Sesungguhnya taubat Allah masih terbuka. Kembalilah kepadaNya dengan penuh penyerahan diri. Ikutlah apa yang Allah perintahkan kerana manusia takkan pernah rugi. Kisah suami isteri yang bertahun-tahun tak pernah solat ini berubah hidupnya dalam tempoh 10 hari.
Pertemuan ini dicatatkan semula oleh pendakwah bebas, Ustazah Asma Binti Harun. Bagaimana solat, istighfar dan selawat mengubah hidup seseorang jika diamalkan konsisten. Dengan kata mudahnya, ‘Buat Saja’ sebab inilah yang Allah suruh.
Satu kisah klien, datang dengan 2 orang anak kecil, kedua-duanya kurus kering. Sebulan atau lebih hanya makan nasi dengan garam sahaja, untuk beli telur pun tak mampu.
Si suami, main judi, minum arak, maksiat dan perokok tegar. Duit hasil kerja habis begitu sahaja.
Si isteri tetap setia dan sayang suami, walaupun sering dipukul dan diabaikan. Kerana dia tiada sesiapa, dibuang keluarga sejak memilih lelaki itu sebagai suaminya.
Suami isteri tidak solat. Dah lama sangat tak solat, bertahun-tahun. Katanya, solat atau tidak baginya sama sahaja. Dulu masa solat hidup tetap sama, tidak ada perubahan. Bahkan katanya ramai orang yang solat hidup lagi susah daripada orang tak solat.
“Apa hajat sebenarnya puan datang?”
“Saya nak minta bantuan sikit, sekadar untuk beli makanan anak-anak.”
“Baiklah puan, kita boleh bagi sedikit bantuan, mungkin boleh bertahan untuk seminggu. Tapi bagaimana selepas itu?, puan nak tak bantuan untuk seumur hidup?”
Wajahnya bercahaya, seperti baru nampak matahari.
“Puan, bantuan seumur hidup kita sangat dekat, tak perlu susah payah ke sana sini, puan boleh minta di rumah sahaja”
Allah SWT berfirman :
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖفَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku sangat dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang meminta apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam petunjuk.” (Al-Baqarah: 186)
1 jam seterusnya, Allah yang Maha Bijaksana memudahkan proses klien ini diberi sedikit kefahaman tentang hakikat SOLAT, ISTIGHFAR, dan SELAWAT. Ditulis beberapa nota untuknya, dalam hati sendiri tak berhenti berdoa moga Allah yang Maha Lembut melembutkan hati untuk merasai nikmat mengenal Allah, meminta dan bergantung harap dengan Allah.
“Ustazah, insyaAllah saya cuba solat balik, saya dah faham sikit tujuan solat. Selama ni rupanya saya tak kenal Allah yang saya sembah, saya sendiri tak faham kenapa saya perlu solat..”
Temujanji seterusnya 2 minggu selepas itu, akan dipanggil suami sekali. Si isteri hanya mengangguk kosong, sambil tangan mengusap kepala anak kecil yang merengek. Harapan untuk suami dan hidupnya berubah seolah hanya satu mimpi. Begitulah hakikatnya diri kita, tidak ada sedikitpun daya upaya.
Kita lupa bahawa apa yang mustahil bagi kita,
Tidak ada yang mustahil bagi Allah.
Allah ya Baari’, Allah sebaik-baik perancang.
Lebih kurang 10 hari berlalu, saya terima panggilan daripada wanita ini, suaranya tersekat sambil menangis teresak-esak. Saya kebimbangan apa yang berlaku sebenarnya.
“Ustazah, saya tak sangka secepat ini Allah terima saya balik, secepat ini suami saya berubah..Ya Allah..Ya Allah.”
“Selepas saya mula solat, lazimi istighfar dan selawat, saya cuba buat dengan yakin, saya buat sahaja. Saya ingat pesan ustazah, buat sahaja, jangan tinggal, insyaAllah akan berlaku sesuatu.”
“Selepas seminggu, suami saya dibuang kerja, namun serta merta dia cari kerja lain, pencuci kereta. Dia mesti cari duit untuk rokok dan aktivitinya. Taqdir Allah, di tempat kerja barunya dia berkawan dengan seorang hamba Allah yang baik, dia boleh ikut ke Masjid solat,”
“Sekarang ustazah, tiap hari gaji hariannya diberikan kepada saya, walau tak banyak tapi nikmat sangat. Saya tak rasa itu daripada suami, tapi daripada Allah. Dia dah tak ada pukul saya dan anak-anak, berhenti minum arak dan judi.”
AllahuAkbar, tersedu sedan dia menangis. Tanpa sedar saya juga mengalirkan air mata kesyukuran. Teringat satu hadis Qudsi, betapa baiknya Allah dengan hambaNya.
Nabi shallallahu alaihi wa sallam bersabda,
يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى : أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ في نَفْسِي وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلأٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلأٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً (رواه البخاري)
“Allah Ta’ala berfirman, ‘Aku sebagaimana sangkaan hambaku. Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku…. Jika dia mendekatiku sejengkal, maka Aku akan mendekatinya sehasta. Jika dia mendekati-Ku sehasta, maka Aku akan mendekatinya sedepa. Jika dia mendatangi-Ku dengan berjalan, maka Aku akan mendatanginya dengan berlari.”
(HR bukhari, no. 7405 dan Muslim, no. 2675)
Begitu sekali Allah meraikan hambaNya.
Berkali-kali mengingatkan dia supaya berterusan solat, dan jika suami mengulangi semula tabiat lamanya, hubungi saya balik. SubhanAllah, setelah beberapa bulan berlalu, saya hubunginya untuk bertanya khabar, katanya Alhamdulillah suaminya masih tetap dengan perubahan yang baik. Begitulah setelah berlalu tahun.
SOLAT adalah PENGHUBUNG kita dengan ALLAH. Hanya beberapa minit sahaja sehari, namun ianya menjamin seluruh kehidupan, di dunia dan akhirat.
ALLAH ya NUR yang memberi CAHAYA
ALLAH ya HAADI yang memberi HIDAYAH
Coretan pengalaman kisah benar.
Semoga bermanfaat.
Silakan share.
Sumber/Foto : Asma’ binti Harun