Sehebat mana manusia merancang, hebat lagi perancangan Allah SWT. Begitu juga dengan ajal dan maut segalanya tertulis sejak azali dan bila tiba masanya, tiada siapa dapat menidakkan Ketentuan Ilahi.
Semua persiapan telah dibuat, gadis ini redha tunang pergi tiga bulan sebelum majlis nikah yang dijadualkan bakal berlangsung tahun depan.
Begitulah kisah seorang gadis yang berdepan dengan kematian insan tersayang iaitu tunangnya sekitar bulan Oktober yang lalu.
Lebih memilukan apabila, Nor Assyikin Norizam, 24, sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya, Khairul Adzhar,26, pada 2 Januari tahun hadapan.
Kisah menyayat hati ini menjadi perhatian ramai setelah Nor Assyikin atau mesra dengan panggilan Kikin berkongsi kenangan Bersama tunangnya menerusi satu video di aplikasi Tik Tok sehingga ia menjadi tular.
Namun begitu, Kikin mengakui reda dengan pemergian itu walaupun ia berlaku dengan cara yang tidak diduga sama sekali.
“Arwah memang dah lama sakit jantung. Dia pernah kemalangan 10 tahun lepas dan terpaksa dipakaikan injap besi pada jantung.
“Pada Januari lalu arwah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
“Pada bulan lepas, arwah dimasukkan ke hospital sekali lagi akibat pendarahan pada paru-paru sebelum meninggal dunia pada hari Jumaat, 9 Oktober 2020,” ujarnya.
Baca Juga Di sini:
‘Berkali Cuba Terjun Dari Kereta, Cederakan Diri’ Seksanya Dugaan Bertunang Gadis Ini
Dalam Bab Pinjaman, Masa Bertunang Nilah Kena Berkira, Dah Kahwin Nanti ‘Kedekut’ Tu Tolak Tepi
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
Menceritakan detik penuh emosi itu, allahyarham ada menghubungi Kikin pada malam sebelum dia meninggal dunia minta membawanya ke Hospital Banting, Selangor.
Kata Kikin, dia dan adik allahyarham membawanya ke hospital sebelum menerima panggilan mengejutkan pada pagi keesokan harinya.
“Saya yang hantar dia ke hospital, dia minta tolong. Saya WhatsApp adik dia dan kami hantar sama-sama.
“Malam tu last jumpa sebab arwah perlu ditidurkan dan dipakaikan oksigen. Saya tengok semangat dia kuat sangat walaupun saya tahu hakikatnya dia lemah malam itu.
“Kemudian saya balik ke rumah dan dapat panggilan selepas solat Subuh. Saya pegang telefon arwah. Baru je pegang terus dapat call dari hospital.
‘Masa tu saya nak drive tapi mak tak bagi. Abang yang bawa kami ke hospital. Mula-mula memang tak boleh terima, tapi saya banyakkan mengaji dan dengar ceramah.
“Saya kongsi kenangan kami di Tiktok sebab nak luah rasa rindu. Nak simpan kenangan dengan dia. Tak sangka viral dan ramai doakan arwah.
“Komen-komen anda semua jadi kekuatan saya. Sangat terharu,” ujarnya yang bertunang dengan allahyarham pada Ogos 2019 selepas berkenalan sekitar lima tahun lalu.
Ujar Kikin, dia terharu kerana allahyarham bekerja sebagai pemandu lori kontena untuk mengumpul wang kahwin mereka.
Malah, dia sehingga kini masih lagi berkunjung ke rumah keluarga allahyarham dan enggan hubungan mereka putus begitu sahaja.
Dalam apda itu dedah Kikin, dia dan allahyarham juga sudah membuat banyak persiapan untuk majlis kahwin.
“Setiap minggu saya pergi rumah dia, tak nak putus hubungan dengan keluarga arwah.
“Saya paling terharu arwah sanggup kerja sebagai pemandu lori walaupun keadaan kesihatan tak mengizinkan.
“Kami dah buat banyak persiapan, tempah catering, pelamin, doorgift pun dah beli semua. Kad undangan pun dah ada, cuma belum cetak je,” ujarnya mengakhiri bicara.
MW: Semoga gadis ini tabah menghadapi ujian ini. Ternyata bukan mudah menerima kehilangan orang tersayang apatah lagi di saat menanti hari bahagia.
Sumber: mStar