‘Selagi Kudrat Masih Ada’, Ibu Tunggal 3 Anak Cekal Jaga Mak Ayah Terlantar Uzur

Share

Sayu hati tatkala melihat ketabahan seorang wanita menguruskan ibu bapanya yang juga orang kurang upaya fizikal dan tidak mampu menguruskan diri sendiri.Ketika sebahagian daripada anak-anak di negara ini mengambil jalan mudah dengan menghantar mak ayah ke rumah kebajikan, pujian harus diberikan kepada ibu tunggal, Intan Zulina Osman, 32, yang tetap cekal menguruskan kedua-dua orang tuanya yang uzur biar pun mereka hanya mampu mengesot dan terlantar di dalam bilik.

Bertubuh kecil selain kudrat wanita yang tidak seberapa, Intan Zulina tidak pernah mengeluh apabila menguruskan kedua-dua orang tuanya, Osman Jusoh, 78, dan Siti Zabedah Saidin, 70, termasuk perlu mengangkat bapanya yang semakin uzur setiap hari untuk ke bilik air.

Dengan pendapatan hanya RM600 sebulan selaku peniaga nasi lemak selain bantuan RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Intan Zulina tidak sesekali sanggup menyerahkan mak dan ayahnya itu ke tangan orang lain biar pun dia perlu menanggung tiga anak berusia antara 8 hingga 13 tahun.

Tidak Mengeluh

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kodiang Lama Luar, di sini, Intan Zulina yang juga ibu tunggal kepada tiga cahaya mata mengakui bakti dicurahkan itu tidak seberapa dibandingkan dengan pengorbanan ibu bapa membesarkannya dengan sempurna.

“Selagi mereka hidup dan kudrat saya kuat, saya akan menjalankan tanggungjawab diamanahkan demi menjaga ayah dan emak tanpa pernah sekelumit ada perasaan mengeluh kerana mereka yang melahirkan saya ke dunia ini,” katanya.

Menurutnya, cabaran memang ada apatah lagi dia perlu membesarkan tiga anaknya, Muhammad Akif Aidil Fikri, lapan, Muhammad Afiq Irfan, 11, dan Aiman Haikal, 13.

Dapat Perhatian Perdana Menteri

Katanya, kisah ibu bapanya pernah tular di media sosial hingga turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang meluangkan masa melawat pasangan itu 19 Jun tahun lalu.

“Sejak itu kehidupan kami bertambah selesa, namun kini ayah semakin uzur apabila tidak mampu bergerak dan perlu dibantu mengurus keperluan harian,” katanya.

Intan Zulina berkata, sebelum ini, dia berniaga nasi lemak di kampung itu dengan pendapatan RM50 hingga RM80, namun sejak empat bulan lalu terpaksa berhenti berniaga kerana perlu memberi sepenuh tumpuan menjaga bapanya.

“Sebelum ini ayah boleh mengurus dirinya sendiri walaupun OKU dan turut menjaga emak, namun sejak empat bulan lalu kesihatannya semakin teruk apabila kedua-dua tangannya tidak kuat dan sering kebas.

“Ayah kini hanya terlantar dan saya menguruskan semuanya termasuk menyuap makan, memandikannya dan perlu mengangkatnya tiga kali sehari ke bilik mandi.

“Namun, selagi mereka hidup saya akan menjalankan tanggungjawab diamanahkan demi menjaga ayah dan emak,” katanya.

Katanya, itu rutin hariannya kini dan mencari alternatif lain dengan berniaga dalam talian menjual kek, roti dan tudung kerana tidak boleh meninggalkan orang tuanya terlalu lama.

“Hasil pemberian bantuan dan sumbangan orang ramai itu saya membeli ketuhar untuk memulakan perniagaan menjual kek dan roti.

“Walaupun pendapatannya tidak seberapa, namun cukup untuk saya sekeluarga meneruskan kehidupan kami,” katanya.

Selain itu, katanya, dia turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 dan zakat RM450 sebulan yang meringankan beban mereka sekeluarga.

“Emak dan ayah adalah anugerah Allah dan selagi saya kuat dan sihat tidak sesekali akan mensia-siakan mereka kerana ini tugas sebagai anak membalas jasa mereka.

“Cuma saya bimbang apabila mereka kurang berselera makan akibat faktor usia. Emak masih boleh dikatakan sihat namun ayah yang nampak perubahannya,” katanya.

Menurutnya, dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu keluarganya selepas kisah mereka tular tahun lalu dan menjadi kenangan terindah dilawati Perdana Menteri.

Keluarga Angkat JKKK

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kodiang Lama Luar, Ku Azlan Ku Mat berkata, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan keluarga terbabit, malah menjadi keluarga angkat JKKK.

“Pelbagai bantuan dihulurkan bagi meringankan beban keluarga ini termasuk membaik pulih rumah mereka melalui sumbangan Pejabat Daerah Kubang Pasu.

“Pelajaran anak Intan juga akan dibantu dan menyalurkan sumbangan melalui kelengkapan sekolah dan sebagainya,” katanya.

Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat wanita ini kerana pengorbanannya yang cekal menjaga kedua orang tua yang uzur tanpa sedikit pun rasa mengeluh. Semoga ramai lagi anak-anak yang mencontohi cara wanita ini dalam membalas jasa kedua mak dan ayah.

Sumber: Hmetro & Utusan Online

Published by
Suhaidah Abd Wahab