Senario Harian Sekeliling Kita,Sekarang Tak Nampak Akan Datang KESANNYA Depan Mata!

Share

Hati-hati iya, pesanan buat mak ayah utamakanlah anak-anak dan keluarga dalam segala perkara. Jangan terlalu leka dengan gajet hinggakan anak-anak yang masih kecil terabai. Terlalu asyik dengan gajet tanpa sedar kesan dan akibatnya akan dirasai apabila mereka dah besar nanti, semakin menjauh dan hubungan renggang.

Catatan dan teguran oleh Ahmad Hisyam Sabrani ini ada benarnya. Senario sekeliling yang ramai mak ayah lakukan.

Kau mengharapkan anak-anak besar esok jadi anak soleh, huffaz quran, orang berjaya, taat mak bapak, pemimpin negara… Tapi hari-hari dalam hidup kau mengadap handphone lebih lama daripada masa kau mengadap anak-anak. Kau senyum depan gajet lebih banyak daripada kau senyum depan anak.

Pergi kedai makan sama-sama dengan anak, tapi kau mengadap Telegram sepanjang waktu. Anak yang duduk di hadapan kau terpinga-pinga tak tau nak buat apa sementara tunggu makanan yang dipesan sampai. Kalau dia meragam sikit, kau jerkah dia depan orang ramai.

Anak kau demam, kau bawa pergi klinik. Sementara tunggu no.giliran naik, kau layan Insta sampai terabai anak yang sedang menahan sakit. Terkapai-kapai anak tu takda kawan nak bersembang. Paling kuat pun kau bagi dia tengok Youtube atau main game dalam handphone. Janji kau tak terganggu.

Hari sukan sekolah, anak kau semangat berlari, melompat, bersaing dengan kawan-kawan. Dapat pingat dan piala nak tunjuk kat mak ayah dia. Tapi anak tengah berpanas, berentap di padang, kau berteduh bawah khemah layan Whatsapp sambil tersenyum sorang-sorang.

Bawa anak pergi taman permainan, anak-anak kau lepaskan main sendirian. Main papan gelongsor, jongkang-jongket, buaian… Kau di mana? Duduk atas bangku sambil kemas kini status Facebook, “Petang ni seronok bawa anak-anak bermain di taman mainan” dan tunggu komen rakan-rakan. Anak-anak menunggu kau turut serta, tapi sayangnya hajat mereka tak kesampaian.

Kau letakkan harapan pada masa depan anak kau setinggi gunung, nak dia jadi anak soleh, insan berjaya dunia akhirat, tapi nilai gajet kau letak jauh lebih tinggi. Komunikasi dengan anakpun melalui “perantaraan” Youtube dan Ipad. Kalau takda gajet, kau pun buntu macam mana nak melayan karenah anak dan berkomunikasi.

Hakikat yang pahit, tapi senario harian yang boleh diperhatikan di sekeliling kita. Sekarang anak masih kecil mungkin kau tak nampak kesannya. Tapi setelah 20 tahun akan datang baru kau nak sedar, setelah kau nampak kesannya depan mata, ketika itu nak patah balik pun dah tak dapat. Jadi sementara masih punya masa dan kesempatan, gunakan peluang sebaiknya.

Kau adalah yang bertanggungjawab mencorakkan anak-anak kau…

كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَاْلأَمِيْرُ رَاعٍ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ، فَكُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Kamu sekalian adalah pemimpin, dan kamu sekalian bertanggung jawab atas orang yang dipimpinnya. Seorang Amir (raja) adalah pemimpin, seorang suami pun pemimpin atas keluarganya, dan isteri juga pemimpin bagi rumah suaminya dan anak-anaknya. Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu sekalian akan diminta pertanggungjawabannya atas kepemimpinannya. (HR al-Bukhari dan Muslim. Ini adalah lafaz al-Bukhari)

إِنَّ اللهَ سَائِلٌ كُلَّ رَاعٍ عَمَّا اسْتَرْعَاهُ أَحَفِظَ ذَلِكَ أَمْ ضَيَّعَ؟ حَتَّى يَسْأَلَ الرَّجُلَ عَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ

Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap pemimpin tentang apa-apa yang dipimpinnya. Adakah ia pelihara atau ia sia-siakan, hingga seseorang ditanya tentang keluarganya. (HR an-Nasaa’ie dan Ibn Hibban, daripada Anas bin Malik. Ibnu Hajar mensahihkannya)

Baca Lagi Di Sini: Banyak Rumahtangga Hilang Serinya Sebab Handphone

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi teguran buat kita. Berpada-padalah dalam melayari gajet.

Sumber: Ahmad Hisyam Sabrani

Published by
Suhaidah Abd Wahab