Status WhatsApp yang dimuat naik Rohani Abdullah, 47, menunjukkan keindahan Taman Negeri Royal Belum, Perak ketika melalui kawasan itu menjadi menjadi status terakhir sebelum dia terkorban bersama suaminya dalam kemalangan semalam.
Dalam kemalangan di Kilometer 76 Jalan Raya Timur Barat, Gerik-Jeli berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Titiwangsa, Gerik, jam 6.45 petang, Rohani dan suaminya, Azmi Imas, 46, maut di tempat kejadian.
Manakala dua anak mereka, Nur Aina Fatiha, 18, dan Muhammad Adam Darwish, 14, cedera.
Status WhatsApp
Anak saudara Rohani, Wan Rubiah Wan Sulaiman, 40, berkata, dia ada membalas status dimuat naik arwah ibu saudaranya pada 6.15 petang semalam.
“Arwah ibu saudara memuat naik status itu ketika melalui kawasan berkenaan dan saya sempat komen bagi tahu pemandangan di sana (Taman Negara Royal Belum) cantik.
“Pada masa sama, saya sempat berpesan kepadanya supaya berhati-hati, namun panggilan diterima daripada sepupu (Muhammad Arif Haiqal, 20,) yang juga anak kepada arwah tidak lama kemudian memang mengejutkan saya.
“Arif beritahu adiknya (Nur Aina Fatiha) telefon memaklumkan mereka kemalangan dengan ibu bapanya masih berada dalam kereta, sementara mereka pula berada di luar,” katanya.
“Saya tidak tahu bagaimana keadaan mereka, tetapi Aina minta kami berdoa sambil minta kami datang ke sana segera.
“Saya cuba tenangkan Aina dan minta dia jaga adiknya sebelum dimaklumkan mereka dibawa ke Hospital Jeli, Kelantan untuk rawatan manakala ibu dan bapanya pula dibawa ke Hospital Gerik,” katanya.
Kereta Hilang Kawalan
Katanya, arwah ibu saudaranya ada berpesan kepadanya untuk membawa neneknya, Semek Abdul Rahman, 80, yang menghidap penyakit darah tinggi ke Hospital Hulu Terengganu, semalam.
“Biasanya, arwah yang akan bawa nenek (Semek) dan dia bersungguh-sungguh minta tolong kerana dia tak sempat pulang ke Terengganu.
“Saya memintanya supaya tidak risau dan minta dia sekeluarga berhati-hati,” katanya.
Jenazah yang tiba dari Hospital Gerik disembahyangkan di Masjid Felda Tersat selepas solat Isyak sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad.
Jenazah suami isteri ini telah selamat dikebumikan. .
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan apabila anak pasangan terbabit, ahli keluarga dan kenalan tidak dapat menahan sebak ketika pengebumian dijalankan dan selesai jam 10.30 malam, semalam.
Nahas mengorbankan pasangan suami isteri di Kilometer 76 JRTB Gerik-Jeli, berdekatan RnR Titiwangsa, Gerik berlaku selepas kenderaan mereka hilang kawalan semasa melalui selekoh.
Terbabas Ke Laluan Bertentangan
Nahas jam 6.45 petang semalam itu mengorbankan pemandu Nissan Latio, Azmi Imas, 46, dan Rohani Abdullah, 47, manakala dua anak mereka cedera.
Ads
Siasatan awal mendapati nahas dipercayai berlaku apabila Nissan Latio dinaiki pasangan itu dari arah Gerik dipercayai hilang kawalan semasa melalui selekoh lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan.
Akibat pelanggaran itu, pasangan suami isteri disahkan meninggal di tempat kejadian manakala tiga lagi mangsa dibawa ke Hospital Jeli untuk mendapatkan rawatan.
Mingguan Wanita : Semoga keluarga arwah tabah berdepan ujian berat ini apatah lagi anak-anaknya yang kehilangan kedua ibu bapa serentak. Al-Fatihah.
Waktu kontraksi dan memasuki fasa kelahiran bayi memang cukup mendebarkan. Ada yang diuji rasa sakit dan kontraksi kuat, malah ada juga yang sebaliknya. Sungguh tak dapat dibayangkan, sedang sarat mengandung 9 bulan dan hanya menunggu waktu untuk melahirkan anak, masih lagi mempunyai kekuatan untuk mengayuh basikal ke hospital.
Berbasikal Awal Pagi Ke Hospital
Itulah yang dilakukan oleh seorang ahli Parlimen New Zealand, Julie Anne Genter menunggang basikal pada awal pagi semalam untuk pergi ke hospital bagi melahirkan anaknya.
Ketika menaiki basikal, Genter sudah pun dalam fasa kelahiran dan bayinya dilahirkan sejam selepas beliau tiba di hospital. Genter sampai ke hospital yang mengambil masa kira-kira 10 minit.
Berita kelahiran itu diumumkan oleh Genter menerusi Facebook beberapa jam kemudian.
“Pada pukul 3.04 pagi, kami menyambut kelahiran ahli keluarga baharu. Saya tidak merancang mengayuh basikal untuk melahirkan anak, namun semuanya sudah berlaku. Kami tiba ke hospital kira-kira 10 minit kemudian.
“Kontraksi yang saya alami tidak berapa kuat dan keadaan itu membolehkan saya mengayuh basikal sehingga ke hospital,” tulis Genter.
Pengalaman Kali Kedua
Ini merupakan kali kedua Genter mengayuh basikal ke hospital untuk melahirkan anaknya.
Negara dengan populasi seramai lima juta itu terkenal dengan sikap rendah diri oleh sejumlah ahli politiknya.
Perdana Menteri Jacinda Ardern sebelum ini tetap masuk ke pejabat biarpun beliau masih dalam cuti bersalin, selain membawa bayinya yang ketika itu berusia tiga bulan ke mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mingguan Wanita: Kuatnya wanita ini, walaupun dalam kontraksi boleh lagi kayuh basikal ke hospital sebelum bersalin. Tak dapat bayangkan situasinya macam mana dengan sarat hamil 9 bulan menunggang basikal.
Kanak-kanak 5 tahun mati didera keluarga angkat, jiran bongkar selalu dengar suara tangisan & dimarahi.
Amat malang nasib seorang kanak-kanak perempuan apabila menjadi mangsa dera keluarga angkat.
Dalam tragedi menyayat hati ini, kanak-kanak berusia 5 tahun meninggal dunia akibat didera.
Memetik laporan Berita Harian, polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes kematian anak angkat perempuan mereka yang berusia lima tahun, dipercayai akibat didera.
Budak perempuan lima tahun yang meninggal dunia disyaki didera ibu dan bapa angkatnya di Taman Malcop, Silibin di sini dikatakan kerap menangis dan dimarahi individu dipercayai bapa angkatnya.
Jiran keluarga itu, Mohd Zezeli Abdul Latif, 58, berkata dia hanya menyedari kehadiran budak itu di kawasan perumahan mereka sejak dua bulan lalu.
Katanya, bapa angkat mangsa berusia 66 tahun itu sudah lama menetap di taman perumahan berkenaan tetapi tidak ramah dengan jiran tetangga.
Menurut Mohd Zezeli yang hanya berjiran sebelah rumah dengan keluarga mangsa, isterinya kerap mendengar tangisan kanak-kanak itu serta suara seorang lelaki dalam nada tinggi seakan menjerit ketika berada di halaman rumah.
“Pernah juga dengar suara lelaki itu menjerit dan meminta anaknya mencari barang, mungkin dia marah sebab ada barang yang hilang.
“Setahu saya, lelaki itu tinggal bersama isterinya sahaja sebelum kanak-kanak itu muncul dalam tempoh dua bulan ini,” katanya ditemui di rumahnya, hari ini.
Katanya lagi, dia hanya mengetahui kejadian menimpa budak itu selepas melihat banyak kereta peronda polis di hadapan rumah itu.
Seorang lagi jiran, N. Gandhi, 74, berkata mangsa adalah seorang kanak-kanak yang comel serta ceria, dan pernah menyapanya namun mengakui dia tidak pernah melihat mangsa bermain di luar atau halaman rumah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi mengesahkan mangsa hanya mula dibela dan dijaga oleh ibu angkatnya itu sejak April lalu.
Dalam pada itu, difahamkan bahawa kanak-kanak itu adalah anak kepada rakan ibu angkat mangsa yang terbabit dalam kes itu.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Ipoh membenarkan ibu dan bapa angkat mangsa direman enam hari bermula hari ini hingga Ahad susulan kematian budak itu yang disyaki akibat didera untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, laporan kes diterima daripada pegawai perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, 9.45 pagi semalam.
Beliau berkata, pegawai perubatan itu memaklumkan mangsa dibawa ke zon merah wad kecemasan untuk menjalani bantuan kecemasan jantung dan pernafasan, sebelum kemudiannya disahkan meninggal dunia.
Mengunjungi tanah suci dan menunaikan umrah merupakan impian ramai orang.Tak tergambar perasaan gembira apabila dapat mengunjungi tanah suci buat pertama kali, lebih-lebih lagi bersama suami dan anak-anak tersayang. Rezeki pelakon Lisa Surihani,33 dapat menjadi tetamu Allah menunaikan umrah bersuami Yusry Abdul Halim,43 dan anak-anak, Yahaira Leanne,3 & Yusof Leonne,2.
Lebih istimewa, kunjungan Lisa dan keluarga ke tanah suci pada 2 Syawal lalu sekaligus meraikan Aildilfitri disana.Melawat makam Rasulullah SAW / Raudhah, perkuburan Baqi, berpeluang menunaikan umrah merupakan pengalaman terindah bagi dirinya.
Perkara ini dikongsikan oleh Lisa sendiri didalam Instagramnya.
“Buat pertama kali, kami meraikan Aidilfitri dgn menziarahi makam Rasulullah saw dan masjid- di Madinah dan kemudian menziarah dan menjalankan umrah di Makkah”
“Semoga dipermudahkan perjalanan, urusan, dan dalam mengerjakan ibadah. Moga kami semua diberikan kesihatan untuk melaksanakan ibadah. Moga kami semua dikurniakan umrah yang mabrur.”
“Saya sangat bersyukur, kali pertama saya ke sini adalah bersama suami, ibu dan juga anak-anak. Tiada kata-kata yang cukup untuk menggambarkan perasaan ini. Saya doakan moga anda semua dijemput ke sini oleh-Nya. Amin.
MW: Alhamdulillah rezeki Lisa sekeluarga dapat menunaikan umrah pada bulan Syawal.Sesunguhnya satu pengalaman yang terindah. Manis sungguh Lisa bertudung labuh. Semoga dipermudahkan segala urusan disana dan mendapat umrah yang mabrur.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.