Besar harapan mak ayah apabila anak-anak mampu memikul amanah dan tanggungjawab menjaga keluarga selepas berlakunya kematian.Lebih-lebih lagi buat anak lelaki, lebih besar peranannya.

Umurnya baharu 14 tahun, namun rasa tanggungjawabnya sebagai anak tunggal lelaki menjadikan Muhammad Amierul Adlie Basiran lebih matang dari usianya.Pesanan terakhir yang ditinggalkan oleh arwah bapanya (Basiran Ali) agar mengambil alih tugasnya menjaga keluarga dipegang erat oleh Amierul.

Pelajar Maktab Rendah Sains Mara Muar, Johor ini melakar sejarah tersendiri apabila berani memikul amanah dan tanggungjawab menikahkan dua orang kakak kesayangan dalam dua majlis berbeza bulan ini, sekaligus menjadi wali muda.

Rujuk Pejabat Agama Islam

Menurut sepupu yang rapat dengannya, Mohd Syukri Madnor, pertama kali dalam hidupnya melihat remaja berusia 14 tahun mengijab kabulkan dua lelaki yang kini sah menjadi abang iparnya.Meskipun menerima berita sedih atas pemergian bapa tersayang, perkahwinan perlu diteruskan dan keluarga itu merujuk dengan Pejabat Agama Islam di Melaka.

“Majlis pernikahan dua orang kakaknya telah dirancang sebelum bapa saudara saya (bapa Amierul) meninggal dunia pada 28 Ogos lalu akibat kanser.

“Perkahwinan diteruskan dan apabila kami rujuk dengan Pejabat Agama Islam di Melaka untuk calon menjadi wali, mereka ada tanya sama keluarga ini ada adik lelaki atau tidak.

“Kami beritahu ada, berusia 14 tahun. Apabila diberitahu dia sudah cukup syarat utama, jadi kami putuskan Amierul akan menjadi wali pernikahan kakak-kakaknya.

“Sebelum itu kami memang rancang untuk wakilkan kepada jurunikah, tetapi selepas berbincang dengan semua keluarga dan Amierul, akhirnya dia menjadi wali.

IKLAN

“Malah Amierul sendiri yakin memberitahu mahu menjalankan tanggungjawab sebagai anak lelaki dalam keluarga.

“Sebagai salah seorang keluarga rapatnya, saya amat berbangga dengan Amierul yang menunjukkan sifat matangnya itu,” jelas Syukri.

Selepas Sebulan Kematian Ayah, Remaja 14 Tahun ‘Berani’ Jadi Wali Nikahkan 2 Orang Kakak!

2 Kali Jadi Wali

Tambah Syukri, Amierul menjadi wali buat kali pertama untuk kakak ketiganya (Nur Aina Nabihah Basiran) pada 22 September lalu.

“Sehari sebelum majlis, dia telah berlatih bagi melancarkan majlis akad. Walaupun pada mulanya agak gugup, dia telah melakukannya dengan baik.

IKLAN

“Dan hari ini (29 September), Amierul sekali lagi menjadi wali untuk pernikahan kakak keduanya, Nur Amirah Basirandi di Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj, Bukit Beruang, Melaka.

“Perjalanan majlis bertambah baik. Dia semakin matang dan rata-rata tetamu yang hadir turut terpegun dengan sikap dewasanya itu,” katanya yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Selepas Sebulan Kematian Ayah, Remaja 14 Tahun ‘Berani’ Jadi Wali Nikahkan 2 Orang Kakak!

Turut Mandikan & Sembahyangkan Jenazah Bapa

Dalam pada itu, ibu Amierul, Rosiah Othman memberitahu dia melahirkan rasa syukur kerana kedua-dua majlis perkahwinan berjalan lancar.

IKLAN

“Saya berasa sebak, terharu, malah gembira kerana Amierul sedia memikul tanggungjawab sebagai anak lelaki tunggal dalam keluarga setelah pemergian bapanya.

“Sebelum ini juga, dia turut memandi dan sembahyangkan jenazah bapanya.

“Saya tanya juga kepada dia sama ada betul atau tidak dengan keputusan untuk mewalikan kakak-kakaknya itu, dan dia dengan yakin jawab ‘ya betul’.

“Sebagai ibu, walaupun usianya masih muda, saya amat bersyukur dengan jiwanya yang besar itu,” kata Rosiah.

Selepas Sebulan Kematian Ayah, Remaja 14 Tahun ‘Berani’ Jadi Wali Nikahkan 2 Orang Kakak!

Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat remaja ini atas keberanian dan sikap tanggungjawab yang dimilikinya selaku anak lelaki tunggal. Semoga menjadi contoh buat remaja yang lain.Sebagai mak ayah didiklah anak lelaki sebaiknya, tanamkan rasa tanggungjawab pada keluarga dalam diri mereka sejak dari kecil.Suatu hari nanti mereka akan menjadi ketua keluarga mereka pula.

Sumber: Sinar Harian & Mstar

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI