“Sempat Hantar Rakaman Suara Ucap Selamat Tinggal Sebelum Kemalangan.” Nahas 6 Kenderaan Di Rawang

Share

Reda dengan berita kehilangan, keluarga Allahyarham Nur Fitrah Rosman yang berumur 24 tahun mangsa kemalangan maut di Kilometer 446 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Rawang, semalam bersyukur jasad arwah dapat disemadikan dalam keadaan sempurna tanpa kecederaan teruk.

Bapanya, Rosman Sahim, 52, berkata jika dilihat keadaan Perodua Alza milik anaknya selepas kemalangan, pasti ramai menyangka semua mangsa yang maut mengalami kecederaan parah.

Dia bersyukur kerana jenazah anaknya hanya mengalami kesan lebam dan luka sahaja.

“Arwah seorang anak yang baik dan sangat menyayangi adik-adiknya serta tidak pernah menyakiti hati orang lain.

“Semasa arwah serta dua rakannya bergerak dari Ipoh untuk ke Gombak, saya tiada di rumah kerana bekerja.

“Dia (Nur Fitrah) sempat menghantar rakaman suara dalam kumpulan Whatsapp keluarga mengucapkan selamat tinggal, yang jika kini didengari kembali seolah-olah arwah tahu akan pergi buat selama-lamanya.”

Katanya, jenazah anak kedua daripada lapan beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gurap, Jalan Kuala Kangsar, jam 11 pagi hari ini.

Menceritakan mengenai keperibadian anak perempuan sulungnya itu, Rosman dalam nada sebak mengatakan arwah antara anak harapan bukan sahaja pada dirinya tetapi enam adik-adiknya yang masih kecil dan sangat rapat dengannya.

“Dia tempat adik-adiknya bermanja dan dia sangat sayang serta pentingkan keluarga, tetapi takdir Tuhan lebih menyayanginya dan dia pergi dulu,” katanya.

Katanya, arwah yang bekerja di sebuah bank memang merancang pergi ke majlis perkahwinan rakan ketika belajar di Politeknik Ungku Omar bersama dua lagi rakan lain dan akan bermalam sehari di ibu negara.

“Saya difahamkan arwah yang memandu kenderaan manakala rakan perempuannya duduk di bahagian penumpang hadapan manakala rakan lelaki di bahagian belakang.

“Kami ahli keluarga reda dengan pemergian ini dan ucapkan terima kasih kepada semua kenalan arwah yang hadir pada pengebumiannya hari ini,” katanya.

Pemandu Treler Negatif Dadah

Sementara itu pemandu treler yang mengakibatkan kemalangan membabitkan enam kenderaan meragut empat nyawa di Kilometer 446 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Rawang, kelmarin didapati negatif dadah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, pihaknya sedang mengambil keterangan pemandu berusia 45 tahun itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak sejurus dia keluar dari Hospital Sungai Buloh selepas menerima rawatan akibat kecederaan dialami.

Saringan ujian air kencing terhadap lelaki berkenaan mendapati dia negatif dadah dan dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas prosedur siasatan selesai.

Namun siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jumlah Mangsa Kemalangan

Mereka yang maut adalah pemandu MPV Toyota Vellfire, pemandu MPV Alza dan dua penumpang kenderaannya iaitu Noorakhirludin Alam Mohamad Noor, 48; Nur Fitrah Rosman, 24, Nurbaya Mohd Zaki, 24 dan Mohammad Hafiz Shahrul Jefri Din, 24. Semua disahkan maut di lokasi kejadian.

Selain itu, penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire, Ezzudin Noorakhirludin Alam, 10, masih menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu adalah treler tanpa muatan, kereta Perodua Myvi, kereta Nissan Almera, MPV Perodua Alza, MPV Toyota Vellfire, kereta BMW dan bas ekspres.

Info: Harian Metro dan Berita Harian

Published by
Nadia