Bila lelaki dan perempuan bersetuju untuk membina rumah tangga, secara tak langsung bermulalah satu tanggungjawab baik bakal isteri mahu pun suami. Malah, tanggungjawab lebih besatr bagi seorang suami yang kena dan suami kena pikul amanah untuk bakal isteri dan anak-anak yang ada nanti.
Jangan fikir, kahwin semata-mata untuk keseronokan saja tanpa memikirkan apa yang akan berlaku selepas kahwin. Biasanya, bila sudah berkahwin, barulah nampak warna sebenar baik isteri mahu pun suami.
Di sinilah bermulanya peranan masing-masing. Kalau jenis yang tidak faham dan pentingkan diri sendiri terutamanya dalam pikul amanah yang diberikan, makanya boleh berlaku pergolakan dan mungkin juga kes penceraian. Puncanya tiada persefahaman.
Jadi, perkongsian daripada Khairul Fahmi Ramli, peguam syarie boleh memberi panduan buat bakal pengantin baru dalam mengharungi alam rumah tangga yang baru dibina dan pikul amanah yang diberikan. Semuanya ini untuk elak masalah yang mendatang sehingga membawa kepada penceraian.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Anak-Anak Amanah Akan DIAUDIT Akhirat, Mak Ayah Jangan Ambil Mudah!
Isteri Cantik Di Luar Tapi SERABAI Di Rumah Sebab Amanah Dan Tanggungjawab
Info Lebih Menarik DI SINI
10 Perkara penting “Pengantin Baru” kena buat untuk elak perceraian.
Kadang kala, semasa nak jadi pengantin baru, ada pasangan yang mungkin tak ambil tahu tentang persiapan yang perlu selepas kahwin. Bukan terlambat, cuma jangan tidak ambil tahu langsung.
Selepas berkahwin, banyak cabaran besar bakal berlaku kepada pasangan baru. Khususnya hal yang berkaitan pengurusan dan undang-undang keluarga Islam. Jika enggan peduli tentang isu ini, pastinya akan berlaku keretakan besar istana yang dibina.
Jadi, saya nak kongsikan 10 perkara penting kepada bakal pengantin baru perlu ambil peduli selepas kahwin kelak.
Selepas saja suatu pasangan diakadnikah, mereka perlu tahu bahawa mereka sudah terikat dengan Undang-undang Keluarga Islam. Jadi, mahu atau tidak, suami dan isteri perlu belajar tentang ilmu kekeluargaan Islam.
Khususnya perkara yang penting untuk diketahui berkaitan dengan hak suami isteri selepas kahwin, hak anak, hak selepas perceraian dan hak suami isteri jika berlaku kematian.
Memang kita tak mahu cerai dan mati, tapi kita perlu tahu, ajal dan jodoh atas ketentuan Allah. Mahu atau tidak, kita perlu terus belajar dan ambil peduli tentang perkara ini.
Rumah adalah keperluan wajib untuk suami sediakan kepada isteri. Sebaiknya, rumah ini disediakan berasingan daripada orang lain termasuk ahli keluarga suami atau keluarga isteri.
Jika suami dan isteri ‘PJJ’ atau perkahwinan jarak jauh, tidak tinggal bersama, suami tetap wajib sediakan rumah kepada isteri. Boleh sewa atau beli, yang penting disediakan tempat tinggal yang selesa dan berasingan kepada isteri. Ini termasuklah perbelanjaan rumah seperti elektrik dan air perlu dibayar oleh suami.
Salah satu sebab terjadinya pergaduhan suami isteri sepanjang karier saya, didapati banyak pasangan yang bercerai di awal usia perkahwinan adalah disebabkan ‘duit tak cukup’ atau bergaduh ‘sebab duit’.
Pada saya, untuk elakkan pergaduhan tentang wang ringgit, mesti perlu ada bajet atau perancangan kewangan yang bijak serta mesti dipatuhi suami isteri. Kalau negara kita ni pun, sampai berdebat dalam Parlimen untuk bajet diluluskan, maka amat penting jugalah suami isteri bincang betul-betul bajet bulanan dan tahunan.
Jika suami itu seorang anggota tentera, pasti tak ada isu tak dapat nafkah sebab anggota tentera wajib ada potongan kepada isteri. Mungkin isu yang timbul adalah isu tak cukup nafkah. Itu perkara lain. Namun, contoh ini patut diteladani oleh pasangan yang lain.
Setiap bulan, suami wajib masukkan duit belanja isteri ke dalam akaunnya bagi mudah membuktikan bahawa pemberian nafkah berlaku. Sekiranya duit yang hendak diberikan suami itu termasuk duit rumah, perbelanjaan isi rumah dan anak-anak, perlulah masukkan sejumlah wang yang wajar. Janganlah masuk setiap bulan RM200, tapi duit itu jugalah untuk isteri bayar sewa, beli barang dapur, beli barang anak. Memang tak cukup sangat lah.
Sekiranya berlaku pergaduhan suami isteri, segera dapatkan khidmat kaunseling di Pejabat Agama. Jangan pendam setiap masalah. Ia perlu diluahkan kepada orang yang boleh bantu selesaikan masalah anda.
Tidak semestinya suami yang perlu mohon kaunseling, isteri secara bersendirian boleh mohon untuk kaunseling walaupun suami enggan kaunseling.
Setiap isu dan permasalahan yang timbul, andai perkara itu kecil macam mana sekalipun, jangan simpan sendiri. Ada yang ahli keluarga tak tahu sebarang masalah, kerana tak pernah diberitahu.
Misalnya sering berlaku pergaduhan fizikal, duit belanja tak cukup dan lain-lain. Kadang ahli keluarga bukan nak suruh cerai, tapi nak jadi orang tengah yang boleh bawak berbincang. Kalau nak nikah dulu pun pakai ahli keluarga untuk bercakap, takkan bila jadi isu, kita abaikan mereka.
Jika semasa bujang, ada tabiat merokok misalnya, selepas kahwin patut buang kerana duit belanja harian akan bazir dan bahaya kesihatan anak isteri. Begitu juga dengan tabiat lain isteri, kalau masa bujang banyak bergaul mesra dengan rakan sekerja, maka selepas kahwin, perlu ada batasannya.
Sama juga dengan hobi yang mungkin tak bagus untuk perkahwinan. Contohnya, suami asyik main game tak kira waktu siang malam sebab biasa buat semasa bujang, hobi tu patut dibuang atau dikurangkan. Ini adalah salah satu punca pasangan muda bercerai zaman ini.
Kalau dulu zaman bujang selalu lepak di kedai mamak waktu malam untuk tengok bola dengan kawan-kawan, selepas berkahwin perlu ada hadnya. Khususnya ketika pasangan yang baru ada anak kecil.
Siang anda sudah spend masa untuk bekerja dan bersama pekerja, maka waktu malam apa salahnya menggunakan waktu sebaik mungkin untuk bersama anak isteri. Apa salahnya tonton bola kegemaran anda di rumah bersama anak isteri kan?
Tolong jangan sembunyikan apa-apa maklumat khususnya berkaitan dengan hutang, harta yang dimiliki dan tanggungan yang ada sebelum dan selepas kahwin. Kadang-kadang ada wanita yang tak tahu, rupanya suami yang dikahwini tersebut mempunyai isteri lain dan anak-anak terdahulu.
Begitu juga setiap pasangan, jangan ada meletakkan password telefon atau apa-apa password bank yang tidak diketahui kepada setiap pasangan. Meletakkan password yang tidak diketahui ini pasti akan menimbulkan rasa curiga dan boleh sukarkan pasangan untuk keluarkan duit bank jika kematian anda bagi urusan terdesak.
Bila dah kahwin, suami wajib meletakkan keperluan isteri dan anak lebih penting daripada segalanya sebab suami yang sanggup nak pikul amanah tersebut. Kalau tidak, apa guna nikah kalau belanja isteri pun tak mampu. Belum lagi dapat anak yang perbelanjaannya pun agak tinggi sekarang.
Kadang-kadang, ada yang tak mampu tanggung diri sendiri pun, tapi nak juga nikah. Akhirnya, diri terbeban bukan sebab tak mampu, tapi sebab asyik ditakuk yang lama. Jangan nafkah anak dan isteri terabai sudahlah.
MW: Buat bakal pengantin baru, sila hadam tip penting ini. Moga ia membuka mata dan hati untuk memastikan hubungan berkekalan hingga ke akhir hayat.
Sumber: Khairul Fahmi Ramli
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita