Selepas Koma Empat Hari, Ibu Ini Terharu Dialah Orang Pertama Yang Ayap Cari

Share

Menjadi tugas dan tanggungjawab seorang ibu menjaga anaknya daripada kecil hinggalah dewasa. Tidak pernah merasa terbeban biar pun sekelumit. Ibu sentiasa berada di sisi anakanda tercinta tidak kiralah di kala sihat atau sakit. Kadang kala hubungan antara ibu dan anak tidak mampu digambarkan dengan kata-kata dan hubungan ini juga tidak akan terputus sampai bila-bila.

Wanita ini, Hasanah Hassan, 50 tahun, merupakan salah seorang ibu yang diuji. Anakanda yang dilahirkan sihat dan membesar sempurna secara tiba-tiba hilang upaya sekelip mata.

Empat Hari Koma

Sebenarnya, tiada apa kekurangan kepada anak remajanya yang kini berusia 23 tahun. Anak ketiga daripada empat beradik ini, Muhamad Adli Asyraf, seorang yang aktif bersukan. Sering bermain futsal, bola serta sukan lasak lain. Sehinggalah suatu hari di tempat kerja, ketika dia sedang bersarapan, dia terasa pipinya kebas sebelum tumbang.

Kongsi Muhammad Adli Asyraf atau mesra dengan panggilan Ayap, dia hanya sedar seketika dan bertanya kawan sekerjanya apa yang berlaku sebelum ambulan tiba dan kembali tidak sedarkan diri selama empat hari.

Apa yang menyedihkan, kesan daripada rasa kebas itu, tempurung kepala sebelah kirinya dibelah kerana terdapat darah beku dan pasukan perubatan mengambil tindakan pantas untuk menyelamatkan nyawanya.

Mengimbau kejadian yang berlaku pada 12 November 2018 lalu, Ayap sedang duduk bersarapan ketika kejadian. Tiba-tiba mukanya terasa kebas dan dia terus terjatuh dari kerusi.

“Kata kawan sekerja, semasa sedar selepas terjatuh itu, saya hanya sempat bertanya apa yang berlaku dan kemudian pengsan kembali. Masa dalam ambulan pun saya tak sedar sehinggalah tiba di hospital.

“Kata mak, dia cuba panggil-panggil saya tapi saya hanya mampu angkat tiga jari dan terus tidak sedarkan diri,” katanya yang dikejarkan ke unit pembedahan kerana hasil imbasan x-ray, terdapat darah beku di bahagian kepalanya.

Dibedah

Malah keluarganya juga tiada pilihan lain kerana perlu menandatangani borang persetujuan bedah dengan kadar segera kerana keadaannya kritikal. Lebih sebulan selepas sebahagian tempurung kepalanya, dibuang terdapat lekukan besar di kepalanya.

Sebagai ibu, sudah tentu pilu melihat perubahan ke atas diri anaknya. Bayangkan selama ini anaknya cukup aktif, tiba-tiba terdiam kaku dan tidak sedarkan diri. Tatkala mendapat perkhabaran daripada kawannya, dirinya menjadi hilang arah seketika.

Melihat keadaan anaknya yang tidak sedarkan diri di hospital amat meruntun hatinya. Berkali-kali dia memanggil anaknya tetapi anaknya hanya mampu gerakkan tiga jari sahaja. Penantian selama empat hari bukanlah satu tempoh masa yang singkat, siang malam dia berdoa agar anaknya sedar.

Mustajabnya doa seorang ibu, selepas empat hari tidak sedarkan diri Ayap sedar dan orang pertama yang dicari adalah emaknya. Menitis laju air mata seorang ibu apabila anaknya kembali memanggil “emak”. Hasanah memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga.

Perubahan Positif

Sementara itu, jelas Hasanah, sebelum ini selepas pembedahan pertama keadaan Ayap lebih teruk. Hinggakan dia menguruskan segala keperluan anak bujangnya kerana Ayap tidak boleh berdiri dengan stabil.

“Kalau tak pegang dia akan jatuh. Perlu dibantu lagi. Alhamdulillah juga memorinya tidak terjejas kerana kalau itu yang berlaku risiko nyawa akan lebih terancam. Setelah pembedahan kedua, keadaan Ayap semakin bertambah baik.

“Kini dia mampu pergi ke bilik air sendiri tanpa bantuan saya. Sebelum ini memang 100 peratus saya bantu dia bergerak. Ada kalanya dia akan lepaskan tongkat dan jalan sendiri. Cuba saya awasinya dari jarak jauh. Tidak rugi kami luangkan masa dan wang ringgit untuk Ayap pergi fisioterapi. Kesannya amat positif,” ujarnya yang mulai sebak.

Ayap yang kini cuti sakit dan bekerja di Henry Butcher berkata, pada pembedahan pertama di KPJ Hospital Damansara, bil rawatannya mencecah RM83 ribu. Manakala pembedahan yang berlangsung pada 8 Januari 2019 yang lalu menelan belanja hampir RM52 ribu. Menurut bapanya, Jasni bin Abdullah, 56 tahun, kos rawatan agak tinggi kerana sebahagian tempurung kepala anaknya dibuang.

“Insurans dari pejabatnya hanya RM50 ribu. Nasib baik jugalah ketika bulan empat hari itu, saya baru pencen. Duit baki pembedahan sebanyak RM33 ribu itu saya guna duit bersara dan selebihnya duit daripada sumbangan orang ramai.

“Begitu juga pembedahan kedua, saya kumpulkan duit yang ada demi kembalikan anak saya yang dahulu,”katanya ketika ditemui di rumahnya, Blok B, PPR Kerinchi, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Hasanah rindukan Ayap yang dahulu, sihat dan aktif.

Alami Penyakit AVM

Jelas doktor, Ayap mengalami penyakit Aeteriovenous Malformation (AVM). sebenarnya tidak ramai yang mengetahui mengenai penyakit AVM dan serangan AVM ini mempunyai gejala seperti sakit kepala yang teruk, muntah dan juga kejang di leher.

AVM disebabkan pembentukan tidak normal ketika bayi di dalam kandungan atau masalah konginental. Serangan itu tidak dapat dibuktikan ada hubung kait dengan keturunan dan tidak juga disebabkan oleh masalah persekitaran. Biar pun kurang arif tentang penyakit ini, Hasanah akan sentiasa pastikan dia berada di sisi Ayap.

Setiap kali Ayap mengalami emosi yang tidak stabil, sebagai ibu Hasanah cuba menenteramkan anaknya. Malahan dia cuba bersabar dengan perubahan sikap Ayab yang sensitif. Bagi Hasanah, mungkin apa yang berlaku pada Ayap adalah normal kerana perbezaan hidup Ayap dahulu dan sekarang.

Perubahan

Dahulu dia bebas bergerak, bekerja dan berkawan, kini segala-galanya berubah. Dia tidak mampu bersukan seperti selalu, malahan juga tidak punyai daya untuk melepak bersama kawan-kawan. Keadaan ini memberi kesan kepada emosi Ayap secara keseluruhannya.

“Saya bersyukur, anak-anak saya yang lain dan setiap ahli keluarga menyokong penuh Ayap. Kawan-kawan Ayap juga banyak luangkan masa datang ke rumah, memberi sokongan kepada Ayap. Dalam masa dua bulan ini saya cuba memahami dan menerima keadaan Ayap sebaik mungkin.

“Sebagai ibu saya berdoa Ayap akan kembali pulih dan sihat 100 peratus seperti dahulu. Saya mahu dia kembali aktif, dapat berkawan agar dia tidak murung dan sedih dengan nasib dirinya.

“Apa pun yang berlaku, saya dan Ayap perlu hadapi ujian ini. Setiap kali saya sedih, saya akan lihat gambar Ayap sebelum dia sakit. Gambar lamanya banyak memberi motivasi kepada diri saya untuk terus menyokong Ayap ,” ujarnya lagi sebelum mengakhiri perbualan.

Bagi anda yang bersimpati dan mahu menghulurkan bantuan demi meringankan beban keluarga ini, bolehlah salurkan bantuan ke akaun CIMB Bank atas nama Muhammad Adli Asyraf Jasni di nombor akaun 7057679401.

Published by
Syazwani Mehat