Masih ingat lagi tak pada ‘kakak lori’ yang pernah viral tak lama dulu? Ketika itu, tiba-tiba saja dirinya dikenali ramai gara-gara aksinya memandu lori treler 40 tan dengan berbaju kurung. Rare tu beb!
Team Mingguan Wanita telah menemu ramah wanita aktif dan tabah ini untuk mengisi ruangan Kerjaya Luar Biasa Untuk edisi Khas. Aidilfitri nanti. Dalam temu ramah itu, sempat dia berkongsi satu lagi kisah menarik yang pernah dilalui oleh wanita bergelar ibu tunggal ini. Katanya, perkahwinan keduanya hanya bertahan selama tiga jam sahaja! Biar betul!
Pemilik nama asal Rokiah bt Salim, 52, atau mesra dengan panggilan Kak Ekka ini, cukup ‘open’ bila ditanya tentang ‘nikah tiga jam’nya itu. Jom ikuti pengakuannya.
Ads
Mungkin Satu-satunya Wanita Pernah Kahwin Tiga Jam
“Mungkin akak satu-satunya wanita di dunia ini yang pernah kahwin selama tiga jam sahaja. Agaknya boleh pecah rekod dunia kot. Bagi akak, tiada rahsia dalam hidup akak. Orang tanya, akak akan jawab. Tak ada apa nak diselindungkan. Perkahwinan pertama akak berakhir secara rasmi pada tahun 2009. Waktu itu hati akak dah ‘tak de’ buat insan bergelar lelaki. Namun, Allah jua yang menentukan segala-galanya.
“Akhir tahun 2012, akak berkenalan dengan seorang lelaki di Taman Negara Pulau Pinang, Ketika itu kami sama-sama hiking ke Keracut. Pintu hati akak yang sudah tertutup rapat buat insan bergelar lelaki akhirnya berjaya diketuk oleh seorang lelaki berketurunan Melayu yang sudah mendapat kerakyatan di UK. Malah keluarganya agak ternama di sana. Kalau di Malaysia, boleh dikatakan ala-ala datuk la…
” Kami bertunang pada bulan Mei 2013 dan bulan Jun kami berkahwin. Memandangkan dia agak kebaratan, akak awal-awal lagi sudah beri tunjuk ajar dan panduan serba sedikit tentang agama Islam. Antaranya soal talak. Akak sentiasa tegaskan padanya, soal talak tak boleh dibuat main.”
Ads
Alasan Bergurau
“Kami memilih Taman Negara Pulau Pinang sebagai lokasi perkahwinan dengan tema perkhemahan kerana akak sukakan aktiviti itu. Perkahwinan kami dijalankan secara tertutup dan dihadiri kira-kira 200 jemputan sahaja. Segala-galanya berjalan lancar. Namun ketika majlis keraian selepas sesi akad nikah, tiba-tiba saja dia melafazkan ‘ I Divorced You’ di depan akak dan semua orang terpinga-pinga. Bayangkan, tok kadi pun belum balik tapi akak dah kena cerai!
“Sukar nak gambarkan perasaan ketika itu dan bila diterangkan apa yang terjadi, bekas suami akak itu meminta maaf dan ingin kembali rujuk. Tapi bagi akak, tiada peluang kedua. Sorry, itu prinsip akak. Walau pun katanya, dia lafazkan sekadar ingin bergurau, tapi bagi akak, tiada peluang kedua lagi untuknya. Puas dipujuk oleh tok kadi dan yang lain, tapi akak tekad. Jauh di sudut hati, akak yakin pasti ada hikmahnya.
Ads
Happy Dengan Hidup Sekarang
“Bila dikenang kembali, akak rasakan itu adalah jawapan Allah untuk akak. Sebelum melangsungkan pernikahan, akak pergi menunaikan umrah dan berdoa di Jabal Rahmah, sekiranya itu jodoh terbaik untuk akak, permudahkan. Mungkin itulah yang terbaik untuk diri akak. Jadi, akak pasrah dan ‘move on’.
“Kalau ditanya, terus terang, kini hati akak memang tertutup rapat untuk mana-mana lelaki. Akak enjoy dengan ‘hidup akak sekarang, dengan kerja, dengan dua orang anak dan aktiviti-aktiviti lasak yang akak gemari,” akhirinya.
Ikuti kisah ‘kakak lori’ ini di dalam majalah Mingguan Wanita Edisi Khas Aidilfitri nanti. Macam-macam kisah menarik dikongsikannya yang pasti memberikan inspirasi buat ramai wanita di luar sana.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tidak dinafikan, kebiasaannya pengharapan kita pada manusia selalu buatkan kita kecewa, jadi letaklah harap pada Allah kerana dia sebaik-baik Pemberi.
Sebagai manusia biasa kita tak lari daripada mengharapkan balasan kasih sayang atau tanda penghargaan daripada pasangan kita. Kadang-kadang apabila kita terlalu berharap, kita akan merasa kecewa bila harapan kita hanya tinggal harapan.
Ikuti perkongsian Puan Nur Farhana Fizal dan fahami apa yang cuba disampaikan:
“Jangan takut untuk lebih dahulu memberi, dan menjadi yang lebih mencintai.”
Ada kawan minta saya huraikan sikit tagline motivasi diri saya ini.
Pertama dan selamanya, saya ajar diri, untuk selalu letakkan niat dalam hati, aku memberi dan mencintai ini, demi meraih cinta Allah. Bukan cinta suami atau isteri, bukan balasan daripada suami atau isteri. Jika kita dapat, itu bonus.
Pengharapan Pada Manusia Selalu Buat Kita Kecewa
Kita memberi dan mencintai pasangan tanpa syarat. Tanpa perlu ada walau sezarah, rasa ingin dibalas pemberian kita, walau dalam bentuk apa sekalipun. Sebab kita letak keyakinan dalam diri, yang akan balas itu Allah.
Namun, sebagai manusia biasa, ada hati ada perasaan, ada juga nafsu, maka akan hadir juga dalam pemikiran kita, dan pengharapan kita untuk mendapat kembali balasan daripada pasangan, hatta hanya kata-kata penghargaan.
Waktu ini, memujuk hati dan mendidik diri dengan istiqomah melakukan ‘positive self-talk’ sangat penting. Bercakap dengan diri kita bahawa, perbuatan memberi yang kita lakukan adalah untuk meraih cinta Allah juga membina kehidupan kita di syurga.
Beritahu juga pada diri, pengharapan kita pada manusia akan buat kita kecewa. Letaklah harap kita pada Allah, dengan Allah pasti akan beri yang sebaik-baiknya pada kita.
Bila kita tahu dan sedar, apa kita dapat daripada pasangan, adalah apa yang Allah beri, kita mudah berlapang dada.
Self-talk ini setiap hari. Kalau boleh prescribe self-talk ni macam makan ubat tu. Sehari, mesti bagi positif self-talk 4 kali, 5 kali pada diri kita. Supaya kita beri affirmation yang baik pada diri kita.
Cakap pada diri kita, “Akulah pemberi paling baik!” Setiap hari, tanpa jemu. Bukan untuk orang lain, tapi kita beri, untuk kebaikan diri kita semula.
InsyaAllah.
#senimenjadiisteri
MW: Cubalah menjadi isteri yang banyak memberi, insyallah dengan setiap pengorbanan dan keikhlasan yang mak-mak berikan akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.
Selepas suami meninggal, anak kecilnya langsung tak boleh berenggang dengannya. Tak boleh langsung hilang dari pandangan anak. Nanti anaknya akan menangis ketakutan. Awalnya, ibu ini sangka itu perasaan biasa yang anak lalui selepas kehilangan ayah tercinta.
Tapi anaknya mula menunjukkan 5 perubahan sikap ini. Setiap perubahan itu menunjukkan tanda-tanda ke arah ‘separation anxiety’ . Sudahnya ibu ini, Zureiny Zulkafly sukar untuk membuat rutin harian disebabkan anak yang tak boleh berenggang.
Perubahan Sikap Anak Dan Tanda ‘Separation Anxiety’
“Ibu”. Telinga saya menangkap laungan Aina. Nyaring dari dalam bilik tidur.
Berkerut juga dahi. Kuat sungguh jeritan Aina memanggil saya sedangkan rumah kami bukannya besar mana pun. Kalau dicari, dia akan bertemu saya di dapur.
Saya diam sahaja. Tidak menyahut walau sepatah. Anggapan saya, dia akan keluar bilik dan mencari saya yang sedang mencuci pinggan.
“Ibu!” Laungannya semakin kuat. Darah saya mula menyirap. Hati saya mula hendak marah. Saya basuh tangan dan bergegas ke bilik. Mulut saya mula membebel.
Tidak sampai 20 langkah, saya sudah tercegat di depan pintu bilik. Saya terkedu. Wajah Aina basah dengan air mata. Melihatkan keadaan si anak, hati saya luluh. Saya hampiri Aina dan memeluknya kemas.
“Kenapa ni dik?” tanya saya sambil mengelus rambutnya yang melekat di wajah yang basah.
“Adik nak ibu,” balas Aina dengan sisa esak yang terputus-putus. Dia merangkul saya seeratnya seakan tidak mahu melepaskan.
“Ibu ada. Ibu tak ke mana pun.” Saya mencium ubun-ubunnya dan memeluk Aina dengan lebih rapat. Saya mahu dia rasa nyaman dan selamat. Hati saya mula dipagut kesedihan yang teramat.
Itulah antara drama-drama Aina sepanjang tempoh dia menyesuaikan diri dengan hidup kami tanpa hubby. Kalau tidak silap, hampir 6 bulan juga saya bergelut dengan pergolakan emosi Aina.
Sejak itu, saya mula memahami tentang ‘separation anxiety’ ataupun perpisahan sementara. Saya sangkakan ia perkara biasa. Fikir saya, mungkin kerana dia terlampau rindukan ayahnya. Malah saya ingat anak saya akan pulih seiring peredaran masa.
Salah saya. Saya ambil mudah perkara ini. Ini kerana saya tiada masalah dengan anak sulung sewaktu dia sebaya Aina. Saya selalu sangka Aina mengada-ngada kerana perlukan perhatian.
‘Separation anxiety’ ini perkara normal sehinggalah anak-anak berusia 5 tahun. Mereka menjadi takut atau cemas berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaga yang rapat dengan mereka.
Cuma ia berbeza dengan keadaan Aina. Pada saya simptomnya seperti ‘separation anxiety’ tetapi ia semakin parah kerana Aina berdepan dengan kecelaruan perasaan selepas pemergian ayahnya.
SUKAR BERENGGANG
Aina semakin jelas sikapnya yang tidak mahu berenggang langsung dengan saya. Anak saya cepat panik bila sedar saya hilang dari pandangan. Seterusnya, dia akan cemas kalau saya tiada di sisinya. Si kecil saya ini takut saya hilang sepertimana ayahnya hilang.
Setiap kali tidur, dia akan berkepit dengan saya. Bila terjaga di tengah malam dan sedar dia jauh dari saya, Aina akan bangun dan kembali tidur di sisi saya. Aina juga tidak mudah melepaskan saya keluar tanpa membawanya bersama.
Pada awalnya saya menyangka ini perkara biasa tetapi bila berlebihan, ia menyulitkan pergerakan harian saya.
RASA TIDAK PERCAYA
Sikap tidak percayakan saya sangat mengganggu emosi sebenarnya. Saya pula yang jadi tertekan kerana Aina memang tidak percayakan saya. Pergerakan saya seperti diawasi. Tindak tanduk saya diperhati. Mujurnya, saya bekerja di rumah. Sepanjang masa saya bersama Aina dan dia akan pastikan saya sentiasa di matanya.
Dia sentiasa curiga dengan sikap saya. Pandangannya sentiasa mencari saya walaupun dia sedang bermain ketika itu. Dia sukar rehat waktu siang kerana bimbang saya akan tinggalkan dia.
TAKUT PADA ORANG LAIN
Saya akui, kedua-dua anak saya sukar untuk mesra dengan orang lain selain daripada saya, hubby dan ahli keluarga yang biasa dengan mereka. Namun, ketakutan Aina sangat ketara. Sukar untuk sesiapa mendekatinya.
Aina bersikap pemerhati. Dia tidak akan memulakan perbualan. Jauh sekali menegur orang di sekeliling. Walaupun Aina anak yang lincah dan aktif, dia akan menjadi diam tiba-tiba bila ada orang lain di sisinya.
KERAP MENJERIT
Aina seorang anak kecil yang manja dan dia rapat dengan arwah ayahnya. Sewaktu hubby pergi, Aina baru berusia 4 tahun. Dia sukar memahami apa yang terjadi. Aina mencium ayahnya sebelum dikafan, menanti dengan sabar ketika solat jenazah, mengiringi ayahnya ke kubur, melihat jasad ayahnya dikambus tanah, mendengar tazkirah malah Aina menyiram air di pusara ayahnya.
Dia melihat kesemua proses itu tetapi dia tidak mengerti. Aina menafsir si ayah tidur di kubur dan akan bangun pagi seperti biasa. Malah dia juga menganggap si ayah pergi kerja dan dia tetap menunggu ayahnya balik. Anak kecil saya ini pernah minta saya ‘bertukar’ tempat dengan hubby. Ini kerana, dia mahukan ayahnya kembali.
Apabila permintaan ini tidak dapat ditunaikan, Aina akan menjerit dan membentak. Apabila sedar penantiannya sia-sia, Aina jadi pemarah dan melawan saya. Allahu Akbar. Saya masih tidak boleh lupakan seksanya jiwa Aina ketika ini.
SUKA MENANGIS DAN MERAJUK
Saya pun sukar untuk menyesuaikan diri kerana apa yang saya buat jadi serba tak kena. Sudahnya Aina menangis dan merajuk hingga sukar dipujuk. Tidak tentu arah saya dibuatnya.
Perubahan sikap Aina memberi impak yang besar kepada emosi saya juga. Sudahlah ketika itu saya sibuk menyelesaikan urusan hubby. Saya pun masih di dalam ‘iddah dan berkabung. Saya sendiri sedang bergelut untuk menguatkan diri sendiri ketika itu. Bila dia merasakan saya tidak memberi tumpuan padanya, Aina akan tantrum tanpa sebab.
Saya mahu anak-anak saya hidup secara normal. Walaupun tanpa seorang ayah, saya mahu hidup mereka teratur dan bahagia. Saya cuba memahami emosi seorang anak remaja dan seorang anak kecil. Berat ujian saya tetapi inilah pengalaman. Inilah ilmu yang Allah buka untuk saya fahami.
Setiap ujian ada hikmah. Setiap yang payah ada yang mudah. Yang penting, tetapkan niat yang betul dan bersabarlah untuk melalui perjalanan hidup yang telah ditetapkan.
Dengan 5 Cara Ini Ibunya Atasi ‘Separation Anxiety’ Anak
‘Separation anxiety’ yang dialami oleh Aina sebenarnya normal. Setiap anak kecil akan merasa cemas atau takut jika dia terpaksa berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaganya. Cuma keadaan Aina agak keterlaluan sehingga dia seperti tidak mampu berdikari.
Aktiviti seharian saya agak kacau bilau kerana saya terpaksa memberi tumpuan padanya bila dia mencari saya. Kalau tidak, dia akan menjerit dan merajuk. Rajuk yang sukar dipujuk. Aina juga tidak dapat menikmati masa dia bermain kerana dia terlalu risau saya tinggalkan dia.
Jadi, saya luangkan masa membaca ilmu ‘parenting’ berkenaan isu ini. Banyak saya perolehi di blog dan artikel juga daripada pengalaman orang lain. Sedikit sebanyak membuatkan saya faham keadaan Aina.
VISUAL DIRI SEBAIK MUNGKIN
Anak kecil belajar daripada pemerhatian dan dia akan mengikut apa yang orang dewasa lakukan. Setiap perkara yang dilihat akan disimpan dalam memori. Jadi, saya visualkan diri saya sebaik mungkin. Bukan berlakon atau berpura-pura tetapi saya menjadi seorang ibu yang baik di matanya.
Setiap kali dia panggil, saya akan muncul di hadapannya. Saya ketawa dan mengacah Aina. Itulah yang membuatkan dia gembira. Saya tidak sekali-kali menyakat Aina dengan menyorok atau melarikan diri kerana sikap itu menakutkan Aina.
Sekiranya saya di dalam bilik air, saya akan mengetuk pintu dari dalam. Fahamlah Aina saya memang ada di sekitarnya. Visual-visual diri yang baik dan positif ini bertujuan mengembalikan keyakinan dan kepercayaan Aina terhadap saya.
TIDAK BERBOHONG
Saya tidak akan menyelinap untuk keluar rumah. Kalau mampu saya bawa, saya akan bawa sekali. Jika tidak, saya akan minta ibu atau adik perempuan saya menjaganya. Saya akan jelaskan tujuan saya keluar sama ada dia faham atau tidak.
Saya tidak berbohong tentang ayahnya. Dari awal memang saya memberitahu bahawa ayahnya telah tiada. Ayahnya tidak akan pulang ke rumah. Walaupun sedih melihat anak berduka dan memberontak tetapi itulah jalan terbaik. Kejujuran penting dalam membentuk peribadi anak yang positif.
Cara saya ini banyak membantu Aina memahami apa yang sedang dilalui kerana semua perkara adalah nyata. Dia harus belajar tentang reality kehidupan meskipun dia masih kecil.
Saya tidak menipu. Saya tidak berbohong. Lama-kelamaan Aina belajar bagaimana untuk mempercayai orang sekelilingnya. Lebih-lebih lagi mempercayai dirinya sendiri.
PENGGANTI YANG BAIK
Maksud pengganti ialah seseorang yang boleh mengambilalih sementara tugas saya untuk menjaga Aina sekiranya saya perlu keluar atas satu-satu urusan penting. ‘Yang baik’ bukan bermaksud sentiasa beralah dan mengikut kehendak Aina tetapi lebih kepada memahami situasi Aina .
Setakat ini, pengganti terbaik adalah ibu dan adik perempuan saya. Sikap mereka yang seakan-akan sikap saya membuatkan Aina rasa selamat dan dilindungi. Walaupun cemas juga sewaktu ditinggalkan tetapi Aina boleh sesuaikan diri.
TIDAK MEMAKSA
Untuk anak yang berhadapan dengan ‘separation anxiety’ ini selalunya sukar untuk menerima dan berinteraksi dengan orang lain. Kelihatan seperti pemalu atau takut-takut tetapi sebenarnya mereka tidak yakin dengan orang sekeliling.
Salah satu cara saya ialah tidak mendesak atau memaksa Aina untuk memulakan kontek dengan orang lain. Lebih-lebih lagi mereka yang asing baginya. Aina selalu anggap orang lain akan mengambilnya daripada saya. Itu sebab dia mengelak. Rasa tidak percaya itu yang membuatkan Aina menolak untuk dihampiri.
Pada awal-awal dulu, saya akan maklumkan juga situasi Aina agar tiada yang terasa hati dengan sikap Aina. Namun, seiring dengan masa, saya tetap mendidik Aina agar menghormati orang sekeliling terutamanya orang tua. Saya tidak mahu anak saya dianggap kurang adab kerana takut untuk bersalam.
KUKUHKAN HUBUNGAN
Antara semua usaha yang saya lakukan, inilah yang paling utama. Saya kukuhkan hubungan saya dengan Allah kerana hati anak tetap bukan milik saya. Hidayah milik Allah. Saya ikhtiar mengikut batas kemampuan dan ilmu yang saya ada.
Bersama Afrina dan Aina, saya kukuhkan lagi hubungan ibu-anak. Afrina yang sudah berusia 14 tahun saya jadikan sahabat baik saya. Dialah tempat saya bercerita pelbagai kisah. Saya ambil tahu minatnya dan berkongsi apa yang dia suka.
Saya manjakan Aina kerana dia masih kecil. Pelukan dan ciuman dari seorang ibu akan mengalirkan aura positif dan selamat dalam diri si anak. Kata-kata yang baik dan gurau senda sentiasa melingkari hidup kami.
Setiap perkara yang sukar selalunya ada hikmah di sebaliknya. Saya pun banyak belajar daripada perubahan emosi dan sikap anak-anak selepas pemergian hubby. Dalam usaha saya memberi kehidupan yang baik buat mereka, Allah berikan saya kekuatan dan ketenangan untuk melalui takdir hidup saya.
Biasa kalau tengok suami buat kerja-kerja rumah, mulalah buat tafsiran, takut bini. Itulah yang selalu diperkatakan dan tak kurang juga jadi bahan usikan kawan-kawan, kononnya ‘beras kita beli’.
Bagi sesetengah pandangan lain pun, bila melihat suami membantu isteri membuat kerja rumah, ada yang merasa bangga dan beruntung. Bukan sebab takut bini tapi kerana ringan tulang membantu isteri membuat kerja-kerja rumah.
Buat suami, tak akan jatuh maruah atau orang akan gelar ‘takut bini’ kalau membantu membuat kerja-kerja rumah. Inilah yang dikatakan saling membantu dan berkongsi rasa tanggungjawab dalam kehidupan berumah tangga.
Tidaklah suami hanya harapkan isteri semata-mata dalam mebuat kerja rumah. Sedangkan isteri pun turut sama membantu suami dalam meringankan beban suami.
Inilah antara perkongsian daripada Firdaus Mokhtar tentang apa yang dilalui dan pengalaman melihat sendiri ayahnya membantu ibunya membuat kerja rumah. Pengajaran yang boleh diserapkan apabila sudah berkahwin. Berkongsi rasa dan tanggungjawab.
Dulu masa kecil, saya selalu tertanya-tanya kenapa abah selalu buat kerja rumah. Antara yang selalu abah buat ialah basuh kain. Dia akan basuh semua kain baju dan sidai siap.
Walau pun basuh guna mesin basuh, tapi mesin basuh yang semi auto tu. Bukan macam kita sekarang, automatik penuh. Masukkan baju, letak sabun, mulakan mesin tahu-tahu sudah sahaja nanti.
Mesin semi auto ni kena bilas kainnya. Dah siap basuh, keluarkan air basuhan, bilas satu satu baju yang dibasuh, masukkan ke bahagian spin untuk keringkan. Begitulah selalu saya tengok abah buat.
Ada juga banyak waktu lain, saya tengok abah vakum rumah. Daripada bilik tidur utama, membawa pula ke bilik anak-anak, ke bilik tetamu juga, sudahnya di ruang tamu yang besar.
Basuh pinggan dan kemas dapur juga selalu abah buat. Cuma masak sahaja tak selalu, mungkin tak mahir ke situ. Tapi kerja rumah lain, banyak kali saya tengok abah buat.
Dan setiap kali abah buat tu, bukannya waktu ummi bekerja. Waktu yang sama ummi ada di rumah. Tapi ummi pastinya sedang buat kerja lain lah.
Abah sedang basuh kain baju, ummi memasak. Abah asyik vakum rumah, ummi sedang kemaskan almari baju kami adik-beradik lelaki ni. Entah macam mana berteraburnya.
Oh ya, abah dulu ada buat kolam ikan depan rumah. Itu semacam satu terapi buat dia. Tenang mungkin bila dengar bunyi air kolam dengan puluhan ikan koi yang berenang-renang tu kan.
Jadi ada masa kena bersihkan kolam pula.
Kerja Rumah Bukan Hanya Tugas Isteri
Saya pelik dulu sebab selalu dengar tugas buat kerja rumah ini tugas mak mak. Bukan kerja ayah ayah. Kalau ayah buat kerja macam-macam ni, sebab mak garang. Tapi saya diamkan sahaja.
Bila dah besar ini baru lah saya faham. Iya, bila dah berumah tangga ni. Rupanya bukanlah isu geng ayah takut geng mak.
Ingat, perkahwinan ini kuncinya ialah berkongsi. Berkongsi hati dan segalanya. Bila kita dah jadi suami isteri, semua benda kita kena kongsi antara suami dan isteri.
Kongsi perasaan, rasa, harta, duit, anak dan macam macam lagi. Antara yang utama, kongsi masa yang kita ada.
Berkongsi Rasa & Masa
Kawan-kawan, kita masing-masing cuma ada 24 sehari. Tak ada yang lebih. Jadi rumah tangga kita juga sama, cuma ada 24 jam sahaja.
Jadi 24 jam ini lah yang kita kongsi. Dulu abah dan ummi sama-sama kerja. Abah kerja waktu tetap, ummi kerja kilang jadi ada shift kerja. Maka berdepan masa kerja dan waktu duduk rumah inilah mereka berbahagi tugas.
Kalau harapkan seorang sahaja buat kerja rumah, mesti tak terkejar. Bayangkan kalau isteri seorang buat kerja rumah semua, suami asyik keluar melepak jumpa kawan-kawan. Balik harap semua benda selesai, tak jadi juga.
Hidup suami isteri dah tak boleh ada sikap ‘masa aku, aku yang susun. Masa kau, kau buat sendiri’. Sebab 24 jam itulah yang kita kongsi sama-sama.
Waktu di tempat kerja tak apa lah kita nak letak masa kita sendiri, di rumah nanti kita kena letak masa itu kita dan pasangan kita yang punya. Tambahan pula masa dalam hari bekerja berapa jam sahaja kita ada di rumah dengan keluarga.
Tambah tolak waktu kerja dan tidur, mungkin tinggal 6-7 jam sahaja. Sedangkan tugasnya banyak. Nak kena masak, jaga anak, tengok anak belajar buat kerja sekolah, iron baju sekolah anak, waktu nak makan sama-sama, solat jemaah sama, tengok tv pula, anak kecil ajak main, baju nak kena basuh, mandi bersihkan diri, tidurkan anak-anak.
Banyak tak sebut lagi tu. Ini belum kita sebut kalau ada pasangan yang sedang demam. Sakit dan tak larat nak buat kerja.
Maka, berkongsilah masa yang ada. Kena ada timbang rasa dan tolak ansur. Kena susun mana keutamaan dalam masa-masa yang berbaki dalam sehari.
Kadang sebab tak dapat letak masa dengan betul, pasangan akan rasa kita tak ada dengan dia. Kita memang rasa ok sahaja, ada je dekat rumah. Tapi waktu waktu penting dan melelahkan dia tu, kita tak ada. Momen yang setengah jam itu dia akan rasakan semua kerja rumah dia buat.
Sebab apa? Kerana kita tak selalu ada untuk uruskan sedikit hal penting bersama dengan pasangan kita.
Begitulah.
Kongsi apa yang ada.
MW: Jadikan pengajaran agar dapat berkongsi rasa, masa dan tanggungjawab dengan pasangan kita. Moga bermanfaat.
Bangkit Wanita Mingguan Wanita Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...