Selesaikan Masalah, Jangan Lari!

 

 

Hidup memang tidak sunyi dengan dugaan, masalah tidak pernah gagal bertandang dalam hidup kita. Selagi bernyawa, Allah sentiasa menguji kita sama ada ujian itu besar atau kecil. Sebenarnya ramai yang membawa diri ketika berdepan dengan masalah. Mereka menyendiri, tidak mahu berada dekat dengan keluarga mahupun teman.

 

Bagi saya cara ini berisiko tinggi. Jangan ‘melarikan’ diri ketika dilanda masalah. Hadapi masalah atau ujian dengan sokongan moral keluarga atau teman baik. Jangan menyendiri kerana kita akan berasa lebih stres dan sunyi.

Ketika ini, kita menjadi sangat emosional. Bahaya kerana tiada orang yang dapat menegur dan memberi semangat pada kita. Kita mungkin boleh bertindak melulu kerana tenggelam dengan masalah dan dibelenggu perasaan sedih serta kecewa.

 

Jangan Malu

 

Justeru, mulai hari ini janganlah membawa diri. Selesaikan masalah, jangan malu dan ego untuk meminta bantuan daripada orang sekeliling. Kita tidak akan nampak lemah hanya kerana meminta bantuan. Orang lain juga berbuat demikian, mana boleh hidup sendiri dalam dunia ini. Kita saling membantu dan memerlukan.

 

Jangan menidakkan peranan keluarga, busuk-busuk pun mereka tetap darah daging kita. Mereka yang akan membantu kita di kala susah dan mendoakan kita bahagia. Luahkan masalah yang dihadapi dan fikir cara terbaik menyelesaikannya. Tapi jangan hanya fikir ye, buat tindakan!

 

Analisis masalah yang dihadapi, senaraikan beberapa pilihan yang ada. Pilih pilihan yang terbaik. Kita mesti bertanggung jawab dengan keputusan yang dibuat. Bersabarlah berdepan dengan ujian.

 

Rawat hati dan emosi dengan mendekatkan diri kepada Allah. Mengadulah kepada Yang Maha Esa. Lakukan aktiviti yang membuatkan kita gembira misalnya hobi berkebun. Sekurang-kurangnya aktiviti riadah ini meredakan stres.

 

Jangan Hidup Dengan Kisah Silam

 

Move on! Jangan hidup dengan kisam silam. Perkara lepas jangan dikenang-kenang lagi, jadikan pengajaran. Hiduplah pada masa kini dan jangan lupa merancang masa hadapan.

Kita juga boleh merawat minda yang serabut dengan membaca buku-buku motivasi. Bukan tubuh sahaja perlukan makanan tapi minda juga perlu diberi ‘makan’ dengan ilmu yang memacu kita menjadi insan lebih baik. Insya-Allah.

Jangan jadi insan penakut yang sentiasa melarikan diri daripada masalah. Jadilah insan yang berani berdepan dengan apa juga dugaan. Semakin kita berani dan bersabar, semakin kental jiwa kita. Jangan biarkan masalah menjadi kudis dalam hidup kita.

Orang yang berjaya mengatasi dugaan dalam hidupnya menjadi insan lebih baik. Masalah ini mengajar kita erti sabar, usaha dan tawakal. Usaha sepenuh hati dan tawakal kepada Allah. Mohon doa yang baik-baik, insya-Allah kita akan redha dan Allah lorongkan ke jalan terbaik.

Semoga kita sentiasa diberkati Allah dan tidak tergolong dalam golongan yang hanyut dengan perasaan negatif.

Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang Semua.