Selepas Cerai, Mak Jangan Putuskan Kasih Anak Dengan Ayah Kandungnya!

Share

Sering kali ‘permusuhan’ terjadi selepas perceraian. Masing-masing sibuk mencari salah bekas pasangan hingga anak-anak yang jadi mangsa, termasuk memisahkan kasih antara anak dan ibu/bapa kandung.

Ikuti perkongsian daripada Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, yang juga penulis tetap ruangan Resipi Hidup di dalam majalah Mingguan Wanita, berkenaan dengan isu ini.

Saya yakin, pasti ada antara pembaca yang maklum dengan lirik lagu nyanyian Casey, Jangan Ada Benci. Saya teringatkan lagu ini bila menerima luahan seorang klien wanita yang menanyakan; “Boleh tak jika saya tak izinkan anak-anak berjumpa dengan bapa mereka sebab saya rasa benci dan menyampah sangat kat dia”.

Jawapannya, sudah tentulah tak boleh. Perceraian hanya memutuskan hubungan antara suami dan isteri tetapi tidak memutuskan hubungan antara anak dengan ayah malah anak dengan ibu.

Tak Putus

Kalau betullah dah hilang rasa sayang, kenapa perlu wujudkan rasa benci kepada bekas pasangan? Mungkin bekas pasangan pernah bersalah atau pernah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab atau pernah mengkhianati cinta anda; cukuplah sekadar menghilangkan rasa sayang di hati tetapi tak perlulah dia dibenci.

Ye lah! Anda pernah menyayanginya. Anda pernah hidup bersamanya. Anda pernah berkongsi macam-macam perkara dengannya. Malah saya yakin; selain kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh bekas pasangan anda, pasti ada juga kebaikannya. Daripada 10, paling tidak pasti ada satu kebaikan yang boleh anda kenangkan dan kekal hargai hingga kini. Lantas, kenapa perlu ada benci?

Tersurat

Betul dia bersalah. Benar dia tersilap. Kerana dia anda terpaksa memegang status sebagai ibu tunggal atau bapa tunggal tapi ketahuilah; semua itu telah disuratkan oleh Allah. Bukan menyalahkan takdir tetapi sungguh setiap yang berlaku adalah dengan kehendak dan ketentuan-Nya.

Kesilapan bekas pasangan anda menjadi sebab kepada perceraian kalian tetapi percayalah; ia semata-mata sebab kepada satu hikmah yang telah Allah janjikan bakal anda dan bekas pasangan anda alami bila tiba masanya nanti. Perceraian bukan musibah, bukan juga malapetaka, bukan juga bala bencana.

Sebaliknya setiap yang ditakdirkan oleh Allah; termasuk perceraian, menyimpan rahsia dan hikmah yang tersendiri; yang hanya Dia ketahui dan kita sebagai makhluk-Nya hanya akan perasan bila hati-hati benar-benar reda dan percaya.

Benci Itu Emosi Negatif

Tidak ada faedahnya membenci. Tak percaya? Senaraikan apa yang anda dapat dengan membenci bekas pasangan anda. Anda ceria? Bahagia? Atau anda sakit hati? Anda derita? Marah? Geram? Saya yakin, segala yang negatif akan kekal bersama anda jika emosi benci dibiarkan terus bermaharajalela.

Malah, jika anda benarkan kebencian menguasai diri, natijahnya bukan hanya dirasai oleh anda sebaliknya akan melibatkan anak-anak anda juga. Sudahlah anak anda perlu terima ibu bapanya hidup berasingan; pasti jadi lebih sukar bila anak-anak terpaksa melihat ibu dan bapa mereka terus bersengketa dan bermasam muka. Fahami perasaan mereka. Mahukah mereka juga menjadi pembenci, sama seperti anda. Bukan hanya bencikan bekas pasangan anda tetapi juga membenci anda. Mahu kah begitu?

Ya! Benci hanya memberikan lebih masalah. Jadi, usah membenci. Biarkan saja sayang anda berlalu pergi tetapi jangan benarkan benci mengganti. Bagaimana nak halang benci bertamu? Paling penting; reda dengan takdir yang berlaku dan maafkan dengan ikhlas. Seperti yang selalu saya tegaskan; jangan ingkar memaafkan.

Jika Allah Yang Maha Besar boleh mengampunkan dosa-dosa kita, siapa kita yang enggan memaafkan sesama hamba. Mungkin ada yang cakap; bagaimana nak maafkan sebab masih tak dapat melupakan?

Maaf Dengan Ikhlas

Saya tak minta anda melupakan. Saya hanya mohon dan merayu; maafkan dengan hati ikhlas dan reda. Insya-Allah, lama kelamaan ingatan yang masih kekal bukan lagi menjadi bebanan perasaan sebaliknya akan kekal sebagai kenangan yang tidak lagi menyakitkan. Perkara dah berlaku, biarkan ia berlalu. Dia hanya penyebab kepada takdir yang memang telah disuratkan di dalam hidup anda dan dia. Terimalah takdir-Nya dengan reda dan percayalah, pasti ada hikmah yang bakal anda terima.

Hikmah yang membahagiakan dan menceriakan anda; dengan syarat anda benarkan hikmah itu hadir ke dalam hidup anda dengan cara memaafkan dan merelakan dengan reda. Janji Allah pasti. Satu diambilnya pergi untuk diganti dengan sesuatu yang lebih baik lagi, insya-Allah!

Paling penting juga, anda takkan miliki anak yang bersama dengan anda sekarang jika tiada bekas pasangan anda. Anak-anak anda berhak untuk bersama dengan ibu atau ayah mereka biar pun anda tidak bersama dengan pasangan anda lagi. Jangan ajar anak anda jadi anak derhaka. Tak rugi berbaik, pasti ada ganjarannya.

Published by
Nurul Azwa