Semakin mencabar nampaknya tugas seorang guru. Bukan saja mengajar dalam kelas, malah perlu rakam gambar anak-anak murid pula bila ada aktiviti. Sebabnya nak kongsikan dengan mak ayah dalam grup whatsapp.
Ramai sebenarnya guru-guru yang ikhlas dan berkongsi, malah ramai juga mak ayah yang lihat perkongsian cikgu dengan lapang dada. Cuma bila mana ada segelintir mak ayah yang tak faham, dan mengharapkan lebih daripada apa yang cikgu ‘hidang’kan.. itu yang menjadi masalah ‘negara’.
Melihat kepada senario yang berlaku, guru ini, Khairul Kamilin terpanggil berkongsi pandangan, tentang hakikat keutamaan tugas seorang guru sekolah, yang kadangkala ‘gambar anak cikgu sendiri’ beraktiviti pun tak sempat dirakam.
.
Semata Sebab Sekeping Gambar, Hingar Group WhatsApp
Ini satu lagi masalah ibu bapa generasi baru ni. Nak cakap lebih-lebih pun, generasi ibu bapa zaman aku lah juga ni.
Geram je rasa. Korang ni dah kenapa?
Sejak ada media sosial instagram dan facebook ni, perangai masing-masing jadi pelik-pelik.
Disebabkan nak rakam ‘momento’ atau sekeping gambar yang berharga kononnya, kita rendahkan dan perlekehkan guru yang hari-hari jaga anak kita.Semata-mata sebab SEKEPING GAMBAR.
Boleh jadi haru biru. Boleh jadi hingar bingar dalam group whatsapp.
“Cikgu, tak ada pun gambar Aqil dalam ni. Dia pergi mana?”
“Cikgi, kenapa tak tunggu Adam dulu sebelum bergambar. Dia tengah main tadi. Kesian dia“.
“Cikgu, nanti Iman nak lari, ambil sekeping gambar, waktu tengah lari, sekeping, dan kat garisan penamat sekeping ya. Ha, pastu share kat wasap saya. Tq”
Inilah dialog yang BIASA cikgu kena hadap.
Aduhai, kau orang ni dah kenapa? Order gambar macam order roti canai. Pentingkan gambar sampai hilang akal.
Gambar-gambar dan moment penting kau tu nak bawa ke mana? Nak letak atas neraca amalan depan Allah esok lusa ke?
Ads
Fahamkanlah priority.
Jika ada, jika berkesempatan. Ambillah gambar. 100 gambar pun tak apa.
Jika tak ada, maka tak ada lah.
Dan ini penting,
Kalau boleh janganlah minta tolong cikgu ambilkan gambar. Cikgu nak jaga ramai anak orang. Anak semua orang. Bukan anak kita seorang. Jadi kalau cikgu kata tak dapat buat, jangan melantun pula.
Fahamilah Keutamaan Kerja Cikgu
Berbalik kepada isu dalam tangkap layar ini.
Fahamilah keutamaan kerja cikgu. Bukan sebab cikgu nak bersejuk tak boleh tahan panas.
Gred gaji kami yang 52 pun ada yang bilik tak ada aircond. Tak seperti penjawat awam lain yang gred 17 pun duduk dalam pejabat aircond. Tetapi bukan itu yang nak di highlight.
Kami tak kisah pun. Kami redha sebab sudah memang ini kerja kami.
Berbulan-bulan cikgu latih murid dalam terik panas. Itu biasa. Biasa sangat.
Ads
Tetapi bila event macam sukan ni, kena faham ia melibatkan terlalu ramai murid. Kau kena kejar masa.
Kalau temasya habis lambat pun, bukan ke ibu bapa yang akan komplen?
Kalau anak terbiar terik panas, ada yang pengsan, kena strok haba, bukan ke ibu bapa juga yang akan bising?
Anak kau dah dapat hadiah, sebelum balik, selfie lah sampai panas dan pecah fon pun kalau nak sangat.
Kadangkala dalam kalangan kita ada yang hipokrit juga. Anak-anak kecil, sibuk kita nak bergambar nak tunjuk betapa comelnya.
Gambar Yang Selalu Cikgu Tak Sempat Rakam.. Gambar Anak Sendiri
Bila anak dah remaja, bersukan sampai legam, sekeping gambar pun tak ada.
Lagi satu, korang tahu tak, gambar yang paling selalu tak sempat dirakam ialah gambar anak cikgu?
Ads
Cikgu sibuk uruskan anak orang, gambar anak sendiri pun tak ada. Duk berharap je kalau-kalau ada gambar terselit di fon orang lain.
So, tolonglah. Come on parent.
Banyak moment kita sekolah dulu pun kita tak dapat rakam. Tak ada fon canggih macam sekarang.
Tapi ia tak sikit pun jejaskan kehidupan kita sekarang kan?
Sibuk sangat dengan gambar sampai abaikan perkara lain yang lebih utama.
Akhirnya gambar kita tu, akan hancur juga dengan hancurnya dunia.
Jangan risaulah. Tuhan dah rakam video kita dari hari pertama. Esok kat sana, kita tontonlah bersama-sama. Bimbang-bimbang kita pula yang tak sanggup nak melihatnya.
Hmm.
MW : Banyak benarnya teguran guru ini, jika ibu bapa boleh berlapang dada dengan guru yang mengajar anak-anak kita, tentulah keberkatan sepanjang alam persekolahan itu juga dapat anak-anak rasai. Doakanlah agar guru-guru yang mengajar anak-anak kita tu sentiasa dipermudahkan urusan olehNya.
Pasangan Sehidup Semati, Isteri Meninggal Hanya 34 Minit Selepas Suami Dijemput Ilahi. Sungguh ajal maut dan jodoh itu ketentuanNya. Menjadi impian bagi setiap suami isteri untuk hidup bersama hingga hari tua, jodoh hingga ke akhir hayat dan dipertemukan di syurga kelak.
Siapa sangka berkongsi suka duka dalam melayari bahtera perkahwinan selama 56 tahun dan mahu bersama hingga ke ‘negeri abadi’, menjadi impian wanita ini. Malah direzekikan pasangan ini meninggal hampir serentak, pada hari Jumaat yang mulia.
Meninggal Selepas 34 Minit Suami Dijemput Ilahi
Hasrat terakhir seorang wanita warga emas ini menjadi kenyataan apabila dia turut dijemput Ilahi selepas 34 minit suaminya menghembuskan nafas terakhir akibat kanser tekak.
Norhani Sice, 71, meninggal dunia pada jam 10.54 pagi manakala suaminya, Zahari Mat Tahir, 77, pergi menghadap Ilahi pada jam 10.20 pagi, 12 Mei lalu.
Lebih memilukan arwah Norhani rebah di riba Zahari sejurus suaminya itu menghembuskan nafas terakhir di rumah mereka di Kampung Tualang Sekah di sini, dengan disaksikan anak bongsu mereka, Ellyawati, 41.
Ellyawati turut berkongsi kisah itu di TikTok, baru-baru ini dan mendapat perhatian warganet yang turut bersimpati dengannya susulan kehilangan dua insan tersayang.
Mak Ayah Meninggal Hampir Serentak
Ketika dihubungi, Ellyawati berkata, kehilangan dua ‘syurga’ dalam masa tempoh selang 34 minit nyata menyentap hatinya dan empat beradik lain berikutan ibu bapa mereka meninggal dunia secara hampir serentak.
Menurutnya, bapanya yang juga pesara tentera menderita kanser tekak tahap empat sejak Oktober tahun lalu dan kerap sesak nafas kebelakangan ini kerana saluran pernafasannya semakin sempit manakala ibunya menghidap penyakit darah tinggi.
“Pada pagi hari kejadian, abah sesak nafas dan saya yang tinggal di hadapan rumahnya membantu menggosokkan dada abah. Sejak sakit, abah memang kerap meludah dengan air ludahnya turut berdarah.
“Tetapi pada hari kejadian, dia meludah banyak penuh dua mangkuk. Abah kemudian dilihat semakin baik dan pergi membasuh mukanya sebelum duduk di sofa di ruang tamu.
“Mak pula ketika itu seperti biasa sahaja, malah sempat menyapu halaman sambil sekejap-sekejap masuk ke rumah melihat abah sebelum mak panggil saya untuk tengok abah sementara dia ke tandas,” katanya dalam nada sebak.
Mak Jatuh Di Riba Abah
Menurutnya, sebaik dia sampai di rumah ibu bapanya, dia melihat bapa kembali sesak nafas dan dadanya juga dilihat berombak selain warga emas itu turut meminta membawanya ke hospital.
“Mak duduk di sebelah abah pada ketika itu dan tidak lama kemudian, abah menghembuskan nafas terakhirnya di sisi kami dan tiba-tiba mak jatuh di riba abah serta tidak sedarkan diri.
“Ketika itu saya memang tidak keruan, tetapi saya sempat hubungi keluarga di kumpulan WhatsApp kami dan meminta bantuan. Ketika dalam perjalanan ke hospital dengan ambulans, mak pula dijemput Ilahi,” katanya.
Pasangan sehidup semati itu kemudian dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang Sekah di sini.
Hubungan Erat Mak Abah
Ellyawati berkata, ibu bapanya mempunyai hubungan erat dan selalu menghabiskan masa bersama terutama ketika usia tua mereka, malah mengakui ibunya yang sebelum ini kurang sihat menjadi kuat demi memberi semangat kepada bapa yang disahkan menghidap kanser tekak.
“Arwah mak dan abah selalu bersama, ke mana sahaja mereka selalu pergi berdua. Kalau pergi berjalan dengan anak, mereka tidak mahu berpisah kereta dan mahu naik kereta yang sama.
“Sepanjang abah diuji dengan kanser, mak sentiasa bersama abah. Dia menguatkan dirinya untuk beri semangat kepada abah,” katanya yang memberitahu ibu bapanya mempunyai lima anak berusia 41 hingga 52 tahun, 15 cucu dan seorang cicit.
Menurutnya, ibunya pernah memberitahu sepupunya yang dia mahu meninggal dunia bersama bapa pada Aidilfitri lalu dan mengakui dua insan tersayang itu juga ada memberi tanda sehari sebelum kejadian namun ia hanya disedari mereka selepas itu.
“Anak saya memang rapat dengan abah dan setiap hari akan pergi ke kedai bersama. Sehari sebelum kejadian, abah minta anak peluknya dan cakap selepas ini atuk sudah tak bawa ke kedai.
“Mak pula cakap dia mahu kemas rumah sebab esok ramai orang nak datang. Saya ingatkan itu biasa sahaja kalau ada tetamu atau orang kampung yang datang, namun saya dan empat beradik lain reda.
“Mak dan abah pergi pada penghulu hari, Jumaat dan abah sudah tidak menanggung sakit lagi.
“Mungkin kalau mak ada, dia akan menanggung rindu pada abah, tetapi sudah takdir mereka pergi bersama,” katanya.
Mingguan Wanita: 56 tahun hidup bersama, sehidup dan semati pasangan suami isteri ini hingga ke akhir hayat. Semoga pasangan ini ditempatkan di syurga dikalangan orang-orang yang beriman. Alfatihah
Bukan senang jadi Mak-mak ni, kadang boleh pening kepala memikirkan menu sarapan untuk suami dan anak-anak tersayang. Tambah pula kalau anda jenis ibu yang bekerja, confirm fokus nak cepat tetapi sedap! Ok, jangan risau, apa kata kali ini anda cuba sediakan aneka sandwich. Selain boleh dijadikan sarapan, menu ini juga sesuai untuk sajian petang…
1. Sandwic Hawaian Chicken
Bahan-bahan: bahan inti
400 gram ayam – di cincang halus
2 biji bawang besar – dipotong dadu
5 biji cendawan – dihiris nipis
2 potong nenas – dipotong dadu
800 gm sos bolognese
1 sudu kecil serbuk herba Itali
Bahan sandwic:
Roti
Kepingan keju
Mayones
Daun salad
Timun jepun – dipotong bulat
Tomato – dipotong bulat
Cara Membuat:
1. Goreng ayam dalam kuali, tambahkan sedikit air jika ayam melekat.
2. Masukkan bahan lain seperti bawang, cendawan dan nenas, masak seketika.
3. Kemudian, masukkan sos bolognese dan gaul sebati. Masukkan serbuk perasa dengan garam dan serbuk herba Itali secukupnya.
4. Hias roti sandwic dengan kepingan keju, mayones, daun salad, timun jepun, inti ayam, dan tomato. Kepitkan dengan roti dan sedia dimakan.
2. Tuna Mayo
Bahan-bahan: Inti
1 tin tuna dalam tin – ditapis minyak
200 gram mayones
100 gram sengkuang cina – dipotong dadu
1 biji bawang besar – dipotong halus
Sedikit perahan lemon
Bahan sandwic:
Roti
Kepingan keju
mayones
Daun salad
Timun Jepun – dipotong bulat
Tomato – dipotong bulat
Cara Membuat:
1. Masukkan kesemua bahan seperti tuna dalam tin, mayones, sengkuang cina, bawang besar dan perahan lemon. Gaul sebati.
2. Ambil roti sandwic dan letakkan kepingan keju mayones, daun salad, tuna, timun dan tomato. Sedia dinikmati.
3. Sandwic Sardin Old Style
Bahan-bahan: Inti
1 tin kecil atau 100 gram sardin – hancurkan
1 biji bawang besar – dihiris nipis
4 biji cili padi – dipotong halus
Sedikit perahan lemon
Secubit garam
Bahan Sandwic:
Roti
Kepingan keju
mayones
Daun salad
Timun Jepun – dipotong bulat
Tomato – dipotong bulat
Cara Membuat:
1. Panaskan kuali dengan sedikit minyak masak, masukkan sardin yang telah dihancurkan sedikit. Kacau sebati.
2. Kemudian, masukkan semua bahan seperti bawang, cili padi, garam secukup rasa. Angkat dan perahkan dengan sedikit lemon ke dalamnya. Gaul rata.
3. Ambil roti sandwic, letak kepingan keju, mayones, salad dan inti sardin, timun dan tomato. Sedia dimakan.
4. Sandwic Tuna Hot Cili
Bahan-bahan: Inti
1 tin tuna cili
2 batang daun sup/ketumbar – dihiris kecil
5 biji cili padi – dipotong halus
100 gram mayones
Bahan Sandwic
Roti
Kepingan keju
Mayones
Sos Thousand Island
Daun salad
Timun Jepun – dipotong bulat
Tomato – dipotong bulat
Cara Membuat:
1. Masukkan tuna cili, daun sup, cili padi, dan mayones ke dalam satu mangkuk. Gaul rata.
2. Kemudian, ambil roti sandwic dan letakkan kepingan keju, mayones, sos thousand island, salad dan inti tuna, timun dan tomato. Sedia dihidangkan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bagi penumpang berketinggian normal, menaiki kapal terbang mungkin pengalaman yang selalu dilalui. Namun bagi wanita paling tinggi di dunia, Rumeysa Gelgi akhirnya merasai berada di dalam pesawat komersial buat kali pertama dalam hidupnya baru-baru ini. Bagaimanapun, dia yang setinggi 215.16 sentimeter (cm) terpaksa berbaring di dalam pesawat itu.
6 Tempat Duduk
Syarikat penerbangan Turkish Airlines mengeluarkan enam tempat duduk untuk memberi ruang kepadanya dan digantikan dengan tempat yang membolehkannya untuk baring.
Menurut catatan Instagramnya, dia mengharungi penerbangan selama 13 jam dari Istanbul di Turkiye ke San Francisco, Amerika Syarikat (AS).
Menurut Guinness World Records, dia berdiri pada ketinggian 215.16 cm dan dinamakan sebagai wanita paling tinggi di dunia awal tahun ini.Dia juga mempunyai jari terpanjang dan tangan terpanjang.
Pada kebiasaannya, Gelgi bersiar-siar di atas kerusi roda atau dengan menggunakan alat bantuan pejalan kaki.Badannya yang besar itu disebabkan oleh sindrom Weaver.
Tak Pernah Menaiki Kapal Terbang
Gelgi, 24, tidak pernah menaiki kapal terbang sebelum ini kerana dia terlalu tinggi untuk duduk di dalam syarikat penerbangan biasa.
Bagaimanapun, dia kini boleh melancong ke luar negara dan terbang ke San Francisco berkat kesediaan syarikat penerbangan Turkish mengubah suai tempat duduk bagi membolehkan Gelgi terbang dengan selesa.
Ketika memuatkan kandungan di Instagram, setelah mendarat di California, Gelgi menyatakan bahawa ia merupakan penerbangan yang sempurna.
Penerbangan itu juga adalah yang pertama dengan pesawat tetapi pastinya ia bukan yang terakhir, katanya. Dia mengucapkan terima kasih kepada setiap orang yang telah menjadi sebahagian daripada penerbangannya itu.
Mingguan Wanita: Sukar juga jadi orang tinggi. Naik kapal terbang pun susah, sehingga terpaksa berbaring guna enam tempat duduk.Apa pun tahniah buat wanita ini, akhirnya berjaya juga menaiki pesawat buat pertama kalinya dalam hidup.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...