Petaling Jaya dek kerana tak nak duduk berjauhan dengan saya.
“Pada 13 Jun lebih kurang pukul 6 petang saya cuba hubungi telefon bimbitnya namun tak berjawab dan saya mesej pun tak berbalas. Hati saya semakin risau, sebab pada kebiasaanya dia keluar pejabat jam 5 petang. Kemudian saya dapat panggilan dari Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang (HTAR) yang menyatakan Arsyad terbabit dalam kemalangan. Dia telah terbabit kemalangan ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Kesas. Mengikut cerita dia baru keluar dari jalan motor dan terlanggar belakang lori. Kecederaan yang dialami cukup teruk kerana terkena bahagian kepala dan pendarahan berlaku di otak.
“Sewaktu di hospital saya tak perasan Arsyad padahal banyak kali lalu lalang di katil dia ditempatkan. Bila jururawat tunjuk terus saya terkedu dan langsung tak mengalirkan air mata. Kepala dia berdarah kemudian doktor lakukan pembedahan untuk membuang darah di kepalanya. Selepas pembedahan dia langsung tak ingat kerana otaknya cedera, tak boleh bercakap cuma yang memberi tindak balas hanya dari reaksi mata, kaki atau tangan. Sepanjang dia koma, saya sentiasa bercakap dengan dia. Doktor tak bagi harapan tapi Arsyad sentiasa menunjukkan respon yang positif.
“Hati isteri mana yang tak sayu bila suami yang disayangi tiba-tiba ditimpa musibah. Kepalanya tinggal kulit dengan otak. Doktor pesan kalau nak dia pulih cepat kena banyak bercakap dengan dia. Masa saya pegang kepala dia tak rasa apa-apa lama kelaamaan otak dia mula bertindak balas. Doktor pakar mata pula beritahu sebelah mata tak nampak. Saya sering berbisik pada Arsya selama ini Allah dah bagi pinjam nikmat melihat selama 24 tahun jadi bersyukurlah dengan keadaan yang ada. Doktor suruh saya beritahu semua yang berlaku agar bila dia sihat nanti, dia tak terkejut melihat keadaannya. Doktor anggarkan Arsyad boleh pulih tetapi mengambil masa yang agak lama lebih kurang tiga atau empat tahun.
“Dalam tempoh, tiga bulan menjaga Arsyad saya berasa hilang penat bila berada di sisi dia. Saya sentiasa berdoa agar Arsyad pulih seperti sedia kala. Pada ketika itu saya tak kisah susah sikit janji saya boleh beri yang terbaik buat suami saya. Jika saya bekerja abang Arsyad akan menjaga dia. Sehinggalah satu hari doktor memberitahu Arsyad kena sawan. Keadaannya bertambah kritikal dan dipindahkan dari HTAR ke Hospital Sungai Buloh. Di sini saya tak dapat jaga di sepanjang masa kerana tak dibenarkan menunggu pesakit. Saya sambut raya pertama dengan suami di hospital. Saya sentiasa berdoa agar Allah berikan kekuatan untuk Arsyad lawan kesakitan yang ditanggungnya dan permudahkan urusan pemulihannya,” ujar Wanie yang tidak membeli sebarang persiapan baju raya kerana dia dan Arsyad sebelum itu telah merancang untuk memakai baju nikah mereka.


Allah Lebih Sayangkan Arsyad
Ketika keadaan Arsyad kritikal doktor telah memberitahu Wanie, dengan tenang wanita ini menghadapinya dengan cukup tabah.
“Selepas tiga bulan menjaga suami, doktor beritahu keadaan Arsyad tidak stabil. Kemudian saya terus menggigil dan terus tunaikan sembahyang Maghrib. Selepas solat saya lihat langsir di sekeliling katilnya ditutup. Jururawat meminta maaf dan beritahu jantung Arsyad berhenti sekejap. Bila lihat keadaan dia lemah, saya cakap dengan kalau awak nak pergi tak apalah pergilah, dia tak sedar ketika itu tetapi saya tahu dia dengar apa yang saya katakan. Dan saya beritahu saya sudah maafkan dia dan halalkan makan minum dia, air mata dia terus meleleh,” ungkap Wanie sambil menahan air matanya daripada mengalir.
Wanie juga menjelaskan dia reda dengan pemergiaan arwah walaupun tidak sempat meraikan ulangtahun perkahwinan mereka yang pertama namun dia sentiasa berdoa agar arwah tenang di sana. Ungkap Wanie buat arwah Arsyad;
“Melepaskanmu walau bukan mudah bagiku untuk lalui semua ini, buat Arsyad 26/9/17 tarikh yang sayang takkan pernah lupa. 26/11/16 hingga 26/11/17 genap 10 bulan pernikahan kita. Cantik sangat aturan Allah tu. Baba tunggu sayang di pintu syurga ya. Kita sambung bercinta sampai jannah. Sayang reda atas semua ini. Sayang bangga dengan baba. Baba dah fight habis baik. You always be my superhero sayang. Kebetulan juga plat no motosikal 9392 nombor kesukaan baba. Amat bermakna buat sayang. Kebetulan nombor itu tahun lahir kita brdua. Terima kasih baba dah jadi suami yang terbaik, sanggup korban ape saja untuk sayang. Semuanya akan jadi kenangan untuk sayang. Baba rehat di sana. Senyuman baba tu akan sayang ingat, sayang akan cuba jadi macam baba. Senyuman yang tak lekang dekat di bibir.”
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Punya Anak Tiri Hasil Perkahwinan Terdahulu. Itu Satu Bonus, Jangan Disisihkan!

Isi Kandungan
ToggleDari awal perkenalan, anda sudah tahu status pasangan sama ada dia seorang ‘janda’ atau ‘duda’ yang sudah mempunyai anak. Anda menerima pasangan yang sudah mempunyai anak bermaksud anda turu menerima kehadiran anaknya, hasil perkahwinan terdahulu.
Jangan kerana inginkan pasangan itu, anda tidak endahkan anak atau dipanggil ‘anak segera’ hasil perkongsian hidup pasangan sebelum ini. Lebih teruk lagi bila kita terfikirkan, ‘anak segera’ atau anak tiri ini akan dilayan sebegitu terus seperti dalam gambaran filem-filem Melayu dulu.
Itu adalah pemikiran orang dahulu yang mengatakan ayah tiri atau mak tiri terlalu garang, sehingga ada anak tiri yang di dera atau disisihkan. Ingat, bila anda menerima pasangan, secara tak langsung, anda turut menerima anaknya. Malah, kita boleh tengok di media sosial, selebriti atau artis yang berkahwin dengan pasangan berstatus ‘janda’ atau ‘duda’, mereka menganggap anak itu sebagai anak sendiri. Ini sudah dianggap bonus.
Adalah tidak wajar untuk berfikiran negatif terhadap kehadiran anak segera dalam rumah tangga. Hal ini kerana pendidikan merupakan salah satu langkah untuk menjadikan seseorang individu lebih berfikiran lebih terbuka, di samping pegangan agama yang kukuh dalam penerimaan anak segera ini.
Kerana Cinta
Apabila seseorang itu memilih untuk berkahwin dengan single mother atau single father yang membawa anak-anak bersamanya, seseorang itu perlu mempertimbangkan banyak perkara terutamanya dalam pembahagian masa, yang mana mungkin pasangan tidak dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada anda kerana perlu dibahagikan kepada anak mereka.
Selain itu, segala tindakan dan keputusan kita sebagai pasangan perlu mengambil kira kesan terhadap anak-anak pasangan anda. Dengan kata lain, selain cinta yang dicurahkan kepada pasangan, anda juga perlu banyak berkorban dengan kehadiran anak segera ini.
Jika anda belum bersedia apatah lagi untuk mereka yang masih bujang, adalah lebih baik anda berfikir dahulu dan bandingkan dengan tahap kemampuan dan apa yang anda inginkan dalam sebuah perkahwinan.
Ibu Tiri Atau Ayah Tiri
Sebagai ibu tiri atau bapa tiri, peranan itu adalah sama besarnya sebagaimana ibu atau bapa kandung anak segera ini. Hal ini kerana anda mempunyai pengaruh yang besar terhadap pasangan dan anak segera ini.
Apatah lagi, jika anak-anak ini berusia lapan belas tahun dan ke bawah. Peranan anda yang paling penting adalah perlu bertanggungjawab terhadap anak-anak ini seperti dalam pendidikan, makanan dan pakaian.
Sebagai contoh, seorang ibu tiri akan lebih disayangi jika mereka mampu bertindak sebagai seorang pendengar setia kepada anak tiri remaja. Hal ini kerana, remaja sering menghadapi konflik dalam diri.
Selain itu, adalah lebih mulia seorang bapa tiri itu sanggup mengeluarkan sedikit modal membawa anak-anak tiri melancong pada masa cuti sekolah. Ibu dan bapa tiri yang tidak mempunyai belas kasihan terhadap anak-anak kecil ini sangat mengecewakan sehingga timbulnya isu dera, gangguan seksual dan sebagainya.

Baik Buruk Pasangan ‘Berstatus’
Apabila anda membuat sesuatu keputusan yang besar dalam hidup, anda tidak boleh lari bahawa keputusan tersebut mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Antara kelebihan memilih pasangan yang berstatus janda atau duda:
Pasangan tersebut perlu mempunyai tahap kematangan dalam mengendalikan tanggungjawab di dalam rumah tangga.
Pasangan hendaklah menimba banyak pengalaman dan ilmu daripada perkahwinan yang lalu.
Selain itu, jika pasangan tersebut mempunyai anak, itu adalah satu bonus untuk anda. Hal ini berlaku jika anda dan pasangan tidak mempunyai anak sendiri, maka pasangan tidak akan mendesak anda kerana mereka telah pun mempunyai anak sebelum menjalinkan perkahwinan bersama.
Kekurangan apabila memilih pasangan yang berstatus janda atau duda pula anda sebagai pasangan perlu banyak berkorban dan perlu bersikap lebih bertolak ansur. Hal ini kerana, dalam perkahwinan tersebut, anda tidak boleh memikirkan diri sendiri sahaja sebaliknya memikirkan tentang individu-individu lain yang hadir dalam perkahwinan anda.
Penerimaan Mentua
Apabila berkahwin dengan pasangan yang masih bujang, bermakna anda telah berjaya mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapanya. Namun, dalam situasi sebelum berkahwin. Sudah tentu anda perlu berhadapan dengan keluarga mentua dan inilah masanya untuk anda memainkan peranan.
Antara cara bagi menggalakkan penerimaan mentua ialah:
Anda perlu mewujudkan persepsi yang positif tentang si dia dan anak-anak terhadap keluarga anda. Adalah tidak wajar anda berkelakuan memburuk-burukkan pasangan dan anak-anaknya di depan keluarga anda.
Bagi anda yang memegang status duda atau janda dan mempunyai anak-anak, anda perlu pandai membawa diri dan mengajar anak-anak untuk berkelakuan yang sepatutnya. Jika pasangan sama-sama memainkan peranan, maka isu keluarga mertua akan dapat diselesaikan.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Rupanya 7 Penderaan Mak Ayah Lakukan Tanpa Sedar Ini, Boleh Sebabkan Anak Gagal

Isi Kandungan
ToggleTanpa sedar penderaan mak ayah lakukan ini akan menyebabkan anak alami kegagalan. Tak semestinya dera fizikal, penderaan emosi pada anak kecil sebenarnya beri kesan lebih parah lagi. Elok anak nak berjaya, disebabkan penderaan mak ayah tanpa sedar anak temui jalan kesukaran pada masa depannya kelak.
Selalu kalau kita sebut, dera mesti dalam kepala terbayangkan kena pukul. Memang kita tak dera fizikal tapi sebenarnya ramai di kalangan mak ayah yang tidak sedar mereka selalu mendera emosi anak. Semak 7 penderaan ini, kalau anda memang pernah lakukan pada anak. Segera berubah kerana dalam jangka masa panjang, ia boleh rosakkan masa depan anak.
Semak 7 Penderaan Mak Ayah Lakukan Tanpa Sedar
1. Bila Mak Ayah Tak ikhlas
Salah satu daripada 7 penderaan mak ayah adalah tiada keikhlasan dalam mendidik. Anak memang sentiasa mahukan perhatian, itu memang fitrah mereka. Ada anak-anak yang suka bertanya dan banyak cakap. Memang ada kalanya kita rasa rimas tapi jangan kita abaikan anak-anak. Beri reaksi agar anak tahu kita mendengar dan menghargai mereka.
Contoh: Mak ayah selalu layan anak tak ikhlas, bila dia bercerita kita tak fokus pada dia. Sebaliknya kita sibuk layan telefon atau tengok TV. Cuba kalau orang buat macam tu pada kita. Tak sedih ke? Silap-silap sentap. Anak pun ada perasaan, dia sangat sedih bila mak dan ayah tak endahkan dia.
Kesan: Anak yang selalu diabaikan akan rasa sedih, emosinya tidak stabil dan anak selalu rasa rendah diri. Mereka cenderung buat keputusan yang salah dalam hidup.
2. Tiada Reaksi Seolah-olah Buat Anak Tak Wujud
Anak beriya-iya bercerita tapi kita tak bagi reaksi langsung. Umpama anak bercerita dengan dinding. Anak-anak excited mahu mendengar komen kita tapi kita buat anak rasa seperti dia tidak wujud.
Contoh: Anak tanya tentang iklan billboard di tepi jalan. Tapi kita drive buat tak tahu je, langsung tak jawab soalan anak. Sedangkan anak ternanti-nanti jawapan kita.
Kesan: Anak rasa dirinya tak guna dan tak disayangi. Dia juga mungkin akan menjadi seorang yang pendiam.
3. Mengejek, Merendahkan Anak Depan Orang Lain
Seterusnya penderaan mak ayah tanpa sedar adalah dengan selalu mengejek anak tanpa sedar, misalnya menjadikan anak sebagai bahan lawak. Kita juga Kita juga suka bandingkan anak kita dengan orang lain, yang baik semua anak orang tapi anak kita semua kita cakap tak bagus.
Contoh: Bila anak kita pelat atau kencing malam, sampai dia besar kita dok ejek dia.
Kesan: Anak akan menjadi rendah diri, malu dan cenderung berdendam dengan kita.
4. Rasa Tak Percaya Dengan anak
Kita lebih percaya cakap orang luar berbanding anak kita. Kita selalu anggap anak kita buat cerita. Penderaan mak ayah ini yang paling membuatkan hati anak terluka.
Contoh: Bila anak cakap tak sedap badan macam nak demam, kita anggap anak buat alasan malas ke sekolah.
Kesan: Hubungan dengan anak akan jadi renggang. Anak akan mencari orang luar untuk meluahkan perasaan. Tu yang ramai budak-budak bawah umur ikut orang dengan rela hati. Orang luar amik kesempatan bila anak-anak kurang kasih sayang kita.
5. Terlalu Cerewet/ Perfectionist
Mak ayah dalam kategori ini sangat cerewet, ada saja yang tak kena tentang anak di mata mereka. Semua benda tak puas hati tentang anak. Jangan sampai mak ayah lakukan penderaan sebegini pada anak.
Contoh: Anak makan tumpah marah sedangkan anak masih kecil dan sedang belajar.
Kesan: Anak akan takut mencuba perkara baru, mereka jadi skema dan tidak kreatif. Anak jadi sangat stress, silap-silap anak boleh sakit jiwa dan jadi liar sebagai tanda protes.

6. Tak Tunjuk sayang Dan Tak Bagi Sokongan
Sayang anak mesti zahirkan dengan perbuatan dan percakapan supaya anak tahu kita sayang anak. Ramai yang tak ucap sayang anak dan tidak menyentuh anak seperti memeluk dan memberi ciuman. Usah lakukan penderaan sebegini ya mak ayah.
Contoh: Tak ucap tahniah walaupun anak dapat nombor 1.
Kesan: Anak jadi insan yang pentingkan diri dan ego sama seperti mak dan ayahnya. Nanti kalau anak pun tak peduli kita jangan kecil hati ye. Sebab kita yang ajar mereka macam tu.
7. Sorok Atau Diamkan Kesilapan Anak
Ini satu contoh penderaan mak ayah yang tak boleh dibiarkan terjadi ketika membesarkan anak-anak. Kita anggap salah anak adalah perkara remeh, kita diamkan sahaja kerana malas nak fikir. Kita lepas tangan, kita harap anak berubah sendiri jadi insan yang baik.
Contoh: Bila cikgu cakap anak suka gaduh, kita tidak ambil tindakan walaupun kita tahu. Kita anggap ia perkara biasa kerana anak masih kecil.
Kesan: Anak jadi besar kepala dan keliru. Dia tidak tahu kesilapan dan menjadi orang yang suka membuli.
Penulis : Intan Rohaizat Zakariya
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI