Sengaja Tinggalkan Solat Lebih Hina Dari Binatang, Tak Solat Kita Jauh Dari Syurga – Ustaz Ahmad Dusuki

Share

Sengaja tinggalkan solat lebih hina dari binatang, tak solat kita jauh dari syurga – Ustaz Ahmad Dusuki. Ramai tahu syurga dan neraka dan semua perbuatan semasa hidup, kitalah yang menentukannya mana mahu dimasuki, syurga atau neraka.

Tahukah, hukum solat itu fardu ain. Ertinya ia wajib ditunaikan oleh semua orang islam. Yang berakal, baligh dan berada daam keadaan suci (bukan haid).
Firman Allah ﷻ:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.” (Surah al-Baqarah: 43).

Tiada istilah jarang-jarang solat kerana umat islam yang memenuhi syarat di atas maka SOLAT ADALAH WAJIB. Tiada sebarang alasan.

Memetik satu perkongsian pelakon Mas Khan di insta storinya berkaitan bab solat, dia mengakui tidak mahu berpura-pura dalam hidupnya bila ditanya bab solat.

Dirinya mengakui jarang menunaikan solat penuh lima waktu meski pun menyedari bahawa ia adalah perintah yang diwajibkan Allah SWT kepada umat Islam.

Jelas pelakon berusia 28 tahun ini, dia lebih memandang terhadap perkara lain seperti bersedekah sebagai amalan untuk mengumpul pahala.

“Solat penuh tu memang jarang sekali. Ya solat adalah tiang agama, wajib tapi saya pandang lebih kepada hati seseorang itu.

“Mungkin solat saya ‘kelaut’ tapi kita cari pahala tang (cara) lain faham tak? Contoh bersedekah, tolong orang, bertanggungjawab dan sebagainya,” tulisnya.
Dia berkata demikian bagi menjawab soalan daripada salah seorang pengikut yang bertanya bagaimana untuk menjadi golongan berjaya dalam kehidupan.
Mas Khan berkata, dia menyifatkan amalan dalam rukun Islam kedua itu tidak mampu menjamin syurga sekiranya seseorang itu mempunyai hati yang kotor.

“Tak bermakna awak solat penuh lima waktu sehari, awak boleh cium syurga kalau hati dah tak betul. Jangan terasa,” kata pelakon drama Bukan Gadis Biasa itu.

Berkongsi kenyataan yang boleh dianggap mengelirukan walau itu pandangan peribadi dan pendapat tersendirinya, Ustaz Ahmad Dusuki yang juga seorang pendakwah agama memberikan ulasan terhadap kenyataan pelakon ini.

“Solat itu adalah kunci kejayaan hidup manusia.

“Apa dimaksud dengan kejayaan hidup ialah bila kita berjaya menjaga solat. Tak jaga solat maknanya kita tak berjaya.

“Apa saja kebaikan kita buat tapi kalau tinggalkan solat atau jarang-jarang solat maka kita tak dianggap berjaya dalam islam. Ini kerana simbol kejayaan itu ialah SESEORANG BOLEH MENJAGA SOLATNYA. Iaitu solat penuh lima waktu yang difardukan.

Laungan azan itu sendiri menyebut, ‘hayya ala solah’ dan ‘hayya alal falah’ di mana Allah tidak menyebut tentang zakat saja tapi Allah sebut tentang solat. Marilah menuju kejayaan.

Maknanya, kejayaan ialah bila kita solat.kalau tak solat, kita tak berjaya,” tegasnya.

Tambah pendakwah ini lagi, perkara pertama ditanya di akhirat ialah tentang solat.

“Sesiapa yang boleh lepas tentang solat maka kebaikannya yang lain akan di nilai. Tapi kalau tak berjaya tentang solatnya maka semua amalannya yang lain tak diambil kira.

“Kalau kita tak solat, jangan harap nak cium bau syurga bahkan kita akan berjarak jauh dari solat. Potensi dihumban ke neraka itu lebih terbuka kepada orang yang sengaja tinggalkan solat dalam hidupnya. Jangan kita ingat, bahawa solat itu perkara yang mudah-mudah, boleh tinggal begitu saja. Kita kena letakkan solat perkara pertama dalam hidup kita.

BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- “Tak Semua Duit Masuk Jadi Untung, Takut Kecelakaan”, Ustaz Ahmad Dusuki Ulas Artis Gelek Dapat Duit

Bila Umur Masuk 40 Tahun, Cukuplah Rezeki Yang Ada, Jangan Tamak Dengan Dunia

Jelasnya lagi, solat itu merangkumi seluruh perjalanan hidup kita. Dalam solat ada syahadah, ada zakat, ada puasa, ada haji dan Allah rangkumkan semuanya sekali dalam kehidupan kita. Solat juga tiang agama, tinggalkan dengan sengaja maka kita meninggalkan agama.

“Jadi jangan pandang lekeh bab solat ini. Tak kira siapa kita, usahawan, selebriti atau sapa-sapa, tinggal solat bermakna kita tinggalkan agama.

Dalam pada itu, Ustaz Ahmad Dusuki turut membaca hadis, bahawa orang yang tak solat lebih hina dari binatang.

“Allah sebut mereka in macam binatang bahkan lebih sesat dari binatang. Binatang pun ada nilai dalam hidup. Tapi kalau orang tinggalkan solat lebih teruk dari binatang.Ia digambarkan dalam Al-Quran pentingnya kita menjaga solat.

“Solat bukan jarang-jarang tapi wajib solat lima waktu. Jangan main-main bab solat ini, tinggal solat semua amalan kita tak diterima Allah. Letaklah solat itu keutamaan. Rezeki kita dapat kalau tak solat itu istidraj.

“Gajah pun gemuk tak pernah kurus, tapi gajah tak solat. Takkan kita lebih teruk dari binatang ini.

“Solat itu tanda kehambaan diri kita dengan Allah. Cuba orang tunjuk jari di dahi kita, kita marahkan tapi dengan dahi itu kita bersujud pada Allah. Bahkan orang tak solat juga sombong seperti iblis dan syaitan. Sebab itulah kita kena sujud sebagai tanda kehambaan kita,” katanya ketika dihubungi di mana Ustaz Ahmad Dusuki kini berada di Pekan Baru untuk menyelesaikan PhDnya.

Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.

Published by
almaswa Haji Che Ros