Selisih Faham Ipar Duai Dan Biras, Makan Hati Bertahun-tahun Sebab Nak Jaga Hati

Share

Dah banyak cerita pasal makan hati bila sudah berumah tangga, bukan hanya kes ipar duai tetapi tak sebulu dengan mentua pun satu kes.

Puncanya kenapa?

Boleh jadi banyak sudut, dan antaranya seperti yang dikupas oleh Puan Farizal Radzali 

Masalah Ipar Duai Dan Biras

Kisah ipar duai dan biras adalah lebih banyak dan complicated berbanding kisah menantu dengan mertua. Banyak perselisihan faham hingga bergaduh antara ipar duai yang akhirnya membawa kepada perceraian. Tu belum kira yang makan hati bertahun-tahun disimpan demi nak menjaga hati keluarga pasangan.

Bila suami isteri masing-masing mempunyai adik beradik yang ramai, maka banyak pulak la ragamnya. Kadang tu yang buat ragam bukan yang muda-muda, tapi yang dah berumur. Nak pulak ada yang jenis cemburu, kaki menyucuk kat blakang, yang tak boleh tengok orang lain senang.

Padahal yang dicemburui tu bukan orang lain, isteri kepada adik lelaki kita sendiri. Suami kepada kakak kita. Nak pulak dapat mertua yang pilih kasih, kalau cerita buruk pasal menantu yang dia tak suka, cepat je dia percaya dan melenting. Tapi kalau dapat cerita buruk pasal menantu yang dia suka, cerita betul terjadi depan mata pun dia buat-buat tak perasan.

Giliran Jaga Mak

Salah satu kisah yang saya ingat lagi, pasal giliran menjaga mak. Sebenarnya mak tu sihat lagi, kuat kudrat lagi. Tapi ayah dah tak ada, jadi demi nak menjadi anak yang baik, anak-anak seramai 7 orang ni buat pakatan. Seorang kena jaga mak selama sebulan. Tak kiralah sama ada anak-anak ni pergi duduk kat rumah mak atau bawa mak balik rumah mereka. Maka yang mana tinggal berhampiran akan duduk di rumah mak tapi yang tinggal berjauhan akan bawa mak duduk dengan mereka selama sebulan. Bergilir-gilir sejak ayah meninggal dunia 5 tahun yang lepas.

Peraturan ini baik sebenarnya, untuk memastikan mak mendapat kasih sayang kesemua anak-anaknya. Dan mendidik anak-anak bersikap bertanggungjawab terhadap ibu bapa yang telah tua.

Namun demikian, peraturan begini perlu perbincangan dengan pasangan masing-masing, tak boleh main redah je. Kena ingat setelah berkahwin, kita sedang membawa seorang insan lain yang cara kehidupannya tak sama dengan cara kita. Betul, pasangan kita kena terima diri kita dan seluruh keluarga kita. Tapi jika nak orang lain menerima kita, kita juga perlu menerima orang lain. Jangan melihat hanya sebelah pihak saja.

Bila Dah Ramai-ramai

Anak 7 orang, 4 lelaki 3 perempuan, semua dah kahwin dan punyai anak-anak. Ada yang berada dalam kelompok hidup senang, ada juga yang hidup susah. Yang hidup susah ni la pulak anak paling ramai. Selalu macam tu kan?

Masalah bermula bila ada antara biras yang tak berpuas hati bila mak ni suka membezakan antara menantu dan cucu. Mana taknya, pergi ke rumah sana, puji menantu sini, pergi rumah sini, mengata menantu sana. Mungkin dia lupa bahawa akan ada satu ketika, para anak dan menantu ni akan duduk bersembang tentang hal ini.

Dan mertua sama sekali sepatutnya tak boleh samakan menantu-menantunya dengan anaknya. Sebab mereka membesar dari keluarga yang berlainan. Segalanya tak sama. Nak pulak mak tu siap membandingkan anak sendiri dengan menantu. Menantu tu pulak lebih bagus dari anak sendiri. Tak sedih ke si anak? Tak ke nanti timbul rasa cemburu si anak kepada ipar sendiri?

Anak sulung ialah anak lelaki, hidup agak mewah dengan 2 orang anak. Menantu pun berkerjaya. Jadi, untuk menjaga mak seorang selama sebulan memang tak ada masalah. Tapi anak kelima adalah anak perempuan yang hidup agak susah dengan anak 5 orang. Maka setiap kali mak tinggal dengan anak kelima ni, anak sulung akan bagi duit lebih kepada adiknya itu. Ini yang menimbulkan perasaan tak puas hati kepada adik beradik yang lain. Kenapa adik yang itu perlu diberi duit belanja oleh abang sulung sedangkan sama-sama mengambil giliran menjaga mak?

Lagi Burukkan Keadaan Bila Ada ‘Jarum’

Bermulalah episod menikam dari belakang. Mengatakan begitu begini. Yang buruk saja tentang anak kelima dan pasangannya. Berpakat pulak tu dengan ipar duai biras yang lain untuk memburukkan orang tu. Nak pulak mak mengiyakan dan sering menyalahkan anak perempuannya kerana tidak pandai dan tak kahwin dengan orang ada-ada.

Hmmm….. Sukar nak dijelaskan tentang hal ini. Pergolakan yang kita tak tahu dalam keluarga tersebut. Masing-masing mahu menegakkan pendapat masing-masing. Semua tak nak kalah.

Dan dipengakhirannya, anak sulung menceraikan isterinya kerana si isteri menghina adik perempuannya dan menghina keluarganya bila mengatakan bahawa adik iparnya itu hanya mengambil kesempatan atas alasan menjaga mak.

Sebenarnya isteri kepada anak sulung tu tak banyak hal. Dia sendiri mempunyai kerjaya dan kewangan yang baik. Tak ada apa yg nak dicemburukan. Tapi hasil hasutan adik-adik ipar, biras lain malah adik beradik dia sendiri, yang membuatkan dia bertekad meminta suaminya memilih antara dirinya atau keluarganya. Hanya dgn hasutan dari hasad dengki, sebuah perkahwinan runtuh. Sedih melihat keadaan ini, perpisahan yang akan menggugat generasi akan datang, anak-anak semestinya akan ada prasangka yang tidak baik pada nenek, mak sedara dan pak sedara.

Tak Payahlah Berdengki Sangat

Kepada setiap pasangan, tolonglah jangan ada hasad dengki sesama adik beradik pasangan kita mahupun pasangan kepada adik beradik kita. Masing-masing ada bahagian masing-masing. Janganlah kerana mulut kita, rumah tangga orang lain berpecah belah. Tiada siapa yang menang atau kalah, ini cuma kehidupan yang sementara. Berbuat baiklah semampu yang boleh. Tutuplah keburukan orang lain seperti mana Tuhan menutup keburukan kita.

Yang penting…. BINCANG dgn pasangan kita, bukan dgn adik beradik, ipar duai mahupun biras. Pasangan kita yang akan menanggung buruk baik dalam keluarga kita, bukan orang lain.

Wallahua’lam.

Published by
Nadia