Daripada Allah kita datang, kepada-Nya jua kembali. Kejadian lemas yang meragut nyawa tiga beradik sekaligus merupakan insiden yang cukup menyayat hati. Seluruh rakyat turut bersedih dengan kejadian yang menimpa tiga beradik ini, apatah lagi keluarga mereka.

Sebelum itu, tular salah seorang daripada tiga beradik ini baru sahaja selesai hafaz 30 juzuk Al-Quran pada Mac lalu. Malahan menurut ayah mangsa, mereka meminta untuk berpakaian sedondon dan minta dipeluk ketika bergambar bersama. Sesungguhnya dia tidak menyangka itulah permintaan terakhir mereka.

Mayat Terakhir Akhirnya Ditemui

Mayat kedua dan terakhir mangsa lemas tiga beradik di Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong, di sini sudah ditemui.

Mayat Khairil Firdaus Mohd, 17, ditemukan pasukan penyelamat tidak sampai dua jam selepas penemuan mayat pertama, Umar Iskandar Mohd, 21, pada jam 11.36 pagi.

Mayat pelajar Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Kuala Berang itu ditemukan kira-kira 150 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang manakala mayat adiknya, Khalif Naim Mohd, 16, ditemukan hanya dalam tempoh sejam lebih selepas penemuan mayat kedua, iaitu pada jam 12.43 tengah hari tadi.

Khalif Naim Baru Tamat Hafaz Al-Quran

Kisah Khalif Naim yang juga pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Berang, yang berjaya menamatkan hafazan 30 juzuknya pada 10 Mac lalu menjadi perhatian dan tular di laman sosial selepas tragedi mereka diketahui umum sejak malam tadi.

IKLAN

Terdahulu, mayat abang mereka, Umar Iskandar ditemukan sepasukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dasar sungai, kira-kira empat meter dari tebing sungai, jam 9.50 pagi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, ketiga-tiga beradik tersebut, Khalif Naim Mohd, 16, Khairil Firdaus Mohd, 17, dan Umar Iskandar Mohd, 21, dipercayai dihanyutkan arus ketika mandi di muara Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong di sini.

Bapa kepada tiga beradik dikhuatiri lemas tidak menyangka permintaan anak-anaknya supaya dibelikan baju Melayu setiap seorang untuk dipakai pada hari raya adalah permintaan terakhir sebelum ketiga-tiganya hilang dihanyutkan arus di muara Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong di sini semalam.

Mohd Ismail, 64, yang juga seorang pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, dia juga turut berasa pelik apabila anak-anaknya memintanya memeluk mereka ketika kesemua mereka yang memakai baju sedondon berwarna ungu bergambar pada pagi Syawal.

IKLAN

Pada mulanya saya tidak menganggap permintaan itu suatu yang pelik kerana hubungan kami memang akrab tetapi sedikit janggal mereka minta saya peluk.

“Cuma saya tidak sangka yang saya kehilangan mereka bertiga dalam sekelip mata sahaja,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.

Mohd berkata, beliau yang ketika itu sedang membersihkan kawasan di sekitar masjid hanya mengetahui kejadian menimpa anak-anaknya kira-kira jam 7 malam selepas dimaklumkan anak saudaranya yang meminta segera pulang ke rumah.

IKLAN

Luluh Hati Ketahui Hal Sebenar

Beliau berkata, sebelum ke masjid, tiga anaknya sedang membersihkan rumah sebelum didatangi sepupu mereka yang membawa lemang.

Pada awalnya, semasa anak saudara datang meminta balik segera, saya sangkakan ada orang curi kelapa lagi kerana kejadian itu kerap berlaku tetapi saya dibawa ke tebing sungai dan ditunjukkan pakaian, selipar serta telefon bimbit anak-anak.

“Luluhnya hati saya ketika itu kerana sudah mengagak apa yang menimpa kepada ketiga-tiga anak saya walaupun tahu sebelum ini mereka memang jarang mandi di sungai berkenaan meskipun jarak dari rumah kami sangat dekat,” katanya dalam nada sebak. Bagaimanapun, beliau reda dengan kejadian itu.

MW: MW mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan semoga Allah mengampunkan dosa-dosa mereka. Semoga keluarga mangsa bersabar dengan ujian besar ini. 

Sumber/ Foto: Sinar Harian

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI