Kuss semangat mengucap panjang melihat keadaan rumah ini. Dapat rasakan sengsaranya hidup berjiran bersebelahan dengan rumah tersebut. Kediaman dihuni tidak ubah seperti pusat kitar semula dengan pelbagai barang terbuang memenuhi setiap ruang hingga ada yang melimpah keluar ke pekarangan rumah.Belum campur bau busuk dan risiko binatang serta serangga yang mungkin menyinggah seperti tikus, ular dan lipas.
Pemandangan menyakitkan mata kediaman di Jalan Melati 5, Taman Dusun Setia di sini, juga menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan jiran.
Difahamkan, rumah berkenaan didiami suami isteri bekerja sebagai pengutip barangan terbuang. Sejak setahun lalu jumlah barangan dikumpul semakin bertambah hingga menyebabkan ada yang diletakkan di atas bumbung sekali gus menimbulkan rasa pelik dalam kalangan orang luar melalui kawasan itu.
Barangan terpakai seperti tong plastik, tilam buruk, besi dan kotak memenuhi segenap ruang rumah berkenaan.
Cari Barang Terpakai
Ketika tinjauan dilakukan, lelaki menghuni kediaman itu dipercayai keluar mencari barang terpakai.Malah jiran menasihatkan wartawan agar tidak mengganggu lelaki berkenaan berikutan dia didakwa sebagai panas baran dan tidak mempedulikan nasihat mereka sebelum ini.
Banyak Kali Buat Teguran
Penduduk taman itu, Nordin Hasan, 71, berkata, dia dan isterinya Azmah Laili, 67, antara paling terjejas berikutan tinggal bersebelahan dengan kediaman pasangan terbabit.
Nordin mendakwa sudah beberapa kali menegur lelaki berkenaan, malah jirannya itu juga tidak mempedulikan nasihatnya selain memarahi mana-mana pihak mahu menghalang aktivitinya.
“Saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa memandangkan kami hidup dalam satu komuniti, jadi kena melalui semua ini setiap hari.
“Jumlah barangan dikumpul memang banyak, saya risau kalau berlaku kebakaran lelaki berkenaan dan isterinya yang bekerja sebagai tukang jahit akan terperangkap dalam kediaman mereka,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi jiran yang mahu dikenali sebagai Tan, 30-an, mendakwa sudah beberapa kali barangan diletakkan lelaki terbabit diatas bumbung jatuh ke dalam kawasan rumahnya.
“Bila ditegur dia marah. Dengan jumlah barang terpakai yang banyak macam ini pasti mengundang haiwan dan serangga seperti ular, tikus dan lipas.
“Sebagai jiran saya kesal dengan perbuatan lelaki terbabit, tetapi dia tidak boleh ditegur,” katanya.
Telah Dikenakan Kompaun
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Seremban (MPS) Nor Mursyidah Chik berkata, pihaknya sudah melakukan siasatan dan mengadakan lawatan ke rumah terbabit pada 12 September lalu.
“Benar kediaman itu dipenuhi barang kitar semula hingga melimpah ke jalan. Sehubungan itu, tindakan serta-merta diambil Jabatan Pelesenan Pembersihan MPS.
“Lelaki itu dikenakan kompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen (kitar semula) mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred 1996,” katanya.
MW:Hidup bermasyarakat kena ada toleransi dan perlu pentingkan keselesaan jiran-jiran. Apatah lagi tinggal dalam kawasan komuniti yang sama. Jangan kerana pentingkan diri sendiri, perkara yang dianggap kecil, boleh buat kan jiran tak selesa dan bermasam muka pula.
Sumber: Hmetro
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI