Sekolah Rendah Selalu Gagal, Akhirnya SPM Remaja Autisme Calon Istimewa Terbaik Kedah

Share

Biarpun memegang status OKU, remaja ini membuktikan dirinya juga mampu cemerlang seperti pelajar normal lain. Belajar di sekolah biasa, pelajar cemerlang ini akui tidak pernah disisihkan dan rakan banyak membantu. Jelas ibunya, di sekolah rendah anaknya sering gagal, tetapi tiada yang mustahil apabila dia kini berjaya.

Tahniah diucapkan kepada Muhammad Muslim Ahmad Shukari, 18, atas keputusan yang cemerlang. Tahniah juga kepada mak, ayahnya yang berjaya mendidik anaknya yang bergelar OKU hingga berjaya.

Belajar Di Sekolah Biasa

Sungai Petani: Seorang remaja autisme membuktikan status orang kurang upaya (OKU) tidak menghalangnya mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019.

Muhammad Muslim Ahmad Shukari, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena, diumumkan calon istimewa terbaik Kedah selepas mencatat keputusan 3A 2A- 1B+ 1D.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, dia menanamkan semangat belajar bersungguh-sungguh dan sentiasa positif dalam apa juga perkara yang dilakukan.

Status OKU tidak menjadi halangan untuk saya berjaya, sebaliknya ia menjadi pendorong untuk terus maju. “Saya bersyukur walaupun belajar di sekolah harian biasa, rakan sekelas tidak pernah menyisihkan saya, malah mereka banyak membantu dalam pelajaran

,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman keputusan SPM Kedah 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim, di sini, hari ini.

Keputusan itu diumumkan Pengarah Pendidikan Kedah, Abd Aziz Selaiman.

Bercita-cita Menjadi Arkitek

Muslim mendapat A bagi mata pelajaran Matematik, Sains dan Pendidikan Islam dan A- bagi Bahasa Melayu dan Pendidik Seni Visual.

Muslim yang bercita-cita menjadi arkitek, meminati lukisan dan landskap dan berharap dapat menyambung pengajian dalam jurusan seni bina.

Sementara itu, ibu Muslim, Lafdziyah Mohd Marzuki, 47, berkata anaknya itu mula menunjukkan minat belajar sejak di Tingkatan Satu.

“Waktu di sekolah rendah, dia sering gagal dalam pelajar tetapi sejak naik ke sekolah menengah, dia mula menunjukkan minat terutama dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

“Dia semakin menunjukkan kegigihan belajar dan sering belajar secara berkumpulan dengan rakan selain membuat jadual belajar harian,” katanya.

Sumber: Berita Harian

MW: Ternyata kekurangan diri bukanlah penghalang seseorang untuk berjaya. Walaupun bergelar OKU, remaja ini membuktikan dia mampu berjaya seperti orang lain. Kepada yang gagal jangan berputus asa kerana perjalanan hidup kalian makin panjang. 

 

Published by
Syazwani Mehat