Bagi keluarga mempunyai anak-anak ramai, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masalah makanan lah antara yang dihadapi keluarga. Terutama mencukupkan makanan untuk keluarga.
Bila dah ramai-ramai berkumpul, pagi petang siang malam, makanlah paling membahagiakan. Tengok dalam grup makan atau masakan di fb pun itulah yang paling meriahnya.
Bagi bapa anak 8 ini, Muhd Nur Syafiq ketika berkumpul dengan anak-anaknya dan bertanyakan tentang apa yang anak-anaknya rindu. Persoalan masalah makanan tak cukup ini ditanyakan oleh anak kecilnya.
Semalam cuti. Puas dapat luangkan masa dengan anak-anak. Lepas Maghrib sementara tunggu Isyak, aku ambik kesempatan sembang-sembang sikit.
Topiknya apa yang paling anak-anak rindu? Sengaja nak tahu pendapat anak-anak tentang rindu.
Riuh rendahlah masing-masing. Hahaha. (Padahal tiap waktu pun riuh). Sorang-sorang bersuara.
Rata-rata rindukan rumah sewa yang kami diami hampir 9 tahun di Puchong. Lahir dan membesar di sana, masakan tidak rindu.
Ada juga mereka suarakan rasa rindu nak ke sekolah. Nak jumpa kawan-kawan. Nak travel ke sana ke sini especially ke KL lah.
Tapi paling menyentap rasa bila Rizqi cakap cenggini.
“Aci paling rindu masa Aci kecik. Masa adik-beradik sikit.”
(dia memang bahasakan diri dia Aci.Entah singkatan Iqi atau Acik aku pun tak pasti).
“Eh! Eh kenapa pulak rindu masa adik -beradik sikit? Baguslah adik-beradik ramai, ramai kawan. Boleh main. Boleh temankan Iqi kalau Iqi takut
.”“Memanglah seronok. Tapi sekarang makanan selalu tak cukup. Dapat makan sorang sikit. Semua kena kongsi. Dulu, stok makanan banyak. Sekarang, apa pun kena bagi Amjadlah. Kena bagi Ali lagi. Mainan pun dah lama tak beli.”
Dia mula dah. Mencecehla mulut dia macam-macam. Aku diam je. Dengar apa lagi yang dia nak cakap.
Otak aku ligat fikir kebenaran kata-kata dia. Juga mencari kata yang sesuai untuk beri kefahaman mengenai situasi sekarang pada dia.
Aku akui, semenjak PKP dan anak-anak 24 jam di rumah, masalah makananlah paling utama. Dah 24 jam di rumah, sekejap-sekejap depa bukak peti ais. Sekejap-sekejap buka kabinet cari biskut. Sat je stok makanan licin. Tak sempat tunggu gaji hujung bulan, semua dah clean n clear.
Teringat perbualan aku dengan seorang kawan beberapa bulan lepas.
“Weh Pik, hang satu family sekali makan banyak mana ha? Huish, anak-anak ramai ni stok makanan kena banyak dan selalu ada. Tak dapat aku bayangla macam mana hang boleh hadap. Aku anak tiga ni pun, barang makan jajan depa saja empat lima ratus.”
Aku gelak dengar soalan dia dan mula pecah rahsia.
“Kalau nugget sekilo tu sekali goreng ja. Roti Gardenia jumbo pun sehari boleh habis. Sekali masak nasi 5 pot. Kalau goreng bihun mau 2 bungkus baru semua kenyang.” Aku gelak lagi.
“Seriusla? Hang tau kat rumah aku ni beli roti kadang sampai expired. Sapa tak pandang. Kadang bergaduh-gaduh paksa anak-anak makan. Nugget kalau beli, tunggu la ada orang datang. Waktu tu baru jalan. Syoklah hang. Mesti meriah rumah. Seronok family besar. Makan berebut-rebut. Yang tulah jadi kenangan nanti. Susah sikit sekarang, nanti senanglah hang Pik.”
Lepas tu kawan aku menung. Hahaha agaknya dia fikir susahnya kehidupan aku kot.
