RATU Denmark Margrethe II mengumumkan bakal menuruni takhta secara rasmi pada tanggal 14 Januari, selepas 52 tahun memerintah negara Nordik tersebut.
Baginda yang kini berusia 83 tahun merupakan pemerintah monarki paling lama di Eropah apabila mula menaiki takhta pada tahun 1972.Baginda membuat pengumuman mengejut itu di kaca televisyen secara langsung ketika menyampaikan perutusan tahun baharu 2024 kepada 5.9 juta penonton pada Ahad lalu.
Keputusan itu diambil selepas mengambil kira pembedahan pada belakang yang dijalaninya pada awal tahun 2023. Takhta Denmark akan digantikan oleh anak sulung baginda, Putera Mahkota Frederik.
Saya telah memutuskan bahawa sekarang adalah masa yang sesuai. Pada 14 Jan 2024 – 52 tahun selepas saya menggantikan ayahanda tercinta, saya akan berundur sebagai Ratu Denmark.
“Saya menyerahkan takhta kepada anakanda saya, Putera Mahkota Frederik,” ujarnya.
Margrethe II menjadi ratu paling lama berkhidmat di Eropah selepas kematian sepupunya, Ratu Elizabeth II. Manakala sejak Julai 2023, Baginda menjadi ratu paling lama dalam sejarah Denmark.
Pada tahun 2022, Ratu Denmark ini telah melucutkan gelaran diraja kepada empat orang cucunya. Empat anak kepada anak bongsu Margrethe, Putera Joachim, yang tidak lagi dipanggil putera atau puteri sebaliknya Count atau Countess of Monpezat iaitu gelaran kelahiran mendiang suaminya, Putera Henrik, anak kelahiran Perancis.
Denmark merupakan sebuah negara yang berpegang kepada sistem raja berperlembagaan menjadikan pewaris takhta ialah Putera Mahkota, Frederik. Anak sulungnya, Putera Christian pada giliran seterusnya diikuti tiga anak Frederik. Margrethe diisytiharkan sebagai Ratu pada 15 Januari 1972, sehari selepas kematian bapanya, Raja Frederik IX.