Pengorbanan dan jasa cikgu sangat lah besar dan tak terbalas. Cikgu ibarat ‘mak ayah’ nombor 2 buat anak-anak ketika di sekolah. Bukan sahaja mencurah ilmu buat anak murid, tapi kebanyakan cikgu sanggup berkorban masa, tenaga malah wang ringgit melakukan tugasan di luar kuasa bidang seorang guru.

Kita sebagai mak ayah janglah terlalu ‘berkira’ mahupun merungut untuk pembelajaran anak-anak di sekolah. Semuanya untuk kegunaan anak-anak kita juga nanti. Sebaiknya berilah sumbangan yang termampu untuk kegunaan sekolah anak-anak kita.

Jemput baca catatan daripada Cikgu Muhammad Yusof ini sebagai renungan.

Hari tu saya pergi kedai RM2 nak beli pen merah. Yelah, time menanda SPM ni memang banyak nak pakai pen merah.Sampai kat kedai RM2 saya terus ke tempat alat tulis dan cari pen merah. Ada sorang pak cik dan mak cik kat situ tengah beli berbakul-bakul alat tulis.

Sebab banyak sangat dorang beli so aku saje ramahkan diri tanya pak cik tu. ‘Beli banyak-banyak nak buat apa pak cik?’.

‘Oh pak cik saja teman isteri pak cik beli alat tulis. Katanya nak bagi kat murid-murid dia naik sekolah nanti. Pak cik, mak cik baru pencen. Kami tak tahu nak sumbang apa untuk budak-budak, ada rezeki sikit pencen ni pak cik dengan mak cik ingat nak sumbang kat budak-budak sekolah. Biar depa seronok sikit pi sekolah..’

Ingat Anak Murid

Terkedu jugak saya bila dengar jawapan pak cik ni. Dah pencen-pencen pun masih ingat kat anak murid. Tengok usaha pak cik, mak cik ni terus saya beli pen merah, biru, hitam satu bundle ingat nak bagi hadiah kat anak murid naik sekolah nanti.

Beginilah hidup seorang cikgu cikgu. Gaji takdelah besar mana. Bolehlah nak survive tampung sikit sini sana.

Ada cikgu sanggup sewa mesin potostat bayar bulan-bulan semata-mata nak potostat soalan kat anak murid. Semuanya ditanggung oleh cikgu tu sendiri.

IKLAN

Ada cikgu beli buku rujukan, buku latihan, guna duit sendiri. Mula-mula ingat minta kat murid, last-last burn macam tu je. Janji budak pandai.

Ada cikgu buat tuisyen percuma nak bagi anak murid dia pandai.

Ada cikgu bawak keluar duit sendiri nak hias kelas, hias makmal, hias asrama, hias surau, hias perpustakaan, semata-mata nak bagi anak murid suka dan rasa best nak ke sekolah.

Ada cikgu buat perpustakaan kat sekolah anak-anak yatim. Guna duit sendiri.

Ada ustaz, ada ustazah panggil anak-anak murid tak tahu mengaji datang ke rumah. Daripada tak kenal alif, ba, ta sampai anak-anak murid tu semua pandai ngaji. Takde cas pun ustaz, ustazah tu ambil.

IKLAN

Ada cikgu bayarkan yuran anak-anak murid yang susah. Guna duit sendiri.

Ada cikgu keluarkan tenaga, masa, latih budak panas-panas takdak orang bagi elaun tambahan. Siap bagi budak sarapan, air lagi. Semua guna duit dan tenaga sendiri.

Ada cikgu yang bagi bantuan kat anak-anak gelandangan, bagi beg, bagi kasut, bagi peralatan sekolah. Guna duit sendiri.

Malahan bila bergelar seorang cikgu ni boleh kata semua kena keluar guna duit sendiri. Pen, pensel, marker, kertas A4, bahan bantu mengajar, hiasan kelas, pembalut meja, buku rujukan dan banyak lagi.

Persoal Sekolah Minta Duit

Bukan cikgu-cikgu ni nak mengungkit, cuma kadang-kadang buanglah ego segelintir parent(saya tak kata semua) atau netizen yang asyik-asyik nak persoal kenapa sekolah asyik minta duit itu ini. Sampaikan buat kutipan mintak kertas A4 satu keluarga 2 rim pun ada parent yang marah-marah. Kalaupun sekolah ada kutip duit PIBG, hakikatnya semua ini beraudit dan akan dipulangkan kepada pelajar jugak akhirnya. Takdenya cikgu-cikgu nak joli pi makan angin guna duit tu.

IKLAN

Jom semua kita jadikan pak cik dan mak cik yang aku jumpa ni sebagai idola kita semua.

Minggu depan masa hari pendaftaran apa kata kita pakat-pakat bagi sumbangan kertas A4 ke, pen marker ke, pen ke, pemadam white board ke atau tanyalah apa yang cikgu-cikgu perlu dalam whatsup kelas. Kalau kelas takde langsir, pakat la pasang langsir. Kalau kipas rosak pakatlah kutip duit sama-sama sumbang baiki.

Semua tu adalah untuk keselesaan pembelajaran anak-anak kita jugak kan?

p/s: sebarkanlah status ini untuk kita create awareness dikalangan ibubapa. Ikhlas daripada seorang cikgu dan seorang bapa: Muhammad Yusof

Baca Lagi Di Sini: Cikgu Tadika, Bukan Kerjanya Sekadar Ajar ABC & 123 Sahaja

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Pengorbanan dan jasa guru sangat lah besar dan tak terbalas. Kita sebagai mak ayah janglah terlalu ‘berkira’ untuk pembelajaran anak-anak di sekolah. Semuanya untuk kegunaan anak-anak kita juga nanti.

Sumber: Muhammad Yusof

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI