Ingat seepas kahwin, bolehlah buat kerja rumah sama-sama dan kukuhkan ekonomi rumah tangga bersama. Rupanya tidak!
Kerja atau tidak, semua isteri yang buat. Belum lagi cerita lagi pasal kewangan yang tak berapa nak stabil. Asyik-asyik, bini yang topup. Allah… manalah isteri tak rasa tertekan!
Untuk jentik emosi suami isteri yang kadang hanyut dek kesibukan harian menguruskan rumah tangga, jemput baca perkongsian Ustazah Noor Laila Aniza Binti Zakaria, sebuah realiti dari sudut hati seorang isteri.
Jika ini sculpture yang dibuat, maka benarlah begini hidup wanita seluruh dunia digambarkan selepas berkahwin.
Kerana itu, disebutkan dalam pelbagai riwayat tentang mulianya akhlak Nabi sehingga Nabi uruskan dirinya sendiri, jahit baju,jahit kasutnya, siapkan makan keluarganya, Nabi buat kerja-kerja rumah, Nabi belai isteri-isteri baginda, Nabi bersihkan bekas haid isterinya, Nabi potong kuku isterinya, Nabi bantu ketika isteri Nabi naik unta sehingga Nabi letakkan pahanya ke tanah untuk dipijak isteri, Nabi paling banyak tersenyum, Nabi didik isteri dengan akhlak yang terbaik dengan perintah-perintah Allah, Nabi berlemah lembut pada isteri baginda, Nabi tak pernah tinggi suara pada isterinya bahkan Nabi tak pernah menjerit-jerit atau memaki hamun. Isteri Nabi juga diberikan pembantu untuk memudahkan segala urusan.
Bahkan Nabi orang yang paling banyak ibadah kepada Allah, paling sempurna imannya, paling rajin bekerja dan sangat jujur tidak pernah mengambil harta isterinya untuk tujuan peribadi. Allahu Akbar!
Jika sebegini high class akhlak Nabi dan layanan suami kepada isteri, selayaknya disebutkan Nabi, “Jika dibolehkan manusia sujud kepada manusia, nescaya aku perintahkan isteri sujud kepada suami”‘.
Dengan kata lain, selayaknya suami sebegini mendapat penghormatan dari isteri bukan sekadar kerana suami itu menafkahi isterinya,dan bukan sekadar kedudukan suami lebih tinggi dari isteri, tetapi disebabkan suami itu sendiri memuliakan isterinya.
Namun hadis ini disalah guna pakai untuk mengatakan kedudukan lelaki sebagai suami terlalu tinggi sehingga isteri perlu taat tanpa sempadan dan korban sehingga mati!
Satu kezaliman yang membunuh sifat kemanusiaan dalam rumahtangga itu sendiri.
Dan kesannya emosi wanita bercelaru dan sakit. Sehingga tekanan-tekanan itu membawa kegilaan dan anak tidak berdosa menjadi mangsa dibunuh, dicampak luar flat, ditikam, dikelar. Nauzubillahi minzalik.
Belum lagi beban emosi wanita itu dihenyak lagi dengan suami yang mengambil duit isteri, mencuri harta isteri, menyuruh isteri berhutang, berjanji akan bayar balik, bila diminta dikata mengungkit, tak bersyukur, tak boleh sabar, menetapkan pula itu ini isteri kena bayar dengan alasan isteri bekerja kenalah bersusah bantu suami, kaki lepak, keluar masuk rumah ikut suka, curang disebabkan isteri ak pandai melayan dan macam-macam rencah karenah kerana suami tidak diberi tanggungjawab sebagai lelaki yang perlu bersusah payah bukan sekadar mencari nafkah untuk isteri tetapi juga mengurus tadbir keperluan keluarganya dengan baik dan sabar.
Jika benar, seorang lelaki faham agama, pasti dan pasti akhlaknya seperti Nabi dan tiada seorang wanita akan terkoyak emosinya sebegini teruk. Dan tekanan-tekanan dari keluarga mertua, ipar duai sepupu sepapat, saudara mara, kawan-kawan, jiran tetangga dengan pelbagai rencah hentaman, pandai cakap, tukang mengajar, kecaman, suruhan, perintah, teguran kononnya mana boleh lelaki buat kerja rumah, mana boleh jaga anak, semua benda suami yang buat, habis isteri buat apa? Soalan yang tidak masuk akal, suami takut bini, suami kena guna-guna, isteri macam ni tak layak jadi ibu sebab tengok suami yang uruskan anak-anak. Allah… terbeban sangat tengok suami tu. Derita sungguh suami perkasa kena buat semua kerja rumah, isteri tak tahu tanggungjawab. Isteri tak bersusah payah dengan suami dan desakan-desakan ini juga yang menambah sakit mental wanita.
