Senyap-senyap Suami Gadai Emas Isteri, Harta Kira Lupus Jika Hilang Bukti

Jarang ada isteri yang tolak bantu suaminya hadapi sesak kewangan gara-gara nak bayar bulanan kereta mewah tertunggak. Paling tidak, akan diserah seketul dua barang kemas, atau emas isteri yang ada di badan. Pajaklah suami di kedai pajak, selesaikan hutang, bila dah pulih kewangan tebuslah kembali emas isteri itu.

Punyalah sayang isteri, tak nak bagi suaminya susah. Malangnya, ada suami mula ambil kesempatan. Selepas diserah emas pertama, diam-diam suami ambil tanpa pengetahuan.. barang kemas isteri yang seterusnya.

Pajakkan di kedai pajak. Tiba-tiba, tuhan nak tunjuk nampak surat pajak itu. Kecewalah hati isteri ini. Ansuran kereta tak juga selesai, barang kemas dah tergadai. Bergaduh besarlah keduanya. Di pihak isteri, boleh kah nanti dia tuntut haknya kembali?

Peguam Syarie, Khairul Fahmi Ramli terangkan apa yang sepatutnya isteri buat, bila berdepan kes seumpama ini.

Emas Isteri Tergadai Gara-gara BMW Suami

Sering saya mendengar, ada pergaduhan suami isteri saja, mesti ada benda yang tergadai. Antara yang pernah berlaku, barang kemas isteri seperti rantai, gelang dan cincin yang digadai di Ar-Rahnu oleh suami untuk beli barang-barang rumah.

Ada keadaan yang isteri meredhai perkara tersebut sebab faham tentang kesesakan yang dilalui suami. Ada juga suami yang sangat bertanggungjawab untuk ‘pinjam’ dan tebus semula barang tersebut. Suami seperti ini tahu, barang itu walaupun dibeli olehnya, tapi bukan lagi miliknya setelah dijadikan mas kahwin.

Cuma, yang tak berapa nak cantik, bila ada suami yang senyap-senyap ambil barang kemas isteri, ketika isteri tidur malam. Ala, macam dalam cerita Bujang Lapok, Zaiton pelan-pelan cabut cincin maknya. Macam itu lah cerita yang selalu berlaku.

IKLAN

Kisah sebenar yang berlaku adalah, barang kemas isteri, yang diperolehi sebagai Mas Kahwin, dicuri oleh suaminya dan dipajak gadai di kedai pajak gadai biasa. Perkara tersebut diketahui isterinya bila terjumpa satu surat pajak gadai yang ada tulisan Cina, dekat pekan yang tak berapa jauh daripada rumah mereka.

Alangkah geram dan sedihnya bercampur baur seorang isteri bila dia dapat tahu perkara tersebut. Dia tahu, suaminya sebelum ini telah diberhentikan kerja kerana kesalahannya sendiri. Akibatnya, isteri inilah yang terpaksa tanggung makan, minum dan tempat tinggal yang mereka duduk sekarang.

Cuma, yang tak dapat ditanggung adalah kereta BMW 3 series yang sudah tertunggak lebih daripada 3 bulan. Baru ini, ada orang yang nak datang tarik kereta tapi mujurlah abang isteri datang bantu dahulukan duit. Tapi, tak disangka, tindakan seterusnya adalah MENCURI & GADAI barang kemas isteri tanpa pengetahuan.

Bila ditanya suami, kenapa buat begini, katanya terdesak nak bayar kereta mewah tersebut. Sebelum ini dah suruh dijual, tapi suami enggan sebab tak ‘standard’ katanya kalau pakai kereta lain.

Adakah Barang Kemas Tersebut Milik Suami Juga?

Apabila sesuatu barang kemas telah dihadiahkan sebagai hantaran kahwin, atau mas kahwin, secara langsung ia adalah 100% milik isteri. Tidak lagi menjadi milik suami. Ini adalah sama dengan bentuk hibah. Suatu harta yang diserahkan sebagai hibah semasa hidup seseorang, adalah menjadi milik sepenuhnya penerima hibah.

IKLAN

Hanya hibah bapa kepada anak sahaja yang boleh ditarik balik mengikut hukum syarak. Jadi, tindakan suami mengambil semula barang kemas isteri, adalah dikira sebagai mengambil hak orang lain dan boleh dianggap mencuri.

Apakah Boleh Tuntut Fasakh?

Ya, di dalam seksyen 53(1)(h)(iv) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pulau Pinang, seseorang wanita berhak mendapat fasakh jika suami menganiyai isteri dengan melupuskan harta isteri atau melarang isteri menggunakan haknya keatas harta miliknya disisi undang-undang.

Bukti

Yang menjadi masalah besar, kalau gadai tersebut tidak ada bukti bertulis. Bila sebut digadai, mesti kena ada bukti pajakan. Surat pajak gadai adalah bukti bertulis.
Kalau surat pajak tersebut adalah bukan daripada Ar-Rahnu, Bank atau mana-mana institusi kewangan yang sah, mesti dibuktikan dengan kesaksian. Melainkan, suami mengakui tentang gadaian tersebut.

Kesesakan suami

Rasanya ada isteri yang faham, kadangkala ada kesesakan berlaku dalam kewangan. Cuma, tindakan melupuskan harta isteri, tidak boleh diterima kalau dilakukan tanpa keredhaan isteri. Lebih teruk kalau tidak ditebus dan biarkan barang tersebut tergadai.

IKLAN

Jika Isteri Yang Gadai Untuk Beli Keperluan

Kalau isteri yang gadaikan untuk keperluan diri seperti makan, minum, pakaian, tempat tinggal, dan lain-lain yang menjadi tanggungjawab suami, maka, itu bukan tindakan suami melupuskan harta isteri.
Sebaliknya, ia dikira sebagai hutang nafkah. Ia hanya boleh dituntut sebagai tuntutan tunggakan nafkah. Kalau suami mengambil duit isteri contohnya dan berjanji untuk bayar sebagai hutang, itu namanya hutang dalam perkahwinan. Ia boleh dituntut sebagai hutang suami kepada isteri di dalam Mahkamah.

Kesimpulannya, tindakan suami menggadai barang kemas isteri adalah sangat tidak wajar. Tambah pulak digadai tersebut untuk bayar sesuatu yang bukan keperluan. Ada isu, gadai barang isteri untuk berjudi. Itu memang lebih teruk. Pesanan saya untuk isteri-isteri, jaga betul-betul barang kemas yang bernilai. Kalau tahu barang dah tergadai, simpankan betul-betul suratnya.

Kalau takut pakai barang kemas, simpan di bank, pakai emas korea, lelaki tak banyak tahu yang mana emas tulen dan suasa. Betul tak?

MW : Selalunya begitulah, bila isteri baik sangat. Suami pun mula pijak kepala. Isteri kena tahu macam mana nak tuntut haknya di mahkamah. Hadam kemas-kemas ya.

Artikel berkaitan :

Sumber/Foto : Fahmi Ramli

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI