Senja dan waktu Maghrib, tutuplah pintu, duduk dalam rumah, waktu ini syaitan berkeliaran. Ramai di kalangan kita mengambil ringan dengan beberapa panduan yang telah diajar oleh Nabi SAW berdasarkan hadis-hadis yang Baginda SAW tinggalkan.

Sememangnya kita tidak digalakkan untuk berada di luar rumah pada waktu senja disebabkan pada waktu syaitan sedang berkeliaran. Dinukilkan sebuah hadis sahih yang menunjukkan petunjuk atau panduan daripada Nabi SAW kepada kita apabila tibanya waktu senja.

Daripada Jabir RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا كَانَ جُنْحُ اللَّيْلِ، أَوْ أَمْسَيْتُمْ، فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ، فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ تَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ، فَإِذَا ذَهَبَتْ سَاعَةٌ مِنَ اللَّيْلِ فَخَلُّوهُمْ، وَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا

Maksudnya: “Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.” [Riwayat al-Bukhari (3304) dan Muslim (2012)]

Senja Dan Waktu Maghrib, Tutuplah Pintu, Duduk Dalam Rumah, Waktu Ini Syaitan Berkeliaran
Kredit foto:Pexels

Perkara seperti ini, banyak dinyatakan oleh para ulamak ketika mereka mensyarahkan atau memahami hadis ini. Antaranya ialah, Imam Ibn Abd al-Bar (463 H) berkata bahawa hadis ini menunjukkan perintah (arahan) menutup pintu-pintu pada malam hari (apabila tibanya senja). Itu adalah sunnah yang diperintah akannya sebagai tanda kasih kepada manusia daripada (terkena kecelakaan atau keburukan) syaitan manusia dan jin. [Lihat: al-Istizkar, 363/8]

Ads

Selain itu juga, Imam al-Nawawi (676 H) berkata bahawa hadis ini mempunyai banyak faedah berkaitan kebaikan dan adab yang melibatkan maslahah akhirat dan dunia. Maka, Nabi SAW mengajar adab-adab ini yang merupakan sebab terselamatnya daripada kecelakaan syaitan dan Allah SWT menjadikan sebab-sebab ini agar menjadi penyebab terselamatnya kita daripada kecelakaan atau keburukan syaitan ini.

Di samping itu juga, maksud menahan anak adalah melarang mereka daripada keluar pada waktu. Ini kerana, dibimbangi anak tersebut terkena kejahatan syaitan itu disebabkan banyaknya mereka (syaitan).

Hal ini juga disebut oleh Imam Khatib al-Syarbini (977 H) bahawa sunat menutup pintu ketika masuknya senja. Antara hikmah mengapa dilarang melepaskan budak-budak pada waktu senja adalah disebabkan syaitan berkeliaran pada waktu itu dan pergerakan syaitan lebih aktif berbanding siang hari kerana kegelapan itu akan menambahkankan kekuatan syaitan berbanding waktu yang lain sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (852 H).

Senja Dan Waktu Maghrib, Tutuplah Pintu, Duduk Dalam Rumah, Waktu Ini Syaitan Berkeliaran
Kredit foto:Pexels

Kesimpulannya, melihat kepada beberapa pandangan para ulamak di atas, maka disimpulkan bahawa kita dituntut atau disunatkan untuk menutup pintu atau tingkap apabila tibanya waktu senja dan perkara ini juga selalu dipesan atau diingatkan oleh orang-orang tua.

Ads

Ini kerana, syaitan-syaitan berkeliaran pada waktu tersebut serta dibimbangi akan terkena keburukan, kecelakaan atau kejahatan berpunca daripada syaitan tersebut kerana syaitan ini sifatnya adalah menyakiti manusia.

Berikut kata-kata daripada seorang ulamak berkaitan hadis di atas:

Berkata Ibn Daqiq al-‘Aid (702 H):
فِي الْأَمْرِ بِإِغْلَاقِ الْأَبْوَابِ مِنَ الْمَصَالِحِ الدِّينِيَّةِ وَالدُّنْيَوِيَّةِ حِرَاسَةُ الْأَنْفُسِ وَالْأَمْوَالِ مِنْ أَهْلِ الْعَبَثِ وَالْفَسَادِ وَلَا سِيَّمَا الشَّيَاطِينُ

Ads

Maksudnya: “Pada perintah agar ditutup pintu-pintu adalah melibatkan maslahah agama dan dunia yang mana dengan itu akan memelihara diri dan harta daripada orang yang sia-sia dan merosakkan terutamanya syaitan-syaitan.” [Lihat: Fath al-Bari, 87/11]

Marilah sama-sama kita mengamalkan petunjuk Nabi SAW ini agar kita terselamat daripada fitnah syaitan yang terkutuk. Semoga Allah SWT sentiasa memelihara diri dan seluruh ahli keluarga daripada perkara-perkara yang tidak baik.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Kredit foto (top image): Pexels

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI