Selagi Ada Kudrat Kami Akan Terus Mencari ACAP! Ibu Pemberi Semangat

Share

Hanya pada Allah kita bergantung harap dan kepada-Nya kita berserah serta memohon pertolongan. Ternyata ujian ini amat berat buat keluarga Mohammad Ashraf atau lebih dikenali Acap. Diuji kehilangan orang yang tersayang bukanlah suatu yang mudah, apatah lagi pelbagai usaha telah namun masih belum menemui kesan positif.

Namun begitu, keluarga Acap terutamanya abangnya tetap akan meneruskan operasi mencari selagi hayat dikandung badan. Selagi ada kudrat, dia akan terus-menerus mencari Acap. Ibu mereka adalah pemberi semangat agar pencarian Acap diteruskan.

Acap Anak Yang Rapat Dengan Keluarga

Usaha mencari peserta Gopeng Ultra Trail 2019 Mohammad Ashraf atau lebih dikenali Acap yang hilang lebih setahun lalu masih lagi dijalankan.

Abang kepada Acap, Mohd Zahiruddin Hassan, 36, berkata, mereka sekeluarga tidak pernah berhenti berdoa untuk memohon petunjuk dan meneruskan usaha pencariannya.

“Kata-kata semangat serta sokongan semua menjadi faktor utama kami dalam meneruskan misi.

“Selagi ada kudrat, ruang masa dan waktu, kesihatan, saya akan cuba teruskan usaha mencarinya,” katanya ketika ditemui selepas operasi pencarian.

Mohd Zahiruddin berkata, selain itu kasih seorang ibu kepada anak juga menjadi pemberi semangat kepadanya untuk meneruskan misi pencarian itu.

“Acap pula boleh dikatakan anak yang rapat dengan keluarga, jadi kehilangannya sangat terasa.

“Sepanjang pencarian, saya juga berdoa semoga kes yang sebegini tidak menimpa kepada orang lain dan tidak ada lagi ibu yang sedih, sebab dugaannya memang berat,” katanya.

Diteruskan Selepas PKP

Menurutnya, misi pencarian adiknya itu kini diteruskan semula selepas dihentikan buat sementara waktu sebelum ini kerana akur dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebelum ini, operasi pencarian bergantung pada keadaan iaitu dua hingga tiga kali dilakukan dalam sebulan.

“Operasi pencarian sebelum ini dilakukan oleh beberapa kumpulan tetapi buat masa ini kita mempunyai kira-kira sepuluh orang dalam satu kumpulan,” katanya memaklumkan kali terakhir operasi dijalankan pada Januari lalu.

Berkumpul & Berbincang Sebelum Mulakan Operasi

Menurutnya, sebelum operasi pencarian bermula mereka kebiasaannya akan berkumpul terlebih dahulu di ruang arena di Kampung Pintu Padang yang sebelum ini dibuka sebagai pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Daripada situ kita mengetahui kapasiti setiap kumpulan yang mahu terbabit dalam operasi pencarian dan juga berbincang mengenai ‘hotspot’ yang disasarkan untuk operasi pencarian.

“Kita akan serapkan kepada kumpulan besar sekiranya kekuatan sesuatu kumpulan itu kurang, kerana kita mahu mengelakkan sebarang kemungkinan sesuatu yang tidak diingini,” katanya.

Baca Juga Di sini:

Abang Acap Sama Terkesan, Simpati Dengan Pemergian Nora Anne Quoirin

Jahit Baju PPE, Cara Mak Lepaskan Rindu, Terkenang Acap Hilang

Fokus Kepada Tempat Tertentu

Menurutnya, operasi pencarian kali ini memberi fokus kepada pencarian melepasi ‘Check Point’ (CP) 6 hingga CP 10.

“Operasi pencarian sebelum ini memang sudah merangkumi pencarian di sekitar CP 1 hingga 6, namun kita akan ulang pencarian semula ke CP tertentu.

“Secara teknikalnya bukti gambar terakhir diperolehi di CP 6 yang menjadi antara bukti sahih Acap sudah melalui kawasan itu.

“Namun, kita tidak mempunyai sebarang bukti yang sahih mengatakan dia melalui CP10 dan tidak check in ‘finishing’ di CP 1, jadi itu yang sedang cuba kita rungkaikan,” katanya.

Masih Tiada Tanda Positif

Menurutnya, sehingga kini tiada tanda positif dan usaha pencarian masih yang dilakukan.

“Sepanjang pencarian ini juga kami cuba menjejak barang-barang peribadi tetapi sehingga kini kita masih tidak berjumpa walaupun satu barang dan itu yang menjadi misteri,” katanya

Menurutnya, mengambil contoh kes di Broga dan beberapa kes hilang yang lain operasi pencarian menggunakan kaedah ulang pencarian.

“Kebanyakan kes mangsa hilang ditemui di laluan yang sudah berkali-kali dilalui semasa operasi dan ditemui tidak jauh dari kawasan, jadi kita menggunakan alternatif yang sama untuk ulang pencarian walaupun hanya sekadar rondaan pada ‘track’ yang dia lalui,” katanya.

Acap dilaporkan hilang pada 24 Mac tahun lalu apabila pihak penganjur dan rakannya yang membuat pencarian gagal menemuinya selepas acara tamat pada 2 petang sehari sebelum itu.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan pelbagai pihak termasuk bomba, polis, sukarelawan, rakan dan keluarga dihentikan hampir sebulan kemudian.

MW: Semoga Allah memberi petunjuk dan Acap dapat ditemui secepat mungkin. Semoga keluarga terutama ibu Acap terus kuat menghadapi ujian yang berat ini. 

Sumber: myMetro

Published by
Syazwani Mehat