Belum cerita tentang isteri ceaser belah perut yang kadang-kadang terkoyak balik jahitan dan bernanah dalamnya akibat gerakan yang banyak dan angkat benda berat, bahkan bertahun pun tak hilang lagi sakit ceaser tu. Punya bertarung nyawa untuk suami. Belum lagi cerita perut berparut seribu dan perut lembik macam kain buruk akibat mengandungkan zuriat-zuriat suami, longgar sana longgar sini dan suami hanya pandai komplen.
Belum juga kisah terkuburnya cita-cita selepas kahwin dgn ‘hukum buatan manusia’, lepas kahwin, isteri kena ikut suami. Tanpa kompromi, tanpa berbincang, ikut sahaja.
Seharusnya sebelum kahwin sudah jelas perancangan ke depan dan kesedian kedua-dua pihak supaya tiada sesiapa ditekan emosi. Jelas dan jujur. Jika tak sedia, jangan teruskan perkahwinan.
Nak sambung belajar, mak mertua kata tak perlu sebab perempuan lebih baik duduk rumah, mengasuh anak. Terkubur satu lagi hasrat dan cita-cita yang ditanam dengan semangat membara dari kecil hasil didikan ibu ayahnya. Anak perempuan siapa yang diperlakukan sebegini? Kezaliman apa sehingga dinafikan hak wanita untuk memperoleh apa yang dihajati dari kecilnya? Dunia apa yang dicorak untuk para isteri ini? Tekanan!
Mulia sungguh menjadi suri rumah, tetapi pastikan suri rumah yang merasa nikmat bahagia, bukan derita stres tekanan sehingga sakit mental dibuatnya! Allah…
Lalu dia diajar untuk redha, sabar, taat sedangkan tak cukup duit, ibu ayah perempuan pula yang kena tanggung bagi duit sebab suami tak cukup duit.
Isteri yang tiada pemilikan apa-apa, terkulat-kulat lihat apa orang lain ada sedangkan dia juga punya angan-angan dan impian. Nak bagi duit pada mak ayah yang membelanya dari kecil juga tak mampu.
Pemilikan isteri yang membunuh emosinya! Semua harap suami sedang suami tidak pula tak mampu memberi secukupnya bahkan berkira-kira pula! Ya Allah!
Ditambah suara-suara yang mengatakan isteri habiskan duit suami. Bahaya betul perkataan-perkataan jahat ini.
Sewajarnya selepas kahwin, lebih mudah hidupnya kerana lelaki meminangnya dengan janji untuk menjaganya, mengangkat martabatnya, melindunginya, meneruskan semangatnya untuk memperoleh cita-citanya dan perjuangannya.
Sama-sama bina cita-cita, sama-sama membangunkan antara satu sama lain, sama-sama bina keluarga, sama-sama didik anak. MashaAllah.
Sekalipun suami itu sangat baik, dibelanjakan hartanya untuk keluarganya, disiapkan tempat tinggal, makan pakai, dicebok anak-anak, dimandikan anak-anak, disuap makan, dibasuh baju anak isterinya, dia juga yang memasak, belum lagi dia dapat membalas jasa isterinya bertarung nyawa ketika melahirkan zuriat-zuriat untuknya bahkan zuriat-zuriat itu pula dengan rahmat Allah akan menjadi penolongnya ke syurga .
Suami juga tak pernah sekali pun gadaikan nyawa untuk melahirkan, antara hidup dan mati(mungkin ada suami yang kerjanya berisiko tinggi, itu tidak dinafikan), suami tak pernah hilang kecantikannya akibat tidur yang tak cukup, bentuk badan yang dah tak sama, lelah yang tak habis menyusu dan fikirkan sakit anak dan pelbagai ragam anak siang malam yang tak pernah habis.
Bagaimana selepas selesai bersalin, isteri juga yang dukung anak bahkan isteri juga basuh baju anak dan suami. Ya Tuhan…
Bila isteri dah sihat sikit, berjalan bersama, isteri juga yang dukung anak… alasan anak nak pada ibunya. Ke sana ke mari isteri gendong anak, suami jalan pegang hp di tangan. Ya Allah, berat bawa perut pun tak pernah habis rasanya. Suami hanya bawa diri. Relax je suami. Sakit pinggang membawa perut mengandung pun tak pernah habis lagi!
Inilah realiti, apabila kita tidak menyediakan anak-anak lelaki kita sebagai hero dan penyelamat, sebagai pelindung dan sanggup bersusah payah bekorban untuk anak isterinya tapi kita cerita pada anak lelaki kita, lepas kahwin ada org jaga dia, lepas kahwin lebih terurus hidupnya.
Berapa ramai yang bercerita lepas kahwin, kena jaga isteri dengan sempurna, isteri ini amanah, bantu isteri, buat kerja-kerja rumah, uruskan anak, jangan harap duit isteri, usaha sungguh-sungguh, jaga mak ayahnya, jadi laki-laki bermaruah, jaga solat di masjid/ surau / tempat azan dilaungkan, jaga Al-Quran setiap hari, jaga rumah tangga dan jangan khianat. Tidak ramai bukan?
Berapa ramai ambil tahu tentang impian isteri dan sama-sama usaha mendapatkannya atau setidaknya memberikan dia jalan lebih selesa untuk kehidupan rumah tangganya?
Malangnya, lelaki diajar menjadi Raja ,dan wanita diajar bekorban tanpa jemu.
Sehingga semua pakaian suami perlu dicuci, digosok, disediakan sehingga di mana letaknya stoking pun, kalau tak jumpa,isteri juga kena marah.Lelaki diajar makanan tersedia untuk dijamah, pinggan tak perlu cuci, rumah tak payah sapu, mop lagilah tidak, cadar katil tak payah tukar, masak tak payah, semuanya kerja orang perempuan.
Akhirnya isteri tarik muka, penat letih, tiada lembut lembut, hanya jerit pekik, marah tak tentu pasal, lalu dikatakan… “Oh isteri tak macam dulu, isteri derhaka, isteri tak memahami, isteri tak layak jadi ibu.
Takutlah pada Allah. Berlebih-lebihlah suami dalam membuat tugasan-tugasan rumah. Berilah kerehatan dan belaian kepada isteri,cpenghargaan dan kasih sayang, urutan dan sentuhan, doa dan semangat, kerja keraslah untuk isteri anak-anak, bukan banyak komplen banyak marah, banyak tegur.
Takutlah kerana para suami akan menghadap Allah. Ikhlaslah dalam setiap khidmat pada keluarga. Nescaya, isteri akan jadi ibu yang penyayang, isteri penyejuk mata, manis wajahnya dan lunak kata-katanya serta pasti dia menghormati suaminya. Anak-anak penuh kasih sayang dan ceria, tidak murung dan memberontak.
Ajarilah isteri dengan didikan agama untuk memperbaiki Al-Quran dan solatnya.
Begitulah jika agama dipelajari, difahami, diamalkan. Tidaklah kita memandai-madai menzalimi wanita.
Jadilah wanita yang bersyukur. Sayangi suamimu dan berlemah lembutlah, rendahkan suaramu dan janganlah dikeluarkan kata-kata yang tajam. Tetaplah dalam kesabaran, doa, solat dan peliharalah auratmu, labuhkan tudungmu, longgarkan pakaianmu dan pakailah baju berlengan panjang. Nikmat mana lagi yang mahu engkau dustakan wahai wanita?
Berdoalah supaya bahagia sampai syurga paling tinggi dan bertaubatlah bagi yang menyakiti tanpa sedar. Berbincang & berubahlah.
Buat para isteri, tetaplah membantu suamimu untuk apa juga urusan kerja rumah dengan ikhlas dan bersyukurlah atas pemberiannya. Jangan jadikan suamimu tempat untuk ditengking jerkah, disuruh itu ini tetapi mohonlah pertolongannya dengan kata yang lunak dan baik. Bertolak ansur lah dalam urusan-urusan rumah tangga dan maafkan kekhilafan suamimu. Bertolak ansur dan belas kasihan adalah kunci untuk tidak mencari salah pasangan. Tetapi sama-sama sepakat, sama-sama membantu segala urusan rumahtangga.
Pastikan tulisan ini dibaca dengan ilmu bahawa kisah ini berkaitan wanita dan tekanan. Janganlah dengan post ini, menghilangkan hormat isteri kepada suami tetapi bawalah berbincang. Tidak ada suami yang mahu isteri yang dinikahi tertekan. Cuma mungkin si suami terlepas pandang.
Tahniah untuk isteri yang ikhlas membuat kerja-kerja rumah kerana mencari redho Allah.
Tahniah buat suami-suami yang telah menjaga para isteri tuan-tuan dengan sempurna. Allah berkati hidup Tuan-tuan.