Selera terhadap masakan tradisi memang takkan padam. Masakan Melayu misalnya, memang mempunyai tarikan tersendiri. Tidak kira sama ada lauk pauk atau pun kuih muihnya.
Hujung minggu ni, apa kata hidangkan dua hidangan enak ini untuk keluarga iaitu Masam Lemak Telur Itik Dengan Delimbing Buluh dan Gulai Ketam Dengan Nanas. Memang sangat sedap, membangkitkan nostalgia masakan mak-mak di kampung.
Ini Resipi Selera Tradisi Ini
TELUR ITIK DENGAN BELIMBING BULUH MASAK LEMAK
Bahan-bahan:
5 biji telur
1 batang serai
1 helai daun kunyit | Hiris
10 biji belimbing buluh
Sedikit santan pekat
Sedikit santan cair
Sedikit garam
Bahan B (kisar):
4 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
3 biji cili padi kampung
1 biji cili merah
CARA MEMASAK:
- Kisar bahan B dengan santan cair. Masakkan bahan kisar dengan serai sehingga mendidih menggunakan api yang kecil.
- Apabila mendidih, pecahkan telur dalam mangkuk dan masukkan ke dalam kuah tadi secara perlahan-lahan. Jarakkan antara satu sama lain. Boleh dimasukkan sedikit cuka supaya telur tidak pecah.
- Masak sambil dikacau perlahan sehingga telur mengeras. Tuang santan pekat, masukkan belimbing buluh, daun kunyit dan garam secukupnya. Terus kacau supaya pati santan tak pecah minyak.
- Bila mendidih, bolehlah ditutup api supaya belimbing masih rangup.
Nota: Jangan masak telur terlalu lama kerana ia akan menjadi keras. Boleh juga dimasakkan telur di dalam bekas lain sebelum dimasukkan ke dalam kuah terutama jika telur kelihatan belum masak.
Cuba pula resipi selera tradisi ini…
GULAI KETAM BERSAMA NANAS
Bahan-bahan:
4-5 ekor ketam
½ biji nanas
1 paket kecil rempah kari ikan
1-2 sudu teh jintan manis | tumbuk halus
½ inci halia
4 biji bawang merah (2 ulas untuk menumis, 2 ulas masukkan dalam rempah)
2 ulas bawang putih
Sedikit daun kari jika suka
Santan secukupnya
Sedikit air panas
Sedikit air
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit minyak untuk menumis
CARA MEMASAK:
- Masukkan satu paket rempah dalam bekas, tambah sedikit air panas untuk jadikan pes.
- Masukkan sedikit halia yang dipotong nipis dan memanjang, 2 ulas bawang merah dan jintan manis yang ditumbuk dalam pes tadi.
- Sediakan bahan-bahan untuk menumis (bawang merah, bawang putih, dan halia yang di hiris nipis dan halus) serta daun kari.
- Panaskan minyak, tumis bahan tumisan hingga berbau harum, masukkan pes rempah tadi. Tambahlan sedikit air.
- Masak rempah sehingga naik minyak, kemudian masukkan ketam yang telah dipotong dua dan sudah dibersihkan.
- Kacau sebentar, kemudian masukkan santan. Jika pekat, tambah sedikit air. Masak seketika.
- Kemudian masukkan nanas yang dihiris nipis atau dihiris mengikut kesukaan anda.
- Akhir sekali masukkan garam dan gula secukup rasa. Biarkan mendidih seketika. Tutup api dan sedia dinikmati.
https://www.mingguanwanita.my/nuget-tempura-homemade-sedap-ya-amat/