Sekarang kalau hamil doktor akan suruh minum air gula dua kali. Biasanya masa kandungan 3 bulan dan 7 bulan, doktor nak pastikan ibu hamil bebas kencing manis atau istilah perubatannya Gestational Diabetis Mellitus (GDM). Tapi seksanya Allah sahaja yang tahu kalau disuruh minum air gula.
Sudahlah malam kita disuruh berpuasa, kemudian pagi-pagi buta perlu meneguk segelas air gula. Memang kembang tekak dibuatnya. Ibu-ibu memang tidak ada pilihan, nak tak nak kena telan juga. Ada ibu yang muntah selepas minum air gula sebab tak tahan rasanya yang manis melekat. Kalau muntah kena ulang minum balik tau.
Disebabkan ramai yang gagal ujian minum air gula ni, Mingguan Wanita kongsi tip supaya ibu tak muntah dan lulus ujian ini. Insya-Allah
Sehari sebelum ke klinik, hadkan pengambilan makanan. Minum air kosong sebanyak yang boleh. Kurangkan nasi dan lebihkan sayur-sayuran di dalam hidangan makanan.
Seawal jam 10 malam sehari sebelum ujian air gula, ibu perlu berpuasa. Walaupun diminta berpuasa, ibu hanya tidak boleh makan tetapi, masih dibenarkan untuk minum. Walau bagaimanapun, hanya air kosong dalam kuantiti yang sedikit dibenarkan. Air manis dan bergula dilarang sama sekali.
Ibu perlu minum dalam masa yang pantas. Minum 200 ml air gula itu sekali gus dan bukannya sedikit demi sedikit. Jika perlu tutup hidung, asalkan anda dapat menghabiskan air gula yang diberi secepat mungkin.
Rasa gula yang manis mudah membuatkan ibu berasa loya dan mahu muntah. Bagi mengelakkan hal itu, segera kumur mulut dengan air paip yang bersih. Secara tak langsung ini dapat membantu ibu menghilangkan kemanisan air gula yang ada di dalam mulut.
Jika mahu pitam, berehat dan berbaring di tempat yang bersesuaian. Seelok-eloknya ibu habiskan masa dua jam sebelum ujian darah kedua di tempat yang tidak mempunyai bau supaya dapat menghindarkan ibu daripada termuntah.
Selepas ujian darah kali kedua dilalui, jangan terus makan makanan berat. Seelok-eloknya, mulakan dengan minum air kosong, makan biskut ataupun roti terlebih dahulu. Apabila keadaan kembali stabil, barulah ibu boleh menjamah makanan seperti biasa.
Golongan wanita yang perlu minum air gula semasa hamil…
1. Wanita yang tergolong dalam kategori Obesiti (BMI lebih dari 30)
2. Wanita yang pernah hamil anak yang besar ketika dilahirkan (mempunyai berat 4kg ketika dilahirkan)
3. Wanita yang pernah hamil dan mengalami kencing manis
4. Wanita yang pernah mempunyai ibu bapa atau saudara terdekat (adik-beradik) yang mengalami kencing manis
5. Wanita yang berumur 25 tahun ke atas
6. Mempunyai sejarah keguguran atau bayi yang meninggal dalam kandungan