Allah menguji hambaNya sesuai dengan keupayaan dan kekuatan diri mereka. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), wanita, isteri malah ibu hebat yang diuji dengan ujian yang cukup hebat. Hari ini dalam usia 65 tahun, beliau melakar sejarah menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri di negara ini.
Inilah jawatan milik suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tahun 1993 sebelum dipecat dari Kabinet pada 1998. Perit jerih memperjuangkan kebebasan suami akhirnya sampai ke penghujung dan membuahkan hasil yang cukup manis. Beliaulah lambang isteri setia yang tidak berbelah bagi. Contoh isteri kental yang bila mana suami diuji, tidak sekalipun hati dan cintanya akan berganjak.
Perkongsian daripada Faizal Ismail (Faizal FBI) dalam ruangan instagram miliknya menterjemahkan maksud sebenar setianya seorang isteri. Beliau dan keluarga tidak pernah berganjak daripada memberi sokongan pada wanita ini atas kepercayaan yang dalam terhadap apa yang diperjuangkan oleh Dr Wan Azizah, ibu kepada 6 orang anak, 5 perempuan dan seorang lelaki.
Seorang isteri apabila suaminya berubah hati, dia yang awal merasainya.
Seorg isteri apabila suaminya berlaku tidak baik di belakangnya, dia akan dapat menghidunya terlebih dahulu.
Kalau mesej dalam telefon dengan wanita lain pun boleh memporak perandakan rumahtangga, apatah lagi berlaku songsang. TIDAK ada isteri yang waras sanggup untuk terus bersama.
Wanita ini LEBIH kenal siapa suaminya. Bukan orang luar yang hanya pandai melemparkan nista. Kerana itu beliau terus SETIA dan bangkit mempertahankan suaminya tanpa berputus asa. Biar ramai yang mencerca dan masih tidak percaya.
Selepas 20 tahun Allah hadiahkan KEMENANGAN lebih besar atas kesabarannya. Bukan saja memiliki suaminya semula bahkan memiliki HATI rakyat negara ini.
Kini penantian sudah pun berakhir. Dengan apa yang terjadi dalam PRU 14 baru-baru ini, ramai yang sudah memahami kenapa ini semua berlaku. Alhamdulillah. Tahniah our TPM Dr Wan Azizah.
Terdahulu seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, telah menyatakan kesediaan baginda untuk memberi pengampunan segera kepada Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara.
Seperti yang dilaporkan Astro AWANI, beliau dijangka dibebaskan Selasa ini dan perkara ini telah disahkan oleh anaknya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar. Ketika ini beliau sedang menjalankan rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras.
Setianya Faizal FBI terhadap perjuangan Parti Keadilan Rakyat bermula sejak dari awal lagi. Dan dia tidak pernah berganjak sejak tahun 1998.
“5 tahun lepas saya dan keluarga sempat bergambar dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Selesai membuang undi pada waktu itu. Seorang PEMIMPIN yang menyebabkan saya tidak bertukar kawasan Parlimen sejak saya boleh mengundi. Sejak 1998 tak pernah beralih sokongan kepada beliau walaupun tak dinyatakan secara terbuka
.“Bekerja di syarikat media ketika itu TIDAK membenarkan saya berbuat demikian. Beliau merupakan PENCETUS kepada segala gerakan yang pada akhirnya, hasilnya kita dapat lihat semalam (ketika status ini dimuatnaik). Semoga akan tercapai hasrat untuk melihat beliau kembali menjawat jawatan penting.. No 1 InshaAllah.”
Sumber/Foto : Instagram Faizal FBI 76