“Hish apa pulak tak cukup makan! Rezeki Allah dah bagi, sikit sorang sikit. Hari-hari makan kan? Ada nasi, ada lauk, syukurlah. Ada orang tak ada apa-apa langsung untuk makan tau
.” Zaisya Shukor bersuara.Rizqi diam. Yusuf pandang aku.
“Dulu masa kami kecik, selalu dapat pergi jalan-jalan. Tidur hotel bila mama ada kerja. (Seminarlah kot maksudnya). Sekarang kena duduk rumah je. Bosanlah! Rindu nak naik kereta lama-lama pergi KL rumah Pak Ngah. “
“Ali pulak rindu mama kena Covid. Bila mama duduk kat hospital lama-lama, kami semua tak kena marah.”
Mak oih ni lain macam jenis kerinduan ni. Hahaha.
mengundang murka si mama.
“Ajad pun rindu balik kampung.” Entah faham ke tidak soal rindu , menyampuk je tahu. Hahaha.
Aku tarik nafas panjang.
“Sekarang semua kena duduk rumah. Tak boleh keluar. Tak boleh jalan-jalan. Nak ke keluar jalan-jalan lepas tu semua kena Covid?” Semua geleng.
“Iqi, Ucop, tak baik mengeluh tak suka adik-beradik ramai. Semua yang ada kena share. Abah dah beli banyak dah tu makanan, dah taktau nak beli banyak mana baru cukup. Kena selalu ada rasa syukur. Kena selalu fikir orang lain yang lagi susah. Yang sakit sampai tak mampu nak kunyah dan telan makanan. Abah dah tak beli mainan sebab semua dah besar, dah sekolah. Kena belajar rajin-rajin. Faham tak?”
Masing-masing angguk kepala.
Baca Sini : 2 bulan makan dalam talam kekadang makanan sikit, ajaibnya tetap cukup.
Waktu-waktu macam ni terjaga, syahdu je rasa. Pandang muka anak-anak seorang demi seorang. Bukan mudah mahu jadi abah yang terbaik. Bukan soal wang ringgit saja. Makan pakai juga perlu dijaga. Selalu tertanya-tanya aku ni jenis abah yang macam mana? Emosi anak-anak aku cakna ke? Masih ada ke hak anak-anak yang aku belum lunaskan?
Berat beban yang abah tanggung. Abah selalu sembunyikan rasa. Abah selalu diam dan senyum. Hanya dua perkara ini yang abah mampu. Bukan aku saja. Semua yang bergelar bapa rata-rata menyembunyikan rasa yang sama aku kira. Bertali-arus benda nak kena fikir. Hal kerja. Hal rumahtangga.
Maafkan abah anak-anak.
Maafkan kekurangan.
Maafkan kekasaran.
Maafkan kegagalan.
Maafkan segalanya.
Kadang, lisan kami mengeluarkan kata-kata kesat. Wallahi, ia tanpa niat. Ia cuma mewakili raga kami yang penat.
Kadang, ego kami tercalar bila isteri berleter. Bukan menidakkan apa yang betul, cuma sesekali kami tidak mahu terlalu dikontrol. Nasihatilah kami dengan lemah dan lembut. Penuh belas bila menegur.
Kadang muka kami masam. Kami pilih untuk diam. Kerana dada kami sarat emosi. Akal kami kuat merancang macam-macam. Tetapi malang, isteri dan anak-anak juga tidak faham makna kami mendiam.
Kami tidak minta dibelai dimanja bagai raja. Kami cuma perlukan ruang dan masa sekali-sekala. Kami bapa. Seteruk apa, seburuk mana … namun di lubuk hati paling dalam kami tetap impi bahagia. Bahagia kerana berjaya membahagiakan keluarga.
Selamat hari bapa buat semua yang bergelar bapa. Aku tahu di sebalik senyum dan tawa kita, tersirat seribu satu rasa. Aku tahu semua ini tidak mudah. Berkuatlah! Kerana kita bapa! Selamanya HERO mereka!
Sumber/Foto : Muhd Nur Syafiq
Mingguan Wanita : Walaupun masalah makanan boleh jadi utama, namun setiap anak-anak itu ada rezekinya.
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW