Kehadiran zuriat dalam keluarga pasti memeriahkan lagi rumah tangga. Hubungan suami isteri semakin erat dengan kehadiran anak-anak sebagai penghibur. Namun bagi pasangan yang belum lagi dikurniakan anak, mereka rasa sunyi. Lebih parah, apabila hubungan intim turut terjejas.
Dalam kebanyakan kes, suami isteri yang belum dikurniakan zuriat merasa tertekan ketika melakukan hubungan intim. Mereka merasakan hubungan kelamin itu amat melelahkan dan memberi tekanan yang besar.
Sedangkan seks itu sesuatu yang membahagiakan dan menyihatkan, sangat diperlukan oleh pasangan yang ingin hamil. Laksanakan tip ini untuk menjaga keharmonian seks ketika pasangan berharap mendapatkan zuriat.
1. Jangan anggap seks rutin tetap
Pasangan yang sangat ingin memiliki anak lebih cenderung untuk melihat seks sebagai suatu rutin dan tugas. Pasangan yang telah mencuba untuk hamil pada waktu yang lama, merasakan hubungan seks itu suatu tekanan. Untuk itu lebih baik lakukan seks itu seperti biasa dan hanya mengharapkan yang terbaik akan terjadi.
2. Suami isteri jangan lakukan seks kerana permintaan
Isteri akan merasakan sukar untuk mereka melakukan hubungan seks secara teratur pada akhir bulan dan awal bulan setiap masa. Ini kerana memikirkan tidak ada sebarang hasil positif terjadi, hal tersebut dapat menyebabkan tekanan di dalam hubungan. Sesudahnya ia akan menyebabkan seks menjadi dingin.
3. Terikat seks semasa subur
Jika seks hanya dijadikan sebagai salah satu usaha untuk hamil, setelah ovulasi kesuburan terjadi, jika beranggapan begitu anda tidak perlu untuk meneruskannya. Berhubungan seks dapat menjaga perasaan sebagai suatu bentuk keselesaan bukan hanya untuk mendapatkan bayi.
4. Terikat untuk dapatkan klimak
Meskipun seorang perempuan mencapai kemuncak seksual boleh membantu meningkatkan kontraksi rahim yang dapat membenarkan ‘pertemuan’ antara sel telur dan sperma, namun tidak ada bukti yang kuat yang boleh mengatakan bahawa pasangan harus sampai pada titik kemuncak seksual untuk membolehkan mereka hamil. Jadi jangan tertekan jika anda tidak mencapai klimak ketika asmara berlaku.
5. Tekanan emosi pasangan
Setiap pasangan akan menghadapi tekanan dengan cara yang sangat berbeza. Terdapat beberapa lelaki yang ingin lebih terlibat dengan memastikan tentang kesuburan pasangannya sehingga mereka berdua menyedari ketika mereka benar-benar perlu mencuba. Ini kerana setiap kes pasangan adalah sangat berbeza. Jangan tertekan untuk mendapatkan zuriat ketika melakukan seks bimbang hubungan itu tidak berkualiti kerana anda terlampau tertekan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Baru-baru ini di sebuah akhbar mendedahkan punca remeh temeh dan ada yang tidak masuk akal berlakunya perceraian. Antaranya, isteri suka membasuh baju pada waktu malam, punggung isteri menggerutu, suami tidak suka isteri makan dalam kereta, lambat menyediakan makanan dan banyak lagi.
Kenapa institusi kekeluargaan hari ini terlalu longgar? Sehingga begitu senang untuk suami melafazkan cerai? Malah perceraian yang berlaku dalam masyarakat seolah-olah menjadi seperti perkara mainan sahaja.
Menurut Inspirator Psikologi Kejayaan, Puan Saleha Idris, “Kata kunci pada perhubungan rumah tangga adalah KENAL dan FAHAM. Apabila kita sudah kenal dan faham barulah kita dapat berkomunikasi dengan baik.
“Membina rumah tangga bukan mudah seperti disangka. Semua alasan yang diberikan untuk meruntuhkan rumah tangga adalah selalunya perkara yang tidak boleh diterima.
“Di dalam psikologi, itu hanya dipanggil sebagai proses adaptasi dan akomodasi. Adaptasi adalah proses penyesuaian pasangan dengan alam perkahwinan.
“Yang mana apa sahaja berlaku kita perlu mengubah cara fikir dan sudut pandang kita sebelum ini dipanggil akomodasi.”
Contohnya seorang isteri atau suami yang kahwin mereka sudah lama membina cara fikir iaitu atas faktor cara kita dibesarkan, sekolah, budaya dan sebagainya.
Inspirator Psikologi Kejayaan, Puan Saleha Idris
Ini Punca Suami Mudah Melafazkan ‘Cerai’
Jadi dalam perkahwinan kita perlu ada matlamat untuk memulihkan dan membina keseimbangan di dalam personaliti, gaya hidup, komunikasi dan sebagainya.
1. Selalunya penceraian yang tanpa alasan yang tidak konkrit hanyalah kerana emosi negatif yang melebihi logik. Atau ketidakcerdikan dalam melayari rumah tangga.
2. Kolam jiwa yang penuh kelodak keegoan. Masing-masing menuding jari pada pasangan, isteri tidak faham suami dan suami tidak faham isteri.
3. Mungkin bagi sesetengah pihak merasakan perkara ini melucukan tetapi inilah realiti. Ada kalanya mereka memberikan alasan yang tidak munasabah untuk bercerai, adakah kerana masyarakat kita pada hari ini terlalu memikirkan soal yang remeh temeh?
Soal remeh temeh ini adalah disebabkan gaya hidup kita bukan kepada ketuhanan tetapi lebih kepada materialistik.
4. Apabila seorang isteri melihat suaminya lebih rendah dari sudut pendidikan, kewangan, cara hidup dan sebagainya. Mereka mudah memperlekehkan suami dan tidak tahu untuk hormat.
Suami pula dengan keegoan dan kurang kesabaran akan menyebabkan mereka tidak ada kesatuan dan keserasian.
5. Mudahnya mereka ingat lafaz dan akad yang dihasilkan hanya sebagai mainan duniawi bukan sebagai membina hubungan terus kepada Tuhan hingga ukhrawi.
Perkahwinan tiada matlamat yang jelas hanya untuk membina impian penuh tipuan.
6. Setiap fasa perkahwinan ada ujian tersendiri. Jika tak kuat dan tiada ilmu nak harungi setiap fasa dalam perkahwinan : fasa awal, fasa pertengahan dan fasa akhir maka penceraian yang jadi.
7. Faktor diam sendiri dalam menyelesaikan masalah dan tiada perbincangan dengan yang pakar dan pengalaman membuatkan mereka terjerat dalam kasih yang dibina. Keputusannya CERAI.
Antara penyelesaian yang boleh diambil pertama, terus menerus memenuhi diri dengan ilmu. Hanya dengan ilmu dapat membantu kita. Kedua, ada diskusi dengan kaunselor atau yang lebih berpengalaman.
Apabila berjumpa dengan orang yang lebih pakar, nasihat mereka umpama mutiara yang berharga dapat mengubah sedikit sebanyak mindset kita yang tepu dan kurang ilmu.
Ini Kesannya..
1. Pada Anak-anak
Bagi pasangan yang sudah mempunyai anak, anak yang masih kecil itu menjadi mangsa akibat kebodohan keputusan yang dibuat oleh ibu dan ayah yang hanya pentingkan diri sendiri.
Mereka umpama kain putih suci dan murni. Kita yang mencorakkan kesedihan dan keburukan kepada mereka.
Dalam psikologi, keperluan pertama dalam membina personaliti dan watak diri yang baik adalah bermula saat mereka kecil. Apakah keperluan? Iaitu kasih sayang yang baik dari penjaga anak itu.
Semak kembali anak kita.
Adakah mereka dibina dalam ruang persekitaran kasih sayang atau permusuhan. Akan ada perbezaan personaliti keduanya.
I. Anak yang dibina dalam persekitaran kasih sayang dan positif membesar lebih gembira, sihat dan personaliti yang baik.
II. Anak yang dibina dalam persekitaran sebaliknya akan mudah sedih, sakit dan watak diri yang tidak baik.
2. Kewangan Pun Terganggu
Untuk pasangan yang muda pula, kewangan, dan psikologi diri juga akan terganggu. Mungkin mereka lebih berhati atau ada rasa kerisauan dalam membina rumah tangga yang seterusnya.
Suami Isteri Fahamkan Ini
1. Jangan ingat bila seseorang itu berkahwin, ilmu rumah tangga hadir sendiri. Ia perlu dituntut dan diperoleh.
2. Semua pihak terus mengambil langkah untuk membina kerukunan rumah tangga, institusi kerajaan, swasta terus mengambil langkah supaya statistik penceraian tidak berleluasa.
Matlamat membina keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah itu dituntut di dalam al-Quran dan juga agama lain. Lafaz penceraian adalah mudah dan yang dapat mengharungi rumah tangga adalah yang kuat jiwa mental dan emosi.
Dengar Apa Kata Mereka
Suami Jangan Jatuhkan Hukum Membuta Tuli
“Punca utama penceraian adalah kerana asas kehidupan yang tidak kuat iaitu pendidikan agama. Ramai yang cetek ilmu agama dan salah guna mengikut keperluan mereka dan bukannya supaya kita dapat kembali ke landasan yang betul.
Bila isteri buat silap dalam agama, wajib sang suami yang perbetulkan. Cari pendekatan supaya teguran diterima oleh isteri.
Bukan cari kesalahan isteri dan seterusnya hukum dengan penceraian. Lelaki kenalah jadi khalifah dalam rumah tangga bukannya jadi hakim yang menjatuhkan hukuman secara membuta tuli.
“Tak kurang juga dengan dugaan dekat luar terutamanya di tempat bekerja. Isteri zaman sekarang banyak berkerjaya, nak uruskan rumah tangga, anak-anak dan urusan keluarga yang lain.
Isteri bekerja untuk sama-sama bantu suami, tapi berapa ramai suami yang bila balik kerja sama-sama uruskan urusan rumah?
Kalau perkara asas ini seperti tanggungjawab dan sebagainya dikupas sejak sebelum nikah dan mereka dalaminya, Insya-Allah kes penceraian dapat dibendung dan dikurangkan,” Sharifah Othman
Remeh Pada Orang Luar Tapi Tak Untuk Suami Isteri
“Bila seseorang itu belum berkahwin,ia menganggap isu seperti ini remeh untuk dijadikan alasan bercerai.
“Walau bagaimana pun, situasi berbeza pada pasangan yang sudah berkahwin. Malah, dalam hubungan suami isteri, kadang-kadang ada perkara yang dianggap remeh oleh orang luar tetapi ia boleh menjadi masalah besar jika sudah hidup bersama.
“Oleh itu, kemungkinan alasan tersebut diguna pakai kerana sudah terlalu lama dipendam hingga mendatangkan kesan negatif dalam hubungan perkahwinan tersebut,” Nurul Shamira Rashikin
Jangan Pendam.. Bincanglah Suami Isteri
“Tak dinafikan memang wujud alasan-alasan bercerai yang tak munasabah seperti fizikal isteri yang tidak menepati cita rasa suami dan sebagainya.
Bagi saya itu mungkin disebabkan pengaruh media massa terutamanya televisyen. Isteri pun sama juga, sebab suami tak menepati ciri-ciri yang mereka mahukan maka itu dijadikan alasan untuk berpisah setelah berumah tangga.
Namun begitu, kadang-kadang itu hanya sekadar alasan untuk diberikan kepada orang ramai atau hakim ketika proses penceraian berlaku, mungkin ada alasan lain yang tidak dapat dikongsi.
Bukan itu sahaja, bagi saya keadaan ekonomi dan sara hidup yang tinggi pada masa kini juga menyumbang kepada punca penceraian yang tinggi dalam masyarakat hari ini.
Maka komunikasi itu amat penting dalam sesebuah perhubungan. Kalau ada yang tak kena jangan dipendam dan berbincanglah demi kesejahteraan rumah tangga yang dibina,” Mahadi Ibrahim
Jangan Ungkit, Nanti Konflik Pun Terhindar
“Tujuan perkahwinan ialah menyusun pergaulan antara lelaki dan wanita supaya diredhai Allah SWT. Oleh yang demikian, setiap pasangan seharusnya saling melengkapi setiap kekurangan pasangan.
Bagi saya antara perkara yang perlu dititik beratkan dalam menjaga keharmonian rumah tangga ialah jangan melihat ke belakang.
Contohnya, asyik mengungkit alasan saat awal perkahwinan, berfikir secara logik kerana konflik boleh mengheret hal lain yang sebetulnya tidak terlibat, lihat kelebihan pasangan dan bukan sebaliknya.
Insya-Allah dengan berbuat demikian rumah tangga yang terbina akan lebih harmoni dan bahagia,” Mohd Azli
Penulis : Norhayati Suboh & Shahrina Azlin Abdullah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Apabila peranakan terkeluar dari pintu kemaluan, ada yang mendiamkan diri kerana malu nak merujuk hal sulit itu kepada doktor. Hanya apabila nak berjalan pun tak selesa, ketumbuhan yang menjulur keluar itu sudah bergesel dengan celah paha ketika berjalan.
Geseran itu membentuk ulser sekaligus mengundang infeksi kuman dan bauan tidak menyenangkan. Ketika itu jika anda jumpa perawat urutan tradisional sebagai alternatif, mereka pastinya akan menggesa anda segera merujuk masalah itu kepada perubatan bertauliah bagi mencari penyelesaiannya.
Pernahkah anda mendengar tentang tombong? Apa itu tombong? Tombong dalam bahasa mudahnya adalah peranakan jatuh atau saintifiknya prolaps uterus atau rahim. Kondisi ini boleh disahkan melalui pemeriksaan pangkal rahim dengan membandingkan ketumbuhan yang keluar (kemungkinan serviks atau rahim) relatif dengan aras tertentu bahagian pelvis bawah.
Tahap prolaps dibahagikan kepada tahap satu, dua dan tiga bergantung kepada bahagian pangkal rahim yang menonjol keluar dari pintu kemaluan. Ia berlaku disebabkan otot lantai dan ligamen yang menyokong rahim tidak lagi utuh. Jika dahulu tombong ini lazimnya dialami oleh wanita yang menopaus, sekarang tidak lagi. Menurut Dr. Ida Lilywaty Md Latar (Pakar O&G, Hospital Pantai Cheras, Kuala Lumpur) mengejutkan apabila wanita seawal usia 30-an dan belum berkahwin juga terdedah kepada tombong disebabkan gaya hidup mereka.
Bagi pengamal perubatan dan urutan Melayu, Nur Aziemah Ahmad dari Naurah Beauty Home Spa, pengalaman didatangi wanita muda seawal usia 21 tahun… belum berkahwin datang dalam keadaan menunduk dan berbau, mengadu sedang mengalami masalah tombong. Sebaik diselidik kondisi tombongnya sudah serius, mempunyai ulser yang menyebabkan ia berbau. Tambah Aziemah lagi, wanita itu memaklumkan tugasnya di sebuah gerai makan membuatkan dia sudah terbiasa mengangkat tong gas yang berat sendirian. Impak dari kekerapan mengangkat berat yang berlebihan menyebabkan beliau mengalami tombong.
Risiko buang rahim
Untuk tombong tahap satu, pesakit tidak perlu risau kerana kaedah senaman boleh dilakukan untuk menguatkan otot pelvis yang dinamakan senaman kegel. Selain itu, cuba berusaha untuk mendapatkan berat badan yang ideal.
Tahap dua juga boleh dirawat dengan menggunakan alatan sokongan pessary di dalam vagina untuk menolak rahim ke posisi atas.
Tahap tiga pula memerlukan rawatan segera sekiranya melibatkan pundi kencing atau usus. rawatan yang disyorkan ialah pembedahan histerektomi (pembedahan pembuangan rahim).
Jangan sampai hilang kemahkotaan wanita – Datin Rebecca Nur Al Islam
Culas pantang dan angkat berat yang berlebihan termasuk mendukung anak antara dua kepantangan yang dielakkan aktres Datin Rebecca Nur Al Islam. Menerusi perkongsiannya dalam Mingguan Wanita Talkshow hari ini, terbiasa dengan mengamalkan pengambilan jamu sejak kecil…ibu kepada lapan cahaya mata ini mengakui dia seorang berpemikiran tradisional terutama apabila menyentuh hal dalaman wanita.
Menurutnya lagi,proses berpantang itu…waktu untuk dirinya fokus kepada memulihkan kesihatan dalaman, berurut, menjaga pemakanan, bertungku, makan jamu, menggunakan perubatan herba dan minyak urutan yang bersesuaian.
Selain pantang ‘bersama suami’, Rebecca juga mengamalkan teknik senaman kagel bagi menjaga kesihatan bahagian intimnya. Tegasnya lagi, menjaga itu lebih elok daripada merawat. Dia juga tidak mahu wanita di luar sana ‘hilang kemahkotaan wanita’ apabila gagal menjaga aset itu sebaiknya.
Jangan lupa saksikan siaran ulangan Mingguan Wanita Talkshow jam 5 petang hari ini yang memaparkan isu, Tombong Digeruni Wanita! di Astro Prima 105 dan di PrimaHD 121.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kitaran haid yang tidak teratur adalah yang kurang daripada 25 hari atau lebih daripada 35 hari. Ada sesetengah wanita haidnya datang dua atau tiga bulan sekali dalam setahun.
Ini bukanlah satu penyakit tetapi disebabkan oleh gangguan hormon. Kaum wanita yang mengalami masalah ini kurang subur kerana ia kurang mengeluarkan telur.
Namun begitu, tak perlu runsing kerana ini adalah normal untuk peringkat awal perkembangan. Dan untuk tahu 8 masalah pusingan haid yang lain, jemput rujuk perkongsian oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad…
Pusingan haid yang teratur melambangkan kesuburan, kewanitaan dan kesihatan. Pelbagai gejala dan penyakit boleh menyebabkan gangguan kitaran haid.
Ada yang berbahaya dan mengancam kesihatan seperti kanser pangkal rahim (cervix), kanser ovary atau rahim.
Sebahagian besar disebabkan oleh gangguan hormon dan juga berbagai2 tumbuhan bukan kanser saperti fibroids, endometriosis dan ovarian cysts.
Walau demikian wanita perlu berwaspada bila timbul gangguan berikut:
1. Perdarahan selepas hubungan kelamin. Ia dianggap sebagai tanda kanser pangkal rahim. Walau demikian ada punca2 lain saperti cervical erosion, jangkitan kuman dan cervical fibroids dan polyp.
Perlu periksa faraj dan buat ujian Pap smear.
2. Perdarahan selepas putus haid (menopause). Ini satu tanda kanser dalam rahim. Lain-lain punca adalah kekurangan hormone estrogen, ada ketumbuhan fibroid dan polyp.
Periksa hormon dalam darah dan buat vaginal scan, buat pap smear dan juga diagnostic D&C.
3. Perdarahan haid terlalu banyak dan berpanjangan (menorrhagia). Punca utama tumbuhan fibroid, adenomyosis, endometrial hyperplasia Dan polyps. Perlu buat vaginal scan.
Rawatan dengan bedah D&C, buang Fibroids atau buang rahim. Ubat hormone, norethisterone (norculut) boleh membantu.
4. Sakit senggugut.
Sering disebabkan olih endometriosis dan adenomyosis. Menimbulkan masalah kesuburan dan keguguran serta kesakitan.
Perlu buat vaginal scan. Bagi gadis buat scan perut untuk sementara.
5. Haid tidak teratur, jarak antara haid 3 hingga 6 bulan atau lebih. Sering disebabkan oleh PCOS, ovary bengkak dan hormon tidak seimbang. Sering berlaku pada wanita gemuk.
Gangguan utama ialah sukar hamil dan perdarahan banyak dan berpanjangan.
Perlu rawatan khusus dan kuruskan badan.
6. Tidak datang atau lewat datang haid
Punca utama ialah kehamilan. Langkah pertama buat ujian kehamilan UPT. Buat vaginal scan untuk pengesahan.
Lain-lain punca ialah gangguan hormon akibat stress atau masuk umur empat puluhan. Mungkin hampir menopause.
7. Tidak datang haid melebihi 6 bulan.
Salah satu tanda menopause bagi mereka berumur sekitar 50an. Atau premature menopause bagi mereka dibawah 40 tahun.
Bagi mereka yang berhenti haid dalam umor 20an dan awal 30an , munkin sebabkan ovarian failure, iaitu telor dan hormone telah tandus.
8. Tiada datang haid pada gadis berumur 20 tahun.
Munkin disebabkan tiada rahim atau pangkal rahim atau faraj. Ini cacat kogenita, iatu sejak lahir tidak sempurna peranakkan nya.
Jadi kitaran haid yg tidak menentu mungkin menandakan sesuatu yang berbahaya